Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bulan Bahasa 2022 ajak masyarakat raikan khazanah warisan Melayu; 2 'anak kelahiran' Suria jadi Duta Bahasa

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bulan Bahasa 2022 mengajak setiap lapisan masyarakat meraikan khazanah warisan Melayu.

Kalendar acara tahun ini menjanjikan pelbagai acara dan program yang sesuai untuk seisi keluarga.

Dengan tema 'Nyalakan Cinta Terhadap Bahasa Melayu', acara-acara yang disajikan oleh rakan-rakan kerjasama menggunakan seni sebagai wadah bagi memperkenalkan keindahan serta memupuk minat terhadap Bahasa Melayu.

Program tahun ini berlangsung daripada 13 Ogos hingga 9 Oktober 2022 dan diadakan secara fizikal dan maya.

Ini termasuk bengkel wayang kulit, Bengkel Bayang Boneka, bengkel lukisan batik, Warna Warni Bicara Seni, bengkel tentang filem opera Melayu klasik serta kekuatan dan keindahan lirik lagu tradisional di Muzika Bahasa.

“Penggalakan bahasa dan pemupukan budaya merupakan projek yang tidak ada penghujungnya. Namun, dengan usaha masyarakat dan sokongan pertubuhan seperti Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew (LKYFB) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), saya percaya kita akan dapat terus menyemarakkan obor bahasa dan budaya Melayu untuk generasi masa depan kita.” kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, dan Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Maliki Osman.

'PERSONALITI' SURIA DILANTIK SEBAGAI DUTA BAHASA

Dua personaliti tempatan dilantik sebagai Duta Bahasa tahun ini.

Fir Rahman - nama yang tidak asing lagi dalam dunia teater, televisyen dan filem tempatan.

(Gambar: NHB)

Namanya melonjak naik selepas menjuarai pertandingan 'Juara' di Suria pada 2002 dan sudah membintangi pelbagai drama di Suria dan Saluran 5  Mediacorp.

Antara pencapaiannya termasuk memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik di Pesta Perdana 2019, dan mengharumkan nama negara menjadi artis Singapura yang pertama dicalonkan sebagai Pelakon Baharu Terbaik dalam kategori lakonan 
untuk Anugerah Filem Asia yang ke-11, bagi wataknya dalam filem 'Apprentice'.

Beliau juga merupakan finalis musim pertama rancangan Berani Nyanyi.

Fir yang sudah lebih dua dekad berkecimpung dalam bidang seni tempatan, berharap dapat menerapkan keindahan bahasa dan budaya Melayu kepada anak muda melalui persembahan seni Melayu seperti Teater, Tarian, Taridra, Silat, Kompang, Dikir Barat dan Muzik Tradisional. 

Seorang lagi personaliti Suria yang mahu memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Melayu di kalangan generasi muda ialah Hans Hamid.

 

Selepas menjuarai pertandingan Elit Suria pada 2018, Hans sering terlibat dalam pelbagai acara tempatan dan serantau, sebagai hos dan juga pelakon. 

Antara projek terkininya adalah sebagai pelakon dalam siri terbaru, 'Tiang Lampu' dan salah seorang daripada empat hos, 'Manja'.

Menyebarkan semangat positif dan sifat bersyukur menjadi prinsipnya untuk sentiasa memupuk kemahiran dan mengasah bakatnya.

MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA 2022

Kedua-dua Fir Rahman dan Hans Hamid bakal mewarnai majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2022 yang turut menampikan persembahan seni oleh Rahila Rashun, Ryan Sufiyan, Qis Maraj dan ramai lagi. 

Buat pertama kalinya juga, acara itu disaksikan lebih 400 penonton di kampus Mediacorp.

Anda boleh saksikannya pada Sabtu (3 Sept), 8.30 malam, di saluran Suria dan meWATCH.

(Gambar: NHB)
Sumber : BERITA Mediacorp/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa