Buku sejarah gastronomi Melayu SG Khir Johari menang Hadiah Sejarah SG NUS 2024
SINGAPURA: Buku "The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels Through the Archipelago" oleh pengkaji sejarah makanan Melayu, Khir Johari, telah memenangi Hadiah Sejarah Singapura NUS tahun ini.
Terbitan yang memaparkan sejarah dan warisan masyarakat Melayu Singapura melalui tradisi kulinari itu membawa pulang hadiah wang tunai S$50,000.
BUDAYA, SEJARAH GASTRONOMI MELAYU SG, KISAH MASYARAKAT
Buku setebal 621 muka surat itu bukan hanya mengandungi resipi masakan Melayu, tetapi juga memaparkan budaya dan sejarah gastronomi Melayu Singapura yang kaya, termasuk kisah-kisah masyarakat di Nusantara.
Encik Khir, yang juga dilatih dalam bidang Matematik, berusaha untuk membasmi tanggapan negatif terhadap gastronomi Melayu.
"Buku ini sebenarnya adalah usaha untuk merayakan betapa hebatnya gastronomi Melayu dan serantau. Harapan saya adalah agar kita bukan sahaja merayakannya, tetapi juga memperbaiki tanggapan negatif terhadap gastronomi Melayu," kongsi Encik Khir kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Antara tanggapan itu ialah makanan Melayu dianggap tidak sihat, dan santan dianggap tidak bagus. Saya mahu tanggapan ini diperbaiki. Kami juga ada satu bab khusus tentang makanan sebagai ubat, kerana ada istilah dalam bahasa Melayu: Kenapa makan ubat, kenapa tidak makan makanan yang menjadi ubat?" tambahnya.
Buku Encik Khir yang mengambil masa lebih sedekad untuk dihasilkan mengandungi pelbagai temu duga yang beliau sifatkan sebagai "mengejar masa."
"Daripada saya memulakan projek ini sehingga buku ini akhirnya dikeluarkan, kita kehilangan 23 orang. Ini adalah contoh 'textbook' atau buku teks; jika anda tidak mencetaknya, orang akan pergi, dan pemergian orang tua itu ibarat menutup perpustakaan. Jadi, jika anda tidak melakukannya secepat mungkin, anda akan kehilangan semua bahan penting ini," ujar Encik Khir.
GUNA MAKANAN UNTUK TARIK MINAT ORANG RAMAI KEPADA SEJARAH
Buku Encik Khir terpilih daripada enam buku lain yang disenarai pendek untuk Hadiah Sejarah Singapura NUS tahun ini.
"Saya terharu dan bangga kerana buku ini diiktiraf dengan Hadiah Sejarah Singapura, yang merangkumi cerita tentang masyarakat dan kawasan Nusantara," kata Encik Khir.
"Sejarah budaya dan sosial memang perlu diceritakan, tetapi ada cabaran kerana minat mungkin kurang. Namun, dengan menggunakan makanan sebagai alasan, saya percaya orang akan lebih berminat dengan kisah tersebut. Kami menggunakan makanan sebagai 'vehicle' atau kenderaan untuk menarik minat orang terhadap sejarah mereka sendiri," tambah beliau.
Sebelum ini, Encik Khir telah mengharumkan nama Singapura di persada antarabangsa dengan merangkul gelaran Buku Terbaik Dalam Kalangan Terbaik Di Dunia di Anugerah Dunia GOURMAND 2023 bagi Budaya Makanan, di Sweden.
Kini, beliau aktif dalam platform yang diasaskannya, "Dialogues by Khir Johari," untuk meneroka gastronomi Nusantara melalui acara dan perbincangan dalam talian.
Simposium pertama berjudul 'Serumpun: Tasting Tradition, Telling Tales' baru sahaja diadakan.
PEMAHAMAN BAHARU TENTANG SEJARAH SG
Dalam satu sesi bersama media, panel juri berkongsi bahawa buku tersebut telah membawa pemahaman baharu tentang sejarah Singapura dan peranannya yang penting di Nusantara, terutamanya melalui makanan Melayu.
"Ia dengan jelas mencabar kepercayaan yang masih dipegang oleh ramai rakyat Singapura bahawa tiada apa pun yang wujud di Singapura sebelum ketibaan Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1819.
Kini, kita mempunyai karya Khir Johari yang menerangkan bagaimana kepulauan Melayu merupakan tempat yang berkembang pesat dan Singapura adalah sebuah entrepot sejak lama dahulu. Saya juga suka frasa yang digunakannya, bahawa pada awal abad ke-20, Singapura adalah "New York" di Nusantara," menurut Pengerusi Panel Juri, Profesor Kishore Mahbubani.
CABARAN BINA IDENTITI MELALUI SEJARAH YANG DIKONGSI
Dalam pada itu, beliau juga menekankan kepentingan Hadiah Sejarah Singapura NUS, terutamanya dengan cabaran yang dihadapi Singapura hari ini dalam membina identiti negara melalui sejarah yang dikongsi.
"Cabaran terbesar Singapura ke hadapan bukanlah dalam bidang ekonomi atau pembangunan sosial; kita sudah melakukan yang terbaik dalam dimensi tersebut. Ia lebih kepada bagaimana kita bersatu sebagai satu negara dan membina identiti bersama.
"Kebangkitan semula Asia yang besar berakar pada sejarah, dan apa yang membuat Singapura menarik adalah sejarah yang dikongsi bersama China, India, dan masyarakat dalam rantau ini. Kita mempunyai banyak cerita menarik untuk dikongsikan," jelas Profesor Mahbubani.
DEKATI ORANG BIASA & CENDEKIAWAN; HIDUPKAN SEJARAH SG
Berkenaan dengan kriteria, Profesor Madya Joey Long, Ketua Jabatan Sejarah NUS, berkongsi bahawa para juri menilai keupayaan buku untuk menyampaikan sejarah dalam cara yang mudah diakses.
"Kami inginkan sesuatu yang dapat menarik para pembaca biasa serta para cendekiawan. Kami ingin menemukan buku yang memberikan sumbangan kepada pemahaman dimensi kemanusiaan dalam sejarah, dengan menonjolkan personaliti yang tentunya akan menghidupkan naratif," menurut Profesor Long.
"Yang ketiga, adalah skop kerja ini yang menyumbang kepada kepentingan bagi pemahaman sejarah Singapura. Dan yang keempat, ia menghidupkan sejarah dalam cara yang tidak dijangka, sesuatu yang mengejutkan kita dan tidak kita ketahui," tambahnya.
Dua buku lain turut menerima pujian dan pengiktirafan khas.
Buku-buku tersebut adalah Reviving Qixi: Singapore’s Forgotten Seven Sisters Festival oleh Lynn Wong dan Lee Kok Leong, yang mengangkat semula festival masyarakat Cina yang sudah dilupakan, serta Theatres Of Memory: Industrial Heritage Of 20th Century Singapore oleh Loh Kah Seng, Alex Tan, Koh Keng We, Tan Teng Phee, dan Juria Toramae, yang menampilkan sejarah buruh dan perindustrian di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.