Buku feskrip hargai sumbangan Dr Kamsiah Abdullah dalam pendidikan bahasa Melayu dilancarkan
SINGAPURA: Dr Kamsiah Abdullah adalah seorang tokoh yang terkenal dalam dunia pendidikan Bahasa Melayu dan merupakan profesor wanita Melayu pertama di Singapura.
Kerjayanya sebagai pendidik bermula pada tahun 1964 di Sekolah Melayu Kota Raja, di mana beliau mengajar Sains dan Bahasa Melayu.
Beliau kemudiannya meneruskan khidmat di dua institusi lain, iaitu Sekolah Perempuan Tanjong Rhu dan Sekolah Menengah Maju, yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Broadrick.
Sepanjang hampir 60 tahun dalam bidang pendidikan, Dr Kamsiah telah mendidik pelajar dari pelbagai peringkat, dari sekolah rendah hingga ke menara gading.
Sejak tahun 1984, beliau telah berkhidmat di Institut Pendidikan Nasional (NIE), mengajar di pelbagai peringkat dan memberikan impak yang signifikan dalam dunia pendidikan.
MENYEMAI KEMULIAAN, SEBUAH FESKRIP UNTUK KAMSIAH ABDULLAH
Sebagai penghargaan atas sumbangan beliau yang tidak ternilai, Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia (ALC) di NIE-NTU telah menerbitkan sebuah buku dedikasi bertajuk "Menyemai Kemuliaan: Sebuah Feskrip untuk Kamsiah Abdullah".

Feskrip dwibahasa itu bukan sahaja mengakui sumbangan besar beliau dalam dunia pendidikan, tetapi juga mencerminkan rasa kagum dan penghargaan yang mendalam daripada rakan sejawat, pelajar, dan masyarakat akademik.
Penghasilan buku itu adalah langkah penting dalam menghargai jasa Dr Kamsiah, yang telah memberikan impak signifikan dalam bidang pendidikan Bahasa Melayu di negara ini.
Dr Kamsiah berkata: "Saya rasa gembira, bersyukur kerana rakan-rakan saya menyediakan penerbitan ilmiah yang menghargai sumbangan saya dalam bidang akademik selama ini."
Feskrip setebal 170 muka surat itu menghimpunkan pandangan daripada pelbagai cendekiawan, termasuk tokoh pendidik dan pengkaji bahasa serta budaya Melayu, seperti Dr Hadijah Rahmat dan Ketua Kumpulan Akademik Bahasa dan Budaya Asia NIE-NTU, Profesor Madya Dr Mukhlis Abu Bakar.

Ketua editornya, Dr Roszalina Rawi berkata: "Harapan kami dalam kami menghasilkan feskrip ini adalah agar masyarakat dapat tahu tentang kewujudan anggota akademik yang banyak menabur budi ke dalam dunia pendidikan terutama bagi guru-guru Melayu. Kita tidak ingin generasi lupa akan jasa dan sumbangan Dr Kamsiah yang telah menyiapkan ruang untuk para guru mendapatkan ijazah buat guru-guru kerana beliau yang membangunkan program itu."
Dr Roszalina sendiri pernah menjadi pelajar Dr Kamsiah suatu ketika dahulu.
"Saya juga sebagai murid beliau, ketika saya dalam program program Diploma Pendidikan Possiswazah (PGDE) dan Sarjana. Kenangan manis bersama Dr Kamsiah terutama semangat beliau dalam mendidik, tidak pernah marah, sentiasa membimbing dan sentiasa menunjukkan ketekunan untuk sambung belajar."
"Sampai sekarang, beliau masih lagi menulis buku,masih mengajar, dan ia satu inspirasi buat saya. Apabila mewawancara beliau, kita dapat dengar jalan cerita beliau, meskipun bukan perjalanan mudah tetapi beliau bertekad hebat dan itu menjadi inspirasi dan contoh buat saya," kongsi Dr Roszalina.
Feskrip yang dihasilkan itu juga diharapkan dapat menjadi iktibar dan sumber motivasi bagi para pendidik Bahasa Melayu yang masih aktif membangunkan bidang tersebut.
Beliau berkata: "Para pelajar yang sedang berkecimpung dalam kursus kesarjanaan, sarjana muda, sarjana, ada yang dalam PhD, nasihat saya agar teruskan dalam bidang akademik ini. Ia bukannya susah tetapi perlukan banyak kesabaran dan ketekunan dalam melakukan kajian, mengkaji ilmu dalam pendidikan, dan khususnya dalam pengajian Melayu."
"Khusus untuk guru-guru Melayu, ia sesuatu puncak kesarjanaan yang ada di sini. Kita tidak perlu melangkah ke luar negara. Kita mempunyai ramai guru, para pensyarah yang berpengalaman dan berpengetahuan mendalam dalam bidang masing-masing. " tambah Dr Kamsiah.

Setakat ini, hanya 50 salinan feskrip tersebut telah dicetak.
Rancangan terdekat pihak ALC adalah untuk menjadikan feskrip itu sebagai bahan rujukan di perpustakaan NIE-NTU.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.