Skip to main content

Singapura

Buku panduan bantu belia Muslim imbangi tuntutan kerjaya dan pegangan agama

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Sep 2026 04:54PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:32PM
Guidebook helps Muslim youths balance the demands of their careers and religious beliefs
  • Dr Syed Harun Alhabsyi launched the 'Youth Meets Career Playbook' at the NextGen Youth Symposium 2026, organised by MUIS together with AMP Singapore and supported by NYC.
  • The book, by the Masjid Al-Falah committee, provides practical guidance on prayer, hijab, fasting, professional communication and Muslim identity in the workplace.
  • Ustazah Sharifah Inshirah said the guide addresses common questions raised with the mosque and MUIS, so that youths can confidently pursue careers without neglecting syariah.
  • The symposium, themed around careers and faith, brought together about 800 Muslim youths at the Sands Expo and Convention Centre, with dialogue sessions, panel discussions, networking and 'Career Takeoff'.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Golongan belia kini boleh mendapatkan bimbingan dengan lebih jelas dengan buku panduan baharu.

Bertajuk 'Youth Meets Career Playbook', ia menawarkan panduan praktikal kepada belia Muslim yang melangkah ke alam pekerjaan atau membina kerjaya, termasuk cara mengamalkan agama di tempat kerja, mengekalkan identiti sebagai seorang Muslim serta menangani situasi sosial dalam persekitaran profesional.

Ia dilancarkan oleh Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Negara, Dr Syed Harun Alhabsyi di Simposium Belia NextGen 2026 anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dengan kerjasama AMP Singapore dan sokongan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) pada Sabtu (12 Sep).

"Buku panduan ini menyentuh situasi praktikal yang mungkin dihadapi golongan muda Muslim ketika mereka memasuki dan berkembang dalam alam pekerjaan – daripada mengamalkan agama di tempat kerja, berkomunikasi dengan orang lain hinggalah mengharungi situasi sosial dalam ruang profesional,” kata Dr Syed Harun dalam ucapannya.

"Kami berharap ia membantu anda mengharungi perjalanan masing-masing dengan lebih yakin, sambil terus berpegang teguh pada agama dan nilai-nilai yang dianuti," tambah beliau.

Buku panduan tersebut telah diterbitkan oleh jawatankuasa penulis dari Masjid Al-Falah. Ia merupakan salah satu inisiatif Pasukan Petugas Belia Melayu/Islam.

Menurut penulis tersebut, Ustazah Sharifah Inshirah Aljunied, panduan itu dihasilkan berdasarkan soalan-soalan yang sering diajukan kepada masjid dan MUIS berkaitan kehidupan di tempat kerja.

"Antara soalan yang sering ditanya ialah bagaimana mahu menunaikan solat di tempat kerja, isu pemakaian hijab dan puasa, serta cara berkomunikasi dengan majikan tentang nilai dan kepercayaan Islam," katanya.

Beliau berkata buku panduan itu bertujuan membantu belia Muslim berasa lebih yakin untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya seperti kejuruteraan, undang-undang dan perubatan tanpa mengetepikan batas-batas syariah.
Related article image
Buku panduan tersebut diharapkan dapat membantu belia Muslim berasa lebih yakin untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. (Gambar: Hidir Ezat)
"Kami mahu memupuk nilai bahawa pekerjaan dan Islam tidak berbeza atau bercanggah, malah kedua-duanya boleh bersatu."

"Harapan saya ialah selepas membacanya, belia akan rasa lebih yakin dan tidak takut atau janggal untuk menunjukkan identiti mereka dalam dunia pekerjaan," kata Ustazah Sharifah Inshirah.

Penerbitan buku itu amat dialu-alukan belia seperti Mohammad Akmal Haziq Mohammad Nasser, 19 tahun.

Baginya, buku panduan itu dapat menunjukkan bahawa kerjaya boleh diseimbangkan dengan tuntutan agama.

"Sebagai contoh, ia membantu saya membuat keputusan tentang waktu untuk menunaikan solat dan cara berbual dengan penganut agama lain secara aman, sambil berpegang pada akar dan nilai diri," kata Akmal Haziq.
Related article image
(Gambar: Hidir Ezat)
Buku panduan tersebut boleh dimuat turun menerusi https://go.gov.sg/youthmeetscareerplaybook.

SIMPOSIUM BELIA NEXTGEN

Selain pelancaran buku panduan, simposium itu turut merangkumi sesi dialog, perbincangan panel, kegiatan rangkaian serta 'Career Takeoff', sebuah ruang yang menghubungkan peserta dengan majikan, mentor dan pertubuhan sukarelawan.

Naib Pengerusi Belia Muslim India, Muhammad Rifaye Ibrahim, 24 tahun berkata simposium tersebut memberi peluang kepada belia sepertinya untuk meluaskan jaringan kenalan dan mendapatkan pandangan daripada mentor dan golongan karyawan.

"Jika kita ingin memahami dengan lebih mendalam tentang sesebuah syarikat atau bidang tertentu, simposium seperti ini sangat berguna, terutamanya dengan adanya pelbagai reruai yang disediakan."

"Setiap syarikat atau sektor mempunyai reruai masing-masing. Mereka juga menyediakan mentor serta individu yang benar-benar bekerja dalam bidang tersebut untuk hadir dan berkongsi pandangan serta pengalaman mereka," kata Rifaye.

Simposium tersebut yang bertemakan "Faith and Future: Navigating Career, Anchored in Faith" itu menghimpunkan sekitar 800 belia Muslim di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita