Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku panduan jagaan paliatif kanak-kanak dilancarkan

Sebuah buku panduan tentang penjagaan paliatif pediatrik dilancarkan pada Khamis (19 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah buku panduan tentang penjagaan paliatif pediatrik dilancarkan pada Khamis (19 Okt).

Buku pertama seumpamanya di Singapura, ia bertujuan membantu keluarga dan kanak-kanak yang mempunyai penyakit membawa maut.

Dihasilkan Majlis Hospis Singapura (SHC), buku itu ditulis oleh enam pakar kesihatan dalam bidang penjagaan paliatif dan kanak-kanak daripada pelbagai institusi termasuk HCA Hospice, Hospital Universiti Nasional (NUH) dan Hospital KK bagi Wanita dan Kanak-Kanak (KKH).

(Facebook/SHC)

Khusus untuk ibu bapa, ia mengandungi pelbagai topik termasuk cara-cara memberi sokongan kepada pesakit, teknik-teknik berkomunikasi dan membuat keputusan yang sukar.

Menurut SHC, ia mengambil masa setahun setengah untuk disiapkan.

Kandungan buku tersebut berdasarkan pengalaman para pakar sepanjang kerjaya mereka.

"Bila seorang anak jatuh sakit dengan penyakit yang begitu serius, memang banyak cabaran yang mereka harus fikirkan dan hadapi. Antara faktor-faktor yang mereka kena fikirkan macam mana untuk jaga anak yang sakit, siapa yang nak jaga dan macam mana pula penjagaan keluarga yang lain, mungkin anak-anak yang lain atau ibu bapa mereka sendiri yang mereka tengah jaga," kata Konsultan, Perkhidmatan Penjagaan Paliatif Pediatrik, KKH, Dr Siti Nur Hanim Buang, yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang jagaan kanak-kanak.

(Gambar: Syawal Yusoff)

RAHAYU ALU-ALUKAN LEBIH KESEDARAN TENTANG JAGAAN PALIATIF

Pelancaran buku itu juga berlangsung sempena edisi sulung Pesta 'Live Well, Leave Well' di Perpustakaan Negara sehingga Ahad (22 Okt).

(Facebook/SHC)

Diadakan buat julung-julung kalinya, ia bertujuan memupuk pemahaman mendalam tentang jagaan paliatif.

Disokong oleh 39 rakan kerjasama, ia berharap dapat menarik sehingga 50,000 pengunjung.

Usaha tersebut turut disokong tetamu terhormat, Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang, Rahayu Mahzam yang memuji usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan penjagaan lanjutan (ACP).

Beliau mengalu-alukan lebih banyak perbincangan terbuka tentang pemilihan jagaan di masa hadapan.

"Bagi orang dewasa, ACP memberi mereka peluang untuk meluahkan kepentingan, nilai-nilai dan pemilihan jagaan kesihatan sebelum mereka tidak lagi boleh berbuat demikian. Bagi kanak-kanak, mengadakan perbualan ACP memberi ibu bapa masa untuk memikirkan tentang pilihan untuk anak-anak mereka sebelum berlakunya krisis. Ia juga membolehkan pakar membuat keputusan serta merta.

"Dalam kedua-dua kes, ACP adalah sumber yang penting untuk membantu pesakit dan orang tersayang mereka dalam detik-detik sukar, serupa dengan bagaimana buku ini menjadi rujukan untuk iba bapa yang menghadapi kesukaran sangat mencabar," kata Cik Rahayu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Orang ramai boleh mendapatkan buku ini secara percuma di acara tersebut atau memuat turunnya daripada lelaman berikut: www.singaporehospice.org.sg.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan