Bulan Bahasa 2020 berjaya merentasi sempadan Singapura
Walaupun dibelenggu COVID-19 tahun ini, kegiatan Bulan Bahasa berjaya merentasi sempadan Singapura dan menjangkau khalayak luar negara.
BERITAmediacorp: Walaupun dibelenggu COVID-19 tahun ini, kegiatan Bulan Bahasa berjaya merentasi sempadan Singapura dan menjangkau khalayak luar negara.
Malah, lebih banyak lagi program Bulan Bahasa mungkin dilakukan secara online pada tahun-tahun mendatang. Demikian dedah Jawatankuasa Bulan Bahasa 2020.
FIZIKAL ATAU ONLINE, OBJEKTIFNYA TETAP SAMA
Seawal bulan Mac hingga April 2020, Jawatankuasa Bulan Bahasa rancak membincangkan format untuk kempen tahun ini.
Disebabkan penularan COVID-19, pihak penganjur menimbangkan dua rancangan - iaitu 'Pelan A' bagi rancangan seperti biasa, serta 'Pelan B' - iaitu mengambil kira dan menganjurkan program dalam bentuk digital.
Ternyata COVID-19 berpanjangan dan ia terpaksa dianjurkan secara online sepenuhnya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Farizan Md Amin berkata: "Objektifnya masih tetap sama, tidak berubah iaitu untuk menggalakkan masyarakat menghargai, menggunakan Bahasa Melayu dalam kehidupan mereka seharian di samping kami cubalah berusaha untuk melestarikan warisan kita."
Bakal dirasmikan pada Sabtu (5 Sep), kegiatan Bulan Bahasa 2020 sebenarnya sudah bermula sejak 15 Ogos.
Semua kegiatannya dijalankan secara online menerusi Facebook, Instagram dan YouTube.
BULAN BAHASA DI PERSADA ASIA
Sungguhpun akur ini merupakan "sesuatu yang baru" bagi pihak penganjur, masih ada penerobosan baru dicapai - iaitu Bulan Bahasa kali ini berjaya menembusi sempadan negara.
(Gambar: Bulan Bahasa)
"Mereka dari negara-negara jiran juga turut mahu turut serta untuk menyertai kegiatan atau sesi acara Bulan Bahasa. Contohnya bengkel penulisan cereka yang dianjurkan oleh Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) baru-baru ini disertai oleh pelajar dan guru tempatan serta beberapa orang guru ataupun tokoh-tokoh yang terkenal dari Malaysia juga turut serta sama-sama menghadirkan diri dalam kegiatan wadah online juga," tambah Encik Farizan, yang juga Ketua Jabatan Bahasa Ibunda di Sekolah Menengah Peicai.
FORMAT DIGITAL MUNGKIN DIKEKALKAN
Encik Farizan percaya, format kempen secara digital akan terus ada dalam perancangan Bulan Bahasa pada masa depan.
"Bagi saya kalau untuk tahun-tahun yang akan datang, kita boleh lihat kepada aspek dua-dua pendekatan ini – fizikal dan juga online kerana kita sudah mesra dengan pendekatan online. Jadi kita tidak harus ketepikan pendekatan online 100 peratus.
"Kita boleh pelbagaikan, kita boleh sesuaikan dengan aktiviti-aktiviti yang berpatutan dengan keadaan secara online itu," jelas Encik Farizan lagi.
Ini kerana ada keluarga yang mungkin tidak dapat ikut serta acara secara fizikal masih dapat menjadi 'peserta' secara online.
BACA: Bulan Bahasa Online: Cabaran teknologi, pengalaman kreatif
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.