Bulan Bahasa 2024 mahu tumpukan pada golongan belia & muda
Ini bagi menggalak dan memperkasa golongan itu untuk sama-sama melestarikan bahasa ibunda.
"Jawatankuasa tahun ini menumpukan perhatian kepada golongan belia untuk mereka lebih mesra dalam kegiatan bahasa. Kita juga ingin menyertakan belia dalam proses pertukaran inisiatif program untuk Bulan Bahasa," kata Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim.
Beliau mengumumkan tumpuan baharu bagi kempen itu pada sesi taklimat rakan kerja Bulan Bahasa 2024 pada Jumaat (1 Mac).
Tahun ini, ia akan diadakan sepanjang kira-kira dua bulan iaitu dari 17 Ogos hingga 13 Oktober.
Dengan tema 'Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita', Bulan Bahasa 2024 akan memberikan tumpuan kepada para belia dalam lingkungan umur 17 hingga 35 tahun.
Beliau berpendapat bahawa potensi belia dalam masyarakat yang boleh diperkasakan untuk menjadi golongan pelapis, pengguna dan penggiat bahasa Melayu pada masa hadapan.
Belia juga katanya boleh menjadi jambatan ilmu untuk menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda di kalangan masyarakat dan golongan usia yang berbeza.
Ini lebih-lebih lagi dengan kemahiran golongan itu yang celik teknologi dan peka dengan arus ruang digital.
Encik Zhulkarnain juga berharap rakan kerja Bulan Bahasa 2024 juga boleh memikirkan cara-cara terbaik untuk melibatkan para belia dalam acara yang bakal dianjurkan mereka untuk semarakkan Bulan Bahasa 2024.
Sesi taklimat rakan kerja itu dihadiri lebih 100 peserta dengan perkongsian oleh NTU PERBAYU, Jawatankuasa Pembelajaran & Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB) dan Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC).
Rakan-rakan kerja yang hadir dijemput untuk mengemukakan cadangan program. Mereka juga dimaklumkan bahawa permohonan bagi pembiayaan acara mereka itu dibuka dari 1 Mac hingga 1 April 2024.
Mereka juga disyorkan untuk merancang program-program yang berteraskan tiga tumpuan utama.
"Jadi kita ada pelbagai tumpuan, iaitu bukan sahaja golongan pelajar tetapi juga dalam segi budaya, warisan dan juga masyarakat umum. Pelbagai program yang dilakarkan oleh rakan kongsi kita akan menumpukan kepada golongan tersebut dan ini diharapkan dapat menggalakkan lebih ramai penyertaan dalam bulan bahasa," kata Encik Zhulkarnain.
"Saya harapkan dengan perbincangan dan sesi taklimat yang ada, mereka akan lebih mendapat pengetahuan lebih lanjut tentang bukan sahaja pendanaan tetapi juga pelbagai rakan kongsi yang mungkin mereka berkolaborasi bersama.
"Dengan itu mereka akan lebih memperhalusi pendekatan mereka dalam segala segi program-program dan inisiatif yang mereka mahukan untuk lakukan untuk masyarakat," kata Encik Zhulkarnain.
ADA CABARAN TERSENDIRI UNTUK DEKATI GOLONGAN BELIA
Antara rakan kerja yang hadir adalah Timbalan Ketua Variasi, Penglibatan Masyarakat Advokasi (ACE), Muhammad Danial Jamil, 25 tahun.
Beliau turut berkongsi dengan wartawan Nurfazirah Azman beberapa rancangan program yang akan dilakarkan Variasi tahun ini.
"Pada tahun ini Variasi akan kembalikan acara 'Rentas Sastera Nusantara' di mana kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan di negara jiran kami seperti Malaysia dan Indonesia. Kami akan menghasilkan dan mempersembahkan beberapa hasil karya sasterawan daripada ketiga-tiga negara ini," kata Encik Danial.
Menurutnya, acara itu akan berlangsung seiringan dengan 'Projek Ruang' di mana mereka bakal mempersembahkan teater puisi yang ditulis para penerbit dan penulis tempatan.
Kebanyakan peserta acara-acara Variasi juga merupakan golongan belia seperti dalam acara AKAR - Festival Pembelajaran Seni yang dianjurkan bagi Bulan Bahasa tahun lalu.
Namun, beliau akur usaha mendekati golongan belia bukanlah mudah.
"Saya rasa antara cabaran yang agak mendesak pada masa ini adalah untuk memupuk minat dan cinta pada bahasa ini dengan penduduk Melayu Singapura. Kami ingin menggalakkan para belia dan kalangan muda untuk meneruskan dan menceburi minat juga dalam bahasa dan Budaya Melayu kami," kata Encik Danial.
Ini selain menyesuaikan kegiatan-kegiatan untuk memenuhi citarasa dan jadual masa golongan muda.
PENCAPAIAN BULAN BAHASA 2023
Kempen Bulan Bahasa 2023 berjaya menarik lebih 75,000 peserta.
Jumlah itu setara dengan jangkauan pada tahun sebelumnya.
Dengan tumpuan baharu kali ini, pihak penganjur berharap dapat dekati lebih ramai belia dan golongan muda.
Usaha itu juga akan sama-sama disokong para 'Duta Bahasa' tahun ini yang akan diumumkan pada Julai 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.