Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku pertama rakam sejarah badan khairat Singapura dilancarkan

'Khairat Kita: A History of Malay/Muslim Mutual Aid in Singapore' mengetengahkan peranan badan khairat yang jumlahnya semakin berkurangan.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat pertama kali buku yang merakam warisan persatuan khairat kematian dihasilkan di sini.

Majlis pelancarannya diadakan di Perpustakaan Negara pada Ahad (25 Sep)

Buku berjudul Khairat Kita: A History of Malay/Muslim Mutual Aid in Singapore memuatkan wawancara, gambar, esei dan renungan peribadi tentang peranan badan tersebut.

Ia ditulis bersama oleh Encik Fauzy Ismail, Encik Zakaria Zainal, dan Encik Zaki Jumahri.

Sejak sekian lama, badan khairat memainkan peranan penting dalam menguruskan kebajikan orang Islam.

Ia menyediakan pelbagai bentuk sokongan bagi keluarga-keluarga merentasi generasi selama berdekad-dekad.

Namun hanya sekitar 20 daripada badan relawan tersebut yang tinggal sekarang.

Jumlah keanggotaan juga merosot dan kebanyakan ahlinya sudah berusia.

Sebagai salah satu tradisi paling lama yang pernah wujud di Singapura, para penulisnya berharap sejarah dan kehadiran badan khairat dapat disebarkan kepada generasi muda.

Malah ada juga usaha untuk menggerakkan badan khairat seiring dengan perkembangan semasa meskipun masa depannya kelihatan tidak menentu.

"Badan khairat akan terus kekal relevan sehingga sekarang sebab mereka ada menggunakan banyak media sosial untuk memberitahu tentang aktiviti-aktiviti mereka. Mereka juga akan menggunakan komunikasi massa seperti WhatsApp dan ada sebilangan mereka yang menggunakan bayaran elektronik untuk membayar yuran mereka setiap tahun," kata Encik Fauzy Ismail, penulis bersama buku tersebut.

Satu lagi cara ia cuba kekal relevan adalah dengan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Selain penerbitan buku itu yang disokong Lembaga Warisan Negara (NHB), sebuah galeri fotografi dan dokumentari mengenai warisan badan khairat juga dihasilkan.

Proses mencabar merakam dokumentari itu dikongsi di majlis pelancaran buku tadi.

"Cabarannya adalah mengadakan bahan-bahan arkib yang kita boleh gunakan dalam dokumentari sebab badan-badan Pertubuhan Faedah Bersama Melayu/Islam (MMBO)wujud sudah lama sebelum perang dunia pertama. Untuk kita menghasilkan atau mencari bahan-bahan yang asli memang sukar. Adapun kita gunakan bahan-bahan dari tahun 70-an, 80-an dan 90-an," jelas Encik Hakimi Jamil, pembuat filem.

Beliau akui banyak lagi yang harus dilakukan supaya masyarakat Melayu tahu akan kewujudan badan-badan khairat. Beliau juga berharap mereka akan tampil ke hadapan di masa akan datang dan menjadi ahli badan-badan khairat.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan