Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku Red Lines diharamkan disebabkan 'kandungan agama yang menyinggung perasaan'

Sebuah buku yang diharamkan baru-baru ini di Singapura adalah disebabkan "kandungan agama yang menyinggung perasaan" dan bukan kerana ciri-ciri politik buku itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Buku Red Lines diharamkan disebabkan 'kandungan agama yang menyinggung perasaan'

(Gambar: MIT Press)

Diterbitkan : 12 Jan 2022 04:47PM Dikemas Kini : 12 Jan 2022 05:01PM

SINGAPURA: Sebuah buku yang diharamkan baru-baru ini di Singapura adalah disebabkan "kandungan agama yang menyinggung perasaan" dan bukan kerana ciri-ciri politik buku itu.

Demikian menurut Menteri Perhubungan dan Penerangan Josephine Teo hari ini (12 Jan).

Buku bertajuk 'Red Lines: Political Cartoons and the Struggle Against Censorship' yang ditulis oleh Profesor Cherian George dan pelukis kartun Sonny Liew, dilarang daripada diedarkan di Singapura pada November lalu, tiga bulan selepas ia pertama kali dilancarkan di Amerika Syarikat.

Menjawab pertanyaan oleh Anggota Parlimen Tin Pei Ling (PAP-MacPherson) tentang sama ada ciri-ciri politik yang ada pada kartun di dalam buku itu menyumbang kepada keputusan yang dibuat oleh Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA), Cik Teo berkata kartun-kartun politik itu sendiri bukanlah masalahnya kerana ada yang sudah dalam diedarkan.

"Ia sangat jelas Red Lines tidak dibenarkan disebabkan kandungan agama yang menyinggung perasaan," kata Cik Teo.

Beliau menambah bahawa sepanjang lima tahun lalu, lagi lima buku dianggap oleh IMDA sebagai tidak disenangi kerana ia "memburuk-burukkan pelbagai masyarakat beragama". Dalam kalangan buku-buku itu, tiada yang mengenai politik, katanya.

"Ia sama ada mengandungi komen menyinggung perasaan dan memudaratkan tentang agama-agama lain atau menyokong ajaran keagamaan polemik yang mungkin akan mencetuskan niat jahat dan kebencian dalam kalangan kumpulan agama yang berbeza di Singapura," kata beliau. "Red Lines tidak disenangi atas sebab yang serupa."

Cik Teo berkata bahawa buku itu mengandungi "beberapa imej yang tidak disenangi" yang menyinggung perasaan perkauman dan keagamaan.

Menurut Cik Teo, pendirian Singapura terhadap kandungan sedemikian sangat diketahui, sambil menambah bahawa Alkem - iaitu syarikat pengedar di Singapura bagi buku Red Lines - turut meluahkan keprihatinan terhadap sesetengah imej dalam buku itu yang dianggap tidak menyenangkan apabila ia pertama kali menghubungi IMDA.

Menyusuli larangan IMDA, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menzahirkan sokongannya kepada keputusan itu.

MUIS menyatakan bahawa ia menyemak buku itu dan mendapati bahawa ia mengandungi beberapa kartun dan lukisan Nabi, serta kartun yang menggalakkan diskriminasi terhadap golongan Muslim, menghina Al Quran dan merendah-rendahkan Islam.

Menjawab pertanyaan dari AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) tentang pertimbangan dan sejauh mana pentingnya keputusan IMDA untuk mengklasifikasikan buku itu sebagai tidak menyenangkan kepada masyarakat Muslim, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Muslim berkata buku itu mempunyai kandungan yang merendahkan beberapa agama dan tokoh agama.

"Ini termasuk karikatur Nabi Muhammad dari majalah Charlie Hebdo, yang menghina Nabi dan amat menyinggung perasaan golongan Muslim," katanya.

"Kami mendapati ia amat mengejutkan bahawa imej-imej yang merendahkan dan menghina Nabi diterbitkan di mana-mana.

"Imej-imej ini mencetuskan rusuhan dan kematian di tempat-tempat lain di merata dunia, termasuk di Perancis, Britain, Timur Tengah, Afrika dan Indonesia.

"Penerbitan media utama termasuk di negara-negara barat mengelak daripada menerbitkan karikatur yang menyinggung perasaan," katanya.

"MUIS juga berkata bahawa kandungan sedemikian yang menggambarkan Islam dan orang-orang Muslim secara negatif atau sebarang agama-agama yang lain, tidak boleh diterima dan lebih-lebih lagi dalam sebuah masyarakat berbilang agama seperti Singapura," katanya.

"Justeru, MUIS menyokong keputusan klasifikasi IMDA bagi buku ini. Saya pasti masyarakat Muslim juga menyokong langkah ini.

"Para pengarang buku mungkin akan katakan bahawa mereka tidak berniat bagi buku ini untuk menghina atau merendahkan mana-mana pihak dan niat mereka adalah untuk mendidik, namun Pemerintah menolak alasan itu. Perbuatan menerbitkan karikatur sedemikian dan imej-imej yang menghina Nabi atas nama kebebasan bersuara, akademia atau lain-lain tidak boleh diterima," katanya.

VERSI SUDAH DISEMAK HARUS DINILAI SEMULA SECARA HOLISTIK

Apabila ditanya oleh Cik Tin dan AP Sitoh Yih Pin (PAP-Potong Pasir) tentang sama ada buku versi yang sudah disunting akan dipertimbangkan oleh IMDA untuk diterbitkan dan diedarkan di Singapura, Cik Teo berkata kandungan menyinggung perasaan yang sudah dikeluarkan tidak segera bermakna buku-buku itu akan dibenarkan untuk diedarkan di sini.

"Versi-versi sudah disunting juga perlu dinilai secara holistik dan tiada seorang pun penerbit berusaha untuk melakukan sedemikian," katanya sambil merujuk kepada enam penerbitan yang dilarang sebelum ini oleh IMDA.

"Pada ketika ini, Alkem dan para pengarang buku belum lagi mengesahkan rancangan khusus mereka untuk menangani kandungan menyinggung perasaan itu. Jika dan bila mereka melakukan demikian, mereka boleh hubungi IMDA untuk menilai kesesuaian versi Red Lines yang sudah disunting untuk diedarkan di Singapura," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan