Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku ini mengupas pelbagai sumbangan Melayu kepada S'pura seawal 700 tahun lalu

"Buku ini satu sumbangan yang sangat bererti kerana dari banyak sudut ia menunjukkan 'The Malays Matter' (Melayu Penting) di Singapura," tekan Wan Hussin Zoohri, 82 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: "Buku ini satu sumbangan yang sangat bererti kerana dari banyak sudut ia menunjukkan 'The Malays Matter' (Melayu Penting) di Singapura," tekan Wan Hussin Zoohri, 82 tahun.

"Kami (dapat) lihat masyarakat Melayu membuat sumbangan dari awal lagi dan ia perlu diketahui. Bukan untuk kita bangga-banggakan tapi ia bermakna kepada sejarah Singapura dan ini untuk generasi akan datang," terang beliau lagi mengenai buku 'Beyond Bicentennial: Perspectives on Malays' (Melangkaui Dwiabad: Perspektif mengenai Melayu).

Beliau yang mesra dipanggil Pak Wan adalah salah seorang penyunting buku tersebut - yang dihasilkan sempena memperingati 200 Tahun Singapura pada tahun lalu. Idea menerbitkan buku terbaru itu merupakan idea beliau.

Buku 'Beyond Bicentennial' sememangnya menyumbang lagi kepada khazanah buku yang merakamkan sumbangan masyarakat Melayu kepada pembangunan Singapura.

Namun kali ini, ia dibentangkan menerusi kaca mata para sarjana yang merujuk kepada sejarah sejak lebih 700 tahun dahulu. Kesemuanya 45 esei didokumentasikan dalam buku itu yang ditulis lebih 40 orang.

Petikan gambar video World Scientific Publishing Co.

Selain Pak Wan, dua lagi penyunting bersama buku tersebut adalah mantan Menteri Negara Kanan Ehwal Luar Zainul Abidin Rasheed dan Zamil Kanan ISEAS-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

TOPIK DIKUPAS AJAK PEMBACA RENUNG KEDUDUKAN MASYARAKAT

Esei-esei para sarjana dibahagikan kepada enam tema utama. Antaranya adalah institusi, keperibadian, pembentukan dan penyatuan identiti masyarakat Melayu seawal 1299.

Topik yang ditulis cukup pelbagai dari sarjana yang juga cukup pelbagai.

Prof John Miksic misalnya menulis tentang 'Melayu di Singapura'. Dr Imran Tajudeen, seorang arkitek, menulis tentang 'Historiografi Singapura dan Nama-Nama Tempatnya dalam Sumber-Sumber Melayu Sebelum dan Selepas 1819'.

'Lebih Melayu daripada Pakistan' pula ditulis Abbas Khan. Ada juga satu esei bertajuk 'Pengenalan dan Perkembangan Bola Sepak dalam Masyarakat Melayu/Islam di Singapura, 1819-1941' sumbangan Lim Peng Han.

Jelas, esei-esei ini tidak semuanya ditulis sarjana berbangsa Melayu.

Sedutan buku.

"Mula-mula kita hanya ingin tumpukan kepada pandangan orang-orang Melayu terhadap sumbangan kita ke Singapura. Tapi oleh kerana kita ini masyarakat majmuk, kita mengundang penulis-penulis yang bukan Melayu - meminta mereka berkongsi perspektif terhadap masyarakat Melayu di Singapura," kongsi Pak Wan, seorang mantan Anggota Parlimen yang bersara pada 1991.

Pelbagai penilaian terhadap perkembangan sejarah pula, tambahnya, mengajak pembaca merenung dan mengkaji semula kedudukan serta sumbangan masyarakat Melayu kepada sejarah dan pembangunan Singapura.

Gambar fail. 

Misalnya dalam soal pewarisan harta Sultan Hussein Mohamed Shah mahupun penguatkuasaan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (AMLA) yang kata beliau, "memberi kebaikan kepada perkembangan agama kita di Singapura".

HARAP NILAI NENEK MOYANG TERPELIHARA

Dengan sejarah disusun rapi menerusi sudut pandangan para penulis esei, Pak Wan melahirkan harapan nilai-nilai penting yang ditegakkan nenek moyang kita akan terus dipegang generasi sekarang dan akan datang.

Ini lebih-lebih lagi ketika kita sekarang ini sedang menghadapi masa-masa sukar.

"Sebagaimana yang dinyatakan oleh Zainul Abidin, masyarakat Melayu bukanlah masyarakat terasing di Singapura. Istilah yang digunakan Zainul adalah ‘integral part’ maknanya bahagian yang tidak boleh dipisahkan dengan masyarakat lain," jelas Pak Wan.

(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli Razak)

Banyak peristiwa sejarah sudah mencerminkan ciri masyarakat Melayu ini dan ciri itu masih hidup sekarang, tambah beliau.

"COVID-19 ini, merupakan satu cabaran bagi semua. Jadi kita boleh lihat bagaimana masyarakat Melayu membuat beberapa penyesuaian, seperti tentang solat di masjid. Walaupun agak sulit, kalau kita lihat, masyarakat Melayu dapat menyesuaikan diri mereka."

Buku 'Beyond Bicentennial' boleh mula ditempah secara online pada harga dari S$37 bagi edisi kulit lembut dan S$204 bagi edisi kulit keras.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan