Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku 'Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid' diharamkan berkuat kuasa 25 Jun

Jika anda memiliki atau mengenali sesiapa yang menyimpan buku “Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid”, sila serahkannya kepada pihak polis dengan segera. Ia adalah satu kesalahan untuk memiliki penerbitan terlarang di S'pura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) mewartakan buku bertajuk “Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid” sebagai satu penerbitan yang dilarang di bawah Akta Penerbitan Tidak Diingini (UPA).

Dalam kenyataan media oleh MCI pada Khamis (24 Jun), kementerian itu menyatakan larangan ke atas buku berkenaan berkuat kuasa 25 Jun 2021. Ia turut menasihatkan orang ramai yang memiliki buku itu supaya menyerahkannya kepada polis.

Buku itu ditulis oleh Abdul Aziz Abu Bakar dan Adnan M. El Halabi dan diterbitkan oleh Hijjaz Records Publishing pada 2015. Ia diketahui Pemerintah semasa siasatan dijalankan ke atas seorang lelaki berusia 20 tahun, Amirull Ali, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mac lalu.

Menurut kenyataan MCI, Amirull membeli buku itu semasa berada di luar negara pada 2015. Siasatan menunjukkan bahawa salah satu faktor yang menyumbang kepada Amirull menjadi radikal adalah dengan membaca buku tersebut.

Buku itu mempromosikan jihad bersenjata dan mengandungi pandangan pelampau yang boleh mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat agama berbeza. Ajaran dan ideologi seumpama itu, menurut MCI, boleh menjejas keharmonian serta hubungan kaum dan agama di Singapura.

MCI menambah Pemerintah tidak akan bertolak ansur terhadap inidvidu mahupun penerbitan yang bertujuan untuk membangkitkan kebencian atau keganasan dalam kalangan kumpulan agama berbeza. Atas dasar ini, Pemerintah memutuskan untuk mengharamkan buku berkenaan.

Ia adalah satu kesalahan di sisi undang-undang untuk mengimport, menerbitkan, menjual atau menawarkan untuk menjual, membekal atau menawarkan untuk membekal, mempamerkan, mengedarkan atau mencetak semula mana-mana penerbitan yang dilarang mahupun mana-mana petikan daripadanya.

Ia juga adalah satu kesalahan terhadap sesiapa saja untuk memiliki atau mempunyai penerbitan yang dilarang tetapi gagal untuk menyerahkan salinan itu kepada polis, tambah kementerian tersebut.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menggesa masyarakat supaya berwaspada terhadap penerbitan buku seumpama itu serta pandangan dan pemikiran di sebalik penerbitannya.

Buku itu mengandungi "idea bermasalah dengan mendorong jihad bersenjata dan menggambarkan individu seperti itu akan mendapat pahala yang berlipat ganda dari Tuhan," menurut MUIS.

"Penggalakan pandangan dan ideologi pelampau yang mempromosikan keganasan, permusuhan serta ketidakpercayaan bukanlah nilai-nilai ajaran Islam yang sebenar atau yang dipegang oleh masyarakat Islam Singapura," tambahnya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan