Buku Siri Burung Kakaktua terap ciri interaktif; semai minat membaca dalam kalangan anak kecil
Satu siri buku cerita bergambar dalam Bahasa Melayu yang interaktif sepenuhnya dilancarkan pada Ahad (4 Sep) khusus buat kanak-kanak, membolehkan mereka mempunyai pengalaman membaca lebih imersif.

Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang Rahayu Mahzam (empat dari kanan) di majlis pelancaran buku Siri Burung Kakaktua, dikarang oleh penulis Maria Mahat (lima dari kanan). (Gambar: Ungu Pen)
Buku Siri Burung Kakaktua, ditulis oleh Maria Mahat - penulis tempatan yang tidak asing namanya dalam persada sastera Melayu - menerapkan pendekatan unik berbilang mod. Ini bermakna buku-buku ceritanya memanfaatkan penggunaan lagu, pergerakan dan gambar yang berwarna-warni untuk menghidupkan penceritaan menerusi animasi serta realiti tambahan (AR).
Penggunaan ciri-ciri interaktif sedemikian diharapkan dapat memupuk minat membaca mendalam dalam kalangan anak kecil, sekali gus meningkatkan celik huruf mereka.
Dengan pelancaran dua buku cerita di bawah siri tersebut - Pokok Saga Istimewa dan Awan Kecil, ibu bapa kini mempunyai satu lagi sumber yang dapat membantu mereka memupuk serta menyokong kemahiran membaca dan celik huruf anak-anak mereka.
Dalam ucapannya semasa majlis pelancaran Siri Burung Kakaktua pada Ahad lalu, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang Rahayu Mahzam menekankan betapa bercerita adalah sebahagian penting dalam pembelajaran.
Penulis seperti Cik Maria pula, kata Cik Rahayu, memainkan peranan penting dalam meneruskan tradisi bercerita dan menulis dalam masyarakat.
"Menerusi penceritaan, anak-anak dapat mendengar dan dapat menghubungkaitkan teks dengan membaca. Ini adalah strategi asas untuk memupuk kemahiran literasi, pembacaan dan pemikiran anak-anak kita. Ia juga menjadi tunggak kejayaan bukan sahaja kepada pembelajaran tetapi perjalanan kehidupan seseorang individu," jelas Cik Rahayu.
Beliau menambah perkembangan dan pelestarian Bahasa Melayu amat bergantung kepada usaha serta peranan yang dimainkan oleh semua lapisan masyarakat.
Rasa cinta terhadap Bahasa Melayu boleh disemai dalam jiwa anak-anak sedari kecil lagi, dengan sokongan ibu bapa, datuk nenek dan guru-guru.
Cik Rahayu berharap Siri Burung Kakaktua yang baru dilancarkan itu mampu memutik minat lebih mendalam kepada anak-anak supaya terus membaca dan seterusnya, menghargai serta meningkatkan lanjut penguasaan Bahasa Melayu mereka.
"Saya menyeru Puan Maria dan juga penulis-penulis lain untuk meneruskan usaha mereka supaya anak-anak kita mendapat akses kepada cerita-cerita yang mempunyai ciri-ciri setempat dan inovatif untuk mereka berasa selesa, seronok dan terhubung dengan kehidupan seharian mereka," ungkap Cik Rahayu.
Buku Siri Burung Kakaktua dikeluarkan oleh syarikat penerbitan tempatan, Ungu Pen, dengan disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.