Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Bahasa 2024 'Meraikan Belia Kita', Dr Fadzil Hamzah dilantik Duta Bahasa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: 'Meraikan Belia Kita' - demikian tema acara Bulan Bahasa tahun ini.

Acara tahun ini memberi tumpuan kepada golongan belia melalui pelbagai program yang direka khas untuk menarik minat dan meningkatkan keyakinan mereka terhadap penggunaan bahasa Melayu.

Rancangan itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim dalam satu sidang media pada Jumaat (12 Julai).

Pelbagai kegiatan dan acara untuk melestarikan bahasa ibunda telah diatur dari 17 Ogos hingga 13 Oktober.

Antara yang bakal disajikan adalah siri podcast Sapot! yang mengetengahkan topik-topik berkisar kesenian, kebudayaan, kesusasteraan Melayu dan trend-trend terkini.

Juga diadakan pertandingan dikir barat secara maya, bengkel seni dan rancangan permainan 'Cepat Tepat'
yang disokong oleh Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) dan Mediacorp.

Ia diadakan dengan pelbagai rakan kerjasama masyarakat, akar umbi, kumpulan seni, dan sekolah.

"Para belia kita merupakan penggerak dalam masyarakat kita. Justeru kami mahu melibatkan para belia kita untuk bersama-sama melakarkan program inisiatif untuk menjayakan program bulan bahasa tahun ini.

"Walaupun tumpuan khusus pada Bulan Bahasa ini ada pada belia kita, Bulan bahasa bukan sahaja untuk segenap, sebilangan masyarakat atau satu lapisan masyarakat sahaja tetapi semua lapisan dan saya harap semua akan hadir dan akan memberikan semangat sokongan kepada belia-belia kita yang ingin menjayakan Bulan Bahasa," kata Encik Zhulkarnain.
(Gambar: Nurfazirah Azman)

DUTA BAHASA 2024

Tahun ini, Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa telah melantik Dr Mohamed Fadzil Mohamed Hamzah sebagai Duta Bahasa tahun ini.

Pakar Perubatan Kakitangan Kanan, Jabatan Perubatan Sukan Dan Senaman, Hospital Besar Changi (CGH) dan Hospital Besar Singapura (SGH) itu adalah doktor keempat dilantik sebagai Duta Bahasa selepas Dr Jazlan Joosoph, Dr Elly Sabrina dan Dr Nur Farhan Alami.

Menurut MBMS, Dr Fadzil dipilih berdasarkan penguasaan dan minat beliau terhadap bahasa Melayu, serta penglibatannya dalam masyarakat.

"Kami tidak mengambil ringan pelantikan Duta Bahasa ini dan walaupun ramai yang berkelayakan, kami memilih Duta Bahasa yang mencerminkan kepakaran, kemahiran dan mungkin minat, penglibatan dalam masyarakat kita dalam menjayakan, menghidupkan bahasa Melayu dalam masyarakat kita," kata Encik Zhulkarnain apabila diminta mengulas tentang pemilihan Dr Fadzil kali ini.

MANFAATKAN PELUANG UNTUK TINGKATKAN KESEDARAN TENTANG KESIHATAN DALAM MASYARAKAT MELAYU

(Gambar: Nurfazirah Azman)

Ketika ditemui wartawan Nurfazirah Azman, Dr Fadzil berkata beliau sama sekali tidak menduga akan dilantik sebagai satu-satunya Duta Bahasa bagi tahun ini.

Namun beliau teruja dipilih dan yakin dapat menggalas tanggungjawab itu dengan baik.

"Gembira kerana diberi peluang untuk menyandang pelantikan ini kerana ia adalah satu pengiktirafan dan juga satu penghargaan atas segala usaha yang saya lakukan untuk menggunakan dan melestarikan bahasa Melayu melalui kerja kerjaya saya, kerja kemasyarakatan dan kerja saya sebagai seorang doktor perubatan," kata Dr Fadzil.

Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bahasa Melayu Singapura dan juga Jawatankuasa Bulan Bahasa di atas peluang keemasan itu.

Menurutnya, kedua orang tuanya, guru-guru serta rakan-rakannya sudah banyak memberi dorongan dan didikan untuk menggunakan bahasa Melayu dengan lebih baik dalam kehidupan seharian dan juga di tempat kerja.

"Selama ini ada 49 lagi Duta Bahasa yang telah dilantik sebelum saya dan di antaranya adalah rakan rakan seperjuangan saya seperti Doktor Elly Sabrina, Doktor Jazlan Joosoph, Dr Nur Farhan. Jadi saya tidak keseorangan. Saya diberi peluang untuk mempelajari daripada mereka sebelum ini, peranan-peranan mereka yang mereka ambil atau sandang dan cara-cara mereka mendekati masyarakat Melayu kita," kata Dr Fadzil.

Di sebalik jadual kerjanya yang sibuk di CGH, Dr Fadzil juga aktif menyumbang tenaga sebagai pemimpin kesihatan bersama M³@Bedok dan M³@Tampines serta anggota Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

"Saya akan gunakan peluang ini sebagai Duta Bahasa dan juga sebagai seorang doktor perubatan di dalam bidang sukan dan senaman untuk menggunakan bahasa Melayu sewaktu saya berinteraksi dengan para pesakit, terutama sekali pada mereka yang lanjut usia di mana mereka lebih memahami dan lebih fasih untuk bertutur dalam bahasa Melayu.

"Saya juga akan mendekati masyarakat Melayu kita melalui acara-acara kesihatan, bengkel-bengkel kesihatan, inisiatif atau program kesihatan yang saya lakukan bersama rakan rakan seperjuangan di SingHealth di Hospital Besar Changi di Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA) dan M³," kongsi Dr Fadzil.

Selain itu, beliau juga bercadang untuk menulis lebih banyak rencana tentang kesihatan dalam bahasa Melayu di platform-platform media dan media sosial untuk mendekati masyarakat daripada pelbagai lapisan umur.

"Saya harap melalui penggunaan bahasa Melayu, saya dapat mendekati masyarakat Melayu dengan lebih baik untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran mereka tentang kesihatan mereka dan dengan cara ini, mereka dapat mencegah penyakit di kalangan masyarakat Melayu dan juga mereka dapat menjaga kesihatan mereka dengan lebih baik, " kata Dr Fadzil.

MAHU GALAK GOLONGAN MUDA GUNAKAN BAHASA MELAYU

Dr Fadzil berkata beliau mahu menggalak penggunaan dan pengayaan bahasa dan budaya Melayu dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Beliau berharap dapat menjadi inspirasi kepada golongan tersebut dan menggalakkan mereka untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.

"Tanpa penggunaan bahasa Melayu, ditinggalkan ataupun diwariskan kepada generasi muda, ia sudah tentu akan menjadi satu sejarah sahaja. Jadi adalah penting untuk kita melestarikan bahasa Melayu pada warga muda supaya mereka menggunakan bahasa Melayu dan mereka akan mendidik dan mendorong anak-anak mereka pula untuk menggunakan bahasa Melayu supaya kita akan mengekalkan budaya kita, warisan kita warisan Melayu kita," kata Dr Fadzil.

(Gambar: Nurfazirah Azman)
MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA 2024

Majlis Pelancaran Bulan Bahasa akan ditayangkan pada 7 September di saluran Mediacorp Suria.

Ia akan menonjolkan golongan belia dan semangat mereka meraikan dan melestarikan bahasa Melayu.

Antara yang akan membuat persembahan termasuk penyanyi-penyanyi muda seperti Azra Zulaikha, Amirah Fikriyah, Naufal Aiman dan Norshafiq Ridzwan.

Lagu-lagu yang bakal dipersembahkan disusun dan diterajui oleh Duta Bahasa, Megat Firdaus.

Mereka yang berminat untuk menghadiri sesi rakaman tersebut harus menyatakan mnat sebelum 22 Julai 2024 melalui pautan https://go.gov.sg/bb24launchgen.

Anda juga boleh melayari mbms.sg dan @bulanbahasa di lelaman Instagram dan facebook.com/majlisbahasa untuk kalendar Bulan Bahasa 2024 yang lengkap. 
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan