Buku puisi tentang pekerja hijrahan dilancarkan Jamiyah Singapura
Karya-karya yang baik tidak kira bahasanya, boleh menjadi satu 'pembuka mata' kepada budaya dan bahasa serta nilai-nilai yang boleh dipelajari masyarakat Singapura yang berbilang kaum.

(Gambar: Nurhelmy Hakim)
SINGAPURA: Karya-karya yang baik tidak kira bahasanya, boleh menjadi satu 'pembuka mata' kepada budaya dan bahasa serta nilai-nilai yang boleh dipelajari masyarakat Singapura yang berbilang kaum.
Demikian menurut Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Dr Muhammad Faishal Ibrahim semasa berucap di majlis pelancaran sebuah buku berjudul “Musings In The Dunes” pada Sabtu (10 Dis).
Ia merupakan koleksi puisi Tamil bertajuk "Manal Uraiyaatal" oleh penyair Tamil moden veteran, Encik Ishaq dari Chennai, India.
Buku itu diterjemahkan oleh penulis Dr H.M. Saleem.
Ia menonjolkan realiti kehidupan golongan pekerja hijrahan.
Selain penceritaan perjuangan dan kesusahan mereka, buku itu juga membawa pembaca menyelami bersama keindahan dan kegembiraan yang terus wujud dalam kehidupan golongan tersebut.
Dr H.M. Saleem menjelaskan, "Saya telah menterjemahkan buku ini untuk menyampaikan cabaran pekerja asing dan nilai yang mereka bawa kepada masyarakat kita."
"Buku ini berbeza daripada buku-buku lain yang saya pernah menulis di mana ini adalah buku berasaskan puisi manakala buku saya yang lain semuanya adalah karya penterjemahan buku-buku bahasa, sastera, keharmonian kaum, mata pelajaran berkaitan keharmonian antara agama," tambahnya lagi."
Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan 12 buku lain dalam bahasa Tamil dan Inggeris mengenai bahasa dan kesusasteraan dan juga mengenai subjek kerja sosial dan keharmonian antara kaum dan antara agama.
Projek tersebut disokong oleh Jamiyah Singapura dan usaha ini mencerminkan peranan badan itu dalam menggalak penghasilan karya seni, budaya dan penulisan dalam kalangan bakat tempatan.
Ketua Pegawai Pengurusan Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin berkata, "Tradisi ini kami teruskan hingga kini dengan menyediakan wadah pelancaran dan penerbitan buku-buku sarjana dan juga ahli akademik. Pelancaran buku ini adalah contoh kesinambungan usaha tersebut."
PENTERJEMAHAN BUKU MEMPERKUKUHKAN PEMAHAMAN ANTARA KAUM
Dalam ucapannya, Dr Faishal menyanjung usaha Jamiyah Singapura untuk menganjurkan pelbagai wadah silang kaum dan agama untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-90.
"Menggalakkan usaha seni, budaya dan sastera adalah satu platform yang Jamiyah gunakan untuk meluaskan jangkauan melebihi masyarakat Melayu/Islam untuk membawa mesej keamanan, keharmonian dan niat baik dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan sekular," ujar Dr Faishal.
Dalam pada itu, Dr Faishal mengatakan bahawa karya-karya yang baik boleh menjadi satu 'pembuka mata' kepada budaya dan bahasa serta nilai-nilai yang boleh dipelajari masyarakat Singapura yang berbilang kaum.
Dr Faishal berkata: "Apabila saya membacanya, saya terharu dengan usaha ini di mana dengan adanya penterjemahan ini dan Jamiyah menyokongnya, ia meluaskan pendedahan kita kepada buku-buku dan golongan sasterawan dalam kalangan warga asing dan bagaimana kesusasteraan dari luar negara boleh mendatangkan manfaat kepada kita bersama."
"Lebih penting lagi, penterjemahan menjadi hubungan untuk mengukuhkan persefahaman antara kaum yang berbeza dan melindungi hubungan harmoni yang wujud dalam masyarakat," tambah Dr Faishal.
Bagi yang berminat, mereka boleh dapatkan buku tersebut pada harga S$30 di Pusat Islam Jamiyah yang terletak di Lor 12 Geylang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.