Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku tentang pemikiran Almarhum Ustaz Ahmad Semait bakal dilancarkan akhir tahun ini

Sebuah kajian tentang tokoh Islam tempatan, Almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait, sedang dalam proses untuk dibukukan dan dijadual dilancarkan akhir tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebuah kajian tentang tokoh Islam tempatan, Almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait, sedang dalam proses untuk dibukukan dan dijadual dilancarkan akhir tahun ini.

BERITAmedicorp bertemu dengan penulis buku itu, Dr Muhammad Mubarak, untuk memahami apa sebenarnya khazanah yang ditinggalkan agamawan tersebut.

SYED AHMAD SEMAIT: PENERJEMAH TEKS AGAMA

Dilahirkan pada tahun 1933, Ustaz Syed Ahmad Muhammad Semait adalah seorang penulis yang dikenali ramai dengan penerbitan buku-buku agama. Namun menjangkaui itu, beliau yang merupakan abang kepada mantan Mufti Singapura, Ustaz Syed Isa Semait juga merupakan seorang penterjemah yang amat berkaliber.

Minatnya terhadap bidang penulisan dan penterjemahan mendorong beliau untuk menubuhkan syarikat penerbitan Pustaka Nasional pada tahun 1963.

Dengan keadaan masyarakat yang semakin moden pada waktu itu, Ustaz Syed Ahmad berazam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Islam tentang pentingnya nilai membaca.

Menurut Dr Mubarak, Ustaz Syed Ahmad memulakan kerja-kerja penterjemahan buku-buku dari Bahasa Arab ke Melayu disebabkan juga oleh permintaan yang semakin meningkat dalam masyarakat Melayu khususnya para asatizah dan pelajar madrasah.

Namun, apa yang membuatkan kerja-kerja penterjemahan beliau disenangi masyarakat Islam ketika itu ialah kemahiran beliau dalam menggunakan pemahaman yang mendalam terhadap teks dahulu.

Ini menurut Dr Mubarak agar teks-teks klasik yang dibawa masuk dari Timur Tengah mudah difahami oleh masyarakat yang semakin moden.

Selain dilantik menjadi anggota Lembaga Penasihat PERGAS dalam memberikan sumbangan terhadap pembangunan fatwa, Ustaz Ahmad Semait juga menjadi anggota Penasihat Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) ketika ia ditubuhkan pada 2002.

AGAMAWAN YANG BERI RESPONS KEPADA KEADAAN SOSIAL

Selaku pengasas syarikat penerbitan Melayu Pustaka Nasional, Ustaz Ahmad Semait banyak menulis, menyusun dan menterjemah lebih 30 buku agama dari ulama terkemuka Timur Tengah seperti Sheikh Ibnul Qayyim, Ibnu Kathir, Sheikh Abdul Qadir Jilani, malah juga Hamka - demi meningkatkan moral masyarakat Muslim tempatan pada waktu itu.

Dr Mubarak berkongsi era 1970-an merupakan detik persimpangan dan peralihan penting bagi masyarakat Islam Singapura yang melalui pembangunan posmerdeka amat pesat.

Namun, masyarakat Melayu/Islam juga melalui peningkatan pelbagai masalah sosial seperti masalah keluarga, penyalahgunaan dadah dan perceraian.

Di sinilah Almarhum Ustaz Ahmad Semait merupakan antara tokoh agama yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat Melayu Singapura, kata beliau.

"Sebagai contoh buku kuliah subuh Ustaz Ahmad Semait adalah analisa dan komentar beliau tentang 40 Hadith Imam Nawawi, Ustaz Ahmad Semait menamakannya sebagai kuliah subuh.

"Antara masalah sosial yang dihadapi masyarakat pada waktu itu adalah kepincangan keluarga - bagaimana Ustaz Ahmad Semait respon kepada masalah sosial pada waktu itu. Maka beliau menerbitkan dua buku iaitu wasiat Luqman Hakim dan Hadith Qudsi.

"Satu buku terbesar beliau iaitu ialah komentar dan analisis buku Sahih Bukhari," kongsi Dr Mubarak.

CENDEKIAWAN AWAL YANG MENYELURUH

Dr Mubarak bagaimanapun menganggap sumbangan Ustaz Ahmad Semait sebagai kurang ditonjolkan masyarakat Singapura mahupun Asia Tenggara.

Lantaran itulah beliau menjalankan kajian bagi menyelidik pemikiran Ustaz Ahmad Semait menerusi penulisan dan penterjemahan beliau.

Kajian itu kini dalam proses diterbitkan menerusi buku berjudul "Melengkapkan Masyarakat dengan Pengetahuan" dan dijadual dilancarkan Disember nanti.

Menurut Dr Mubarak, para cendekiawan zaman awal punya kepintaran kebudayaan (cultural intelligence), kepakaran pidato, berniaga dan menulis.
"Kalau kita lihat proses islamisasi di sini ada suratkhabar dan juga jurnal-jurnal yang telah diterbitkan pada awal kurun ke-20, yang telah menjadikan Singapura sebagai hab intelektual pada masa tersebut.

"Jadi bagi Almarhum Al Fadhil Ustaz Ahmad Semait, beliau ini menyatukan ciri-ciri kesemuanya tersebut, jadi beliau bukan hanya penulis dan penterjemah, sunting, malahan beliau juga menerbitkan, membuat perusahaan sendiri, menerbitkan buku-buku beliau.

"Dan juga buku-buku yang telah beliau memilih khusus bagi menangani masalah-masalah masyarakat pada masa tersebut," tambah beliau lagi.

Isu-isu sosial yang dibincangkan Ustaz Ahmad Semait "masih lagi relevan" untuk masyarakat hari ini, kata Dr Mubarak.

Contohnya, salah satu buku yang ditulis dan diterbitkan beliau masih lagi digunakan dengan meluas sehingga hari ini, malah kini diterjemah ke bahasa Inggeris dan dijadikan bahan bacaan bagi saudara baru yang memasuki Islam.

"Jadi kalau kita lihat pada buku-buku Ustaz Ahmad Semait pada masa dahulu kita dapati semua umat Islam pada waktu sekurang-kurang boleh melihat sekurang-kurangnya satu ataupun dua bukunya, sebagai contoh ialah buku Mari Sembahyang yang digunakan di madrasah-madrasah sepenuh masa di masjid, itu adalah buku karangan beliau sendiri dan diterbitkan oleh Pustaka Nasional.

"Buku itu bukan sahaja dalam bahasa Melayu tetapi telah diterjemahkan dalam bahasa Inggeris dan digunakan oleh saudara-saudara baru di Darul Arqam sehingga masa kini.

"Maka kalau kita melihat Ustaz Syed Ahmad Semait beliau mengikuti jejak langkah ulama-ulama silam di mana mereka telah menulis dan meninggalkan khazanah intelektual kepada masyarakat pada masa mereka hidup sehinggalah pada masa selepas kehidupan mereka," tekan Dr Mubarak lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan