Buku menyusuri sejarah 4PM dilancarkan sempena ulang tahun ke-70
Sempena sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), sebuah buku yang menyusuri perjalanan, perjuangan serta kemajuannya dilancarkan hari ini (2 Dis).
SINGAPURA: Sempena sambutan ulang tahun ke-70 Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), sebuah buku yang menyusuri perjalanan, perjuangan serta kemajuannya dilancarkan hari ini (2 Dis).
Pelancaran buku yang bertajuk 'Dian Masyarakat: Buku Sambutan 70 Tahun 4PM' dirasmikan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkfli.
Sejak ditubuhkan pada 1948, 4PM giat berkhidmat kepada masyarakat dengan fokus kepada pendidikan demi pembangunan masyarakat Melayu.
Itulah yang diraikan menerusi buku setebal 111 halaman yang terbahagi kepada tiga bab, yang antara lain merakamkan jasa bakti para sukarelawan 4PM dan penghargaan kepada masyarakat yang banyak mendorong persatuan itu untuk terus berkhidmat.
Bekas Setiausaha Agung 4PM, Encik Hawazi Daipi berkata: "Ini sebagai satu sejarah bagi 4PM untuk kita mengenali bahawa kepimpinan awal 4PM pernah menyusuri pulau-pulau selatan untuk membawa buku-buku untuk dibaca oleh anak-anak muda atau anak-anak sekolah pada waktu itu.
"Mereka berkhidmat kepada masyarakat di pulau-pulau selatan dan di pelbagai pelosok Singapura," tambah beliau.
Selain itu, buku itu juga memberi gambaran tentang pembaharuan yang dilalui 4PM dengan peredaran masa, serta pemimpin-pemimpin muda yang akan meneruskan perjuangan persatuan tersebut.
"Satu hal unik tentang 4PM adalah kami mempunyai ramai pemimpin muda yang bertenaga, yang banyak idea-idea baru dan ini kami rasa sesuatu kekuatan pada badan 4PM," kata Encik Syed Faisal Syed Ismail, Naib Yang Di-Pertua 4PM.
"Setiap ahli yang baru datang, mereka datang dengan cara yang tersendiri. Mereka membawa suntikan yang baru dan segar, dan satu daripadanya yang tidak hilang ialah semangat atau hati untuk masyarakat," terangnya lagi.
Orang ramai boleh mendapatkan buku tersebut di ibu pejabat 4PM di Bedok Reservoir.
Hasil penjualan akan disalurkan kepada program dan khidmat 4PM untuk golongan belia dan keluarga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.