Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku dokumentasi seni masyarakat Melayu dilancar, pameran SeniKita berlangsung hingga 17 Dis

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah buku merakam seni masyarakat Melayu dilancarkan pada Sabtu (9 Dis) dalam majlis perasmian Pameran SeniKita di Galeri Kamal Arts.

Buku berjudul 'SeniKita - Art of Singapore Malay Community' itu mendokumentasikan pelbagai pameran dan projek-projek seni masyarakat sepanjang lima tahun ini.

Ia antaranya menampilkan karya-karya seni daripada siri pameran tahunan, SeniKita, anjuran Kamal Arts Ltd dengan kerjasama Wisma Geylang Serai (WGS).

Ia merupakan usaha yang dimulakan di bawah inisiatif Jalur Budaya Geylang Serai dengan kerjasama Kamal Arts.

Pengasas Kamal Arts, Encik Kamal Dollah berkongsi dengan wartawan Nazirah Jamzuri bahawa sebelum itu, setiap projek yang dianjurkan akan didokumentasikan secara elektronik di lamannya.

Namun setelah beberapa projek dan pameran yang dilakukan, mereka memutuskan untuk membukukannya.

"Buku ini lain sedikit kerana buku ini pun (boleh) menjadi bahan rujukan di perpustakaan dan juga di sekolah-sekolah. Jadi dengan adanya bahan rujukan sedemikian, kita dapat mengetengahkan karya-karya seniman Melayu Singapura dan buku ini juga adalah sebagai satu direktori di mana ada tertulis dan tercatatnya semua peserta dalam pameran-pameran yang lalu," kongsi Encik Kamal,

Hadir untuk merasmikan pameran itu ialah tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau menganggap membukukan kerja-kerja seni masyarakat Melayu itu sebagai satu langkah penting.

"Buku ini boleh menyumbang kepada khazanah-khazanah yang kita sedia ada dan ia juga dapat memberi ruang kepada golongan muda untuk melihat bagaimana mereka boleh bukan sahaja mempelajari malah meneruskan usaha ini," kongsi Dr Faishal kepada BERITA Mediacorp.

"Saya harap ia boleh diteruskan supaya kita boleh memberi peluang kepada pelukis-pelukis ini ataupun mereka yang gemar dalam aspek kesenian ini untuk melihat bagaimana mereka boleh mengimbas kembali dan melihat apa yang telah dilukis ataupun dibangunkan dan mereka boleh menggunakan tahap ini untuk terus membangun," tambah beliau.

Dalam pada itu, untuk pameran SeniKita 2023, sekitar 29 karya seni dari 23 artis tempatan terpilih untuk pameran yang bertemakan 'Globalisasi'.

ROFI TERIMA ANUGERAH TERBAIK KESELURUHAN

Ia dilakukan menerusi undangan terbuka dan karya terbaik juga diiktiraf.

Anugerah Karya Terbaik Keseluruhan kali ini dimenangi oleh Rofizano Zaino atau lebih dikenali sebagai 'Rofi'.

"Sudah tentu (saya) gembira dan bangga kerana dapat pengiktirafan daripada artis-artis yang lain. Ini satu pengiktirafan dan saya amat rasa bangga, dan rendah diri," kongsi Rofi.

"Sebenarnya, saya tidak mengharapkan untuk menang. Bila saya memulakan setiap karya dan setiap lukisan, memang tujuan saya ialah untuk memberi yang terbaik jadi itu yang saya harapkan," tambahnya.

Rofi menampilkan karya seni berjudul 'Jurus' iaitu satu terma yang digunakan dalam Silat - seni mempertahankan diri tradisional yang sinonim dengan masyarakat Nusantara.

Karya seninya itu dihasilkan menggunakan "Mixed Media" yang menggunakan lebih daripada satu bahan atau media.

"Idea ini telah terpendam di dalam fikiran saya buat sekian lama tentang identiti saya sebagai seorang (anak) Melayu di Singapura. Dan sebagai seorang artis, bagaimana saya dapat ilham, bagaimana saya mengerjakan atau berkarya atau membuat satu karya, sama ada lukisan mahupun yang lain dan bagaimana kita menonjolkan identiti kita sebagai seorang Melayu," kongsi Rofi.

"Pada masa yang sama, mengikut aliran atau perubahan yang sudah terjadi, antaranya globalisasi dan bagaimana kita dapat pengaruh daripada budaya-budaya yang lain dan bagaimana kita menyatukan semua ini iaitu idea dan ilham ini dalam karya dan cara kita menghasilkan karya kita," tambah beliau.

Baginya, platform sebegini penting untuk para artis tempatan sepertinya.

"Kita tahu memang susah untuk membuat kerjaya seni sebagai kerjaya sepenuh masa jadi kita harus mencari masa lapang sendiri untuk mengerjakan atau menghasilkan karya-karya kami dan kami selalu rasa kalau kami tidak ada peluang untuk menunjukkan karya-karya kami, ia menjadi satu perkara yang hanya terpendam di dalam kehidupan kami sendiri kerana kami tidak dapat meluahkannya kepada masyarakat atau dunia jadi platform sebegini memberi kami peluang untuk menonjolkan karya-karya kami," ujar Rofi.

NADIAH NADZIRAH SABARI, PESERTA TERMUDA TERIMA ANUGERAH ARTIS HARAPAN

Selain bakat-bakat berkaliber, pameran kali ini juga menarik artis generasi pelapis seperti peserta paling muda kali ini, Cik Nadiah Nadzirah Sabari, 23 tahun.

Penyertaannya kali ini juga berbaloi apabila diiktiraf dengan Anugerah Artis Harapan.

"Saya sangat gembira kerana berada di sini dengan artis-artis yang lain dan juga keluarga saya yang sentiasa menyokong saya dan saya berterima kasih dengan Encik Kamal dan Kamal Gallery kerana memberi saya peluang di sini untuk berkongsi karya seni saya dengan orang lain," kongsi Cik Nadiah.

Pelajar Maktab Seni LASALLE itu menghasilkan karya seni menggunakan akrilik yang berjudul 'Kata-kata itu Doa'.

"Karya saya selalunya lebih kepada tradisional berbanding generasi saya kini yang lebih moden jadi saya ingin menunjukkan kepada dunia dan generasi saya bahawa seni lama dan teknik-teknik lama masih boleh digunakan lagi dalam seni hari ini," kongsi Cik Nadiah.

"Saya menyertai pameran ini kerana saya rasa ia ada potensi untuk menolong generasi baharu seperti saya mempelajari cara yang lama serta teknik-teknik yang tidak digunakan lagi. Jadi saya rasa bertuah dapat meraih pengalaman ini pada usia yang muda," tambahnya.

Bagi Cik Nadiah, pameran itu juga dapat membantunya untuk memperluaskan lagi amalannya dalam seni dan menjadi peluang baginya untuk menampilkan perspektif yang baharu dalam seni terutama sekali untuk mereka yang tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang seni.

"Saya harap karya seni saya dapat membuka mata orang di luar sana untuk menerima artis Melayu dan juga teknik-teknik Melayu dalam dunia yang moden ini," ujar Cik Nadiah.

Naib juara bagi Anugerah Terbaik Keseluruhan pula dimenangi oleh Encik Gazaly Haron.

WADAH PENTING UNTUK PARA ARTIS TEMPATAN TERMASUK PELUKIS MUDA

Wadah sebegini menurut Encik Kamal amat penting dan merupakan satu peluang untuk artis tempatan di sini, yang kebanyakan bukan artis sepenuh masa, untuk terus berkarya.

"Di Singapura ini, ramai yang berkecimpung dalam seni tetapi kita tidak dapat berkarya sebagai seniman sepenuh masa jadi sekurang-kurangnya kita terus berkarya walaupun kita ada kerja yang lain. Jadi di sebalik kerja (sepenuh masa) untuk menyara hidup, (kita) masih dapat berkarya," kongsi Encik Kamal.

"Jadi sekurang-kurangnya satu atau dua karya setiap tahun, dan dari situ kita pun dapat bersama dan dengan wadah ini, kita dapat mengetengahkan citarasa masyarakat Melayu. Jadi kita dapat lihat apakah citarasa, keindahan, dan masalah masyarakat Melayu yang dipaparkan dalam seni lukis. Itu saya rasa yang istimewa setiap tahun," tambahnya.

Dalam masa yang sama, wadah sebegini juga menurut Dr Faishal memberi ruang kepada para pelukis muda untuk menyumbang kepada kesenian Singapura.

"Pada tahun ini, kita dapat lihat lebih ramai pelukis muda yang tampil ke hadapan dan mereka pun dalam aliran yang tertentu seperti di NAFA, LASALLE dan ini menunjukkan bahawa kita ada harapan untuk membangunkan wadah dan juga peluang untuk mereka memainkan peranan dalam pembangunan bukan sahaja dalam kesenian Singapura malah pembangunan negara kita kerana semakin kita membangun, semakin itu aspek-aspek budaya dan kesenian itu penting," ujar Dr Faishal.

"Saya rasa gembira dengan adanya usaha untuk meningkatkan kerelevanan kesenian di mana kita dapat melihat agensi-agensi pemerintah bekerjasama dengan badan-badan seperti Kamal Arts dan juga pelukis-pelukis yang sama-sama memikul tanggungjawab ini agar kita boleh meneruskan usaha membangunkan wadah-wadah yang baik dalam aliran seni," tambahnya.

Ini merupakan edisi keempat bagi pameran SeniKita dan ia akan berlangsung sehingga 17 Disember di galeri Kamal Arts di WGS.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan