Buku mengenai sejarah, sumbangan penting masyarakat India Muslim di S'pura dilancarkan
SINGAPURA: Sejarah dan sumbangan penting masyarakat India Muslim di Singapura pada abad ke-19 dirakamkan dalam sebuah buku yang dilancarkan oleh Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) dan AMP Singapura hari ini (11 Jun).
Buku berjudul "Indian Muslims in Singapore: History, Heritage and Contributions" yang ditulis oleh Dr Ab Razak Chanbasha, memberikan gambaran keseluruhan tentang sejarah penghijrahan masyarakat India Muslim ke Singapura, kemajuan serta warisan mereka.
Dr Ab Razak merupakan salah seorang anggota lembaga RIMA.
Menurut Dr Ab Razak, ini juga kali pertama buku seumpamanya mengenai sejarah masyarakat India Muslim di Singapura diterbitkan.
"Sebelum ini ada kisah-kisah mengenai orang India di Singapura tetapi untuk orang India Muslim tidak ada. Itu pun sedikit sahaja. Jadi buku ini kita dapat rakamkan sejarah masyarakat India Muslim dari zaman Raffles dahulu ketika Singapura merupakan satu hab pelabuhan hingga ke sekarang," kata Dr Ab Razak Chanbasha.
Proses penyelidikan, temu bual dan mengumpul maklumat bagi buku ini mengambil masa hampir tiga tahun lamanya.
"Saya rasa kita tidak tahu bahawa masyarakat India Muslim adalah masyarakat majoriti pada tahun-tahun 1800-1900 dalam kalangan masyarakat kaum India. Selepas tahun 1900 baru ramai orang India yang beragama Hindu datang ke Singapura. Selepas itu walaupun jumlah masyarakat India Muslim naik, namun kalau ikut peratusan, ia sudah berkurangan.
"Semasa saya lakukan kajian juga, saya dapati walaupun jumlah wakaf oleh masyarakat India Muslim tidak begitu banyak, tetapi dari segi nilai, hampir setengah daripada nilai wakaf itu berasal daripada masyarakat India Muslim," kata Dr Ab Razak.
(Gambar: AMP)
Sumbangan wakaf dan warisan beberapa individu terkemuka dalam masyarakat India Muslim turut dipaparkan dalam buku setebal 481 muka surat itu.
Ini termasuk Encik K M Oli Mohamed, Profesor Ahmad Mohamed Ibrahim dan keluarga Angullia - Encik Mohamed Salleh Eusoof Angullia dan Encik Ahmad Mohamed Salleh Angullia.
"Saya berasa sangat gembira kerana apa yang dilakukan oleh penulis buku ini, Dr Ab Razak Chanbasha merupakan satu inisiatif yang baik.
"Kami merasakan bahawa sekurang-kurangnya sumbangan datuk moyang kami dapat dirakam dalam buku ini untuk tatapan semua orang. Segala maklumat yang dirakam dalam buku ini boleh dibaca oleh generasi dan keturunan seterusnya," kata Encik Gamal Angullia, generasi keempat daripada keluarga besar Angullia.
Bagi keluarga Encik Oli Mohamed pula, mereka berasa amat berbesar hati dengan buku yang menampilkan sumbangan keluarganya itu.
"Saya rasa mereka (pembaca) boleh belajar daripada apa yang bapa saya sudah lakukan dan mengikut jejak langkahnya untuk menyumbang kepada Singapura. Belajar bagaimana untuk mendorong para peniaga dan memajukan lagi Singapura" kongsi anaknya, Encik Rahmatullah Oli Mohamed kepada BERITAmediacorp.
"Saya pasti dengan usahanya, masyarakat di sini dapat belajar dan mengharumkan nama Singapura menerusi sumbangan mereka," tambah beliau.
RAIKAN PENCAPAIAN PARA PERINTIS MASYARAKAT INDIA MUSLIM
Dalam ucapannya di majlis pelancaran buku ini hari ini (11 Jun), Presiden Halimah Yacob berkata bahawa buku ini merupakan satu usaha untuk "merakam dan meraikan pencapaian para perintis" yang penting dalam membantu masyarakat mengenang sejarah dan memberi makna kepada identiti mereka.
"Dalam sudut yang lebih besar, ia juga membantu membina kefahaman kita tentang pembangunan Singapura sebagai satu negara," ucap beliau.
Presiden Halimah turut menambah bahawa sebagai satu masyarakat yang berbilang budaya dan kaum, Singapura mempunyai identiti yang kompleks tetapi unik dengan pengaruh-pengaruh daripada rantau Asia Tenggara, India, China dan Eropah.
"Meski masyarakat India Muslim lebih kecil berbanding masyarakat-masyarakat lain, ia sudah membuat sumbangan yang cemerlang dalam pembangunan Singapura sepanjang tahun. Ramai usahawan dan pakar yang berjaya datang daripada masyarakat India Muslim. Masyarakat ini juga dikenali dengan dermawan yang murah hati," kongsi Puan Halimah semasa ucapannya.
SALUR LEBIH S$250,000 UNTUK MANFAAT MASYARAKAT INDIA MUSLIM
Sempena pelancaran buku itu juga, hasil pengumpulan dana bagi manfaat masyarakat masyarakat India Muslim iaitu lebih $250,000 turut disalurkan kepada tiga badan dan tujuh masjid.
Tiga badan tersebut adalah Dana Amanah Pendidikan yang ditadbir oleh Yayasan MENDAKI, AMP dan Persatuan Pembangunan India Singapura (SINDA).
Masjid-masjid terpilih pula adalah tujuh masjid yang menyediakan khidmat buat masyarakat India Muslim – Masjid Abdul Gafoor, Masjid Al-Abrar, Masjid Angullia, Masjid Bencoolen , Masjid Jamae Chulia, Masjid Malabar, dan Masjid Moulana Mohamed Ali.
Buku "Indian Muslims in Singapore: History, Heritage and Contributions" boleh didapatkan menerusi online daripada lelaman eshop.amp.org.sg atau dari kedai-kedai buku terpilih pada harga S$60 senaskhah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.