Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku biografi guru, sejarawan Buyong Adil dilancarkan demi lestari sumbangannya

Buku biografi guru dan sejarawan Melayu terkenal, Buyong Adil, dilancarkan hari ini (28 Mac) dalam usaha memperkenalkan semula tokoh tersebut kepada generasi muda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buku biografi guru dan sejarawan Melayu terkenal, Buyong Adil, dilancarkan hari ini (28 Mac) dalam usaha memperkenalkan semula tokoh tersebut kepada generasi muda.

Bertajuk 'Abahku, Buyong Adil', buku itu ditulis oleh anaknya sendiri, Cik Nor Hayatee Yusof, demi melestarikan sumbangan penting bapanya di Malaya.

SIAPA BUYONG ADIL?

Tegas, berilmu namun bijak berjenaka - inilah antara sisi guru dan sejarawan terkenal, Buyong Adil atau nama sebenarnya Mohd Yusof Adil.

Tokoh yang cukup dihormati di Malaya itu sebelum pemergiannya pada 1976 pada usia 69 tahun, pernah menulis sekitar 20 buku mengenai sejarah setiap negeri Tanah Melayu termasuk Sejarah Pahang, Sejarah Johor dan Sejarah Singapura yang merujuk kepada peristiwa sebelum tahun 1824.

Dilahirkan di Perak, Cikgu Buyong Adil juga pernah menjadi pensyarah Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) dan kemudian menjadi penyiar radio yang popular di Singapura dengan rancangan berbentuk pendidikan.

Ini termasuk kuiz 'Menduga Akal' dan drama 'Gubahan Kisah Sejarah' yang memaparkan kisah-kisah dari Al-Quran.

Beliau juga pernah menjadi anggota Melayu kedua dilantik ke dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) pada tahun 1964 hingga 1969, selepas bekas presiden Yusof Ishak.

"Dia juga menjadi pengantara atau 'arbitrator' bagi badan-badan Islam yang bertelagah pada ketika itu," kata Cik Hayatee yang merupakan anak bongsu Cikgu Buyong Adil.

"Dia orangnya serius, berpengetahuan, berilmu tetapi dia ada daya lucu. Dan dia selalu diundang (menjadi) 'arbitrator' ini sebab kebolehan dia menyelesaikan satu-satu masalah itu dengan cara berjenaka dan lemah-lembut yang boleh diterima kedua-dua pihak yang bertelagah."

HAYATEE: PENCAPAIAN BUYONG ADIL LUAR BIASA

Semua itu diungkap dalam buku biografi tulisan Cik Hayatee itu, yang pernah menjadi penyampai radio dan berita televisyen Melayu di Singapura.

"Selepas dia meninggal dunia pada tahun 1976, memori atau kenangan mengenainya atau namanya mula kelam. Saya rasa ramai mereka yang lahir tahun 80-an tak kenal dia langsung.

"Tapi saya rasa pencapaiannya luar biasa dan saya mahu buku ini dilestarikan supaya anak cucu keturunannya dan juga orang awam mengenali dia dengan lebih rapat lagi, mengenali kebolehan dia, disiplinnya dan saya rasa jarang kita jumpa orang-orang seperti itu," kongsi Cik Hayatee.

Yang pasti, sumbangan dan ketokohan Cikgu Buyong Adil pada umumnya perlu dikenang oleh masyarakat Singapura dan Malaysia.

Ini dibayangkan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Muhammad Radzi Jamaludin, yang melancarkan buku biografi itu.

"Cikgu Buyong Adil merupakan satu, kita panggil 'sejarawan'. Dia bukukan, kerja-kerja, karya-karya dan pengalaman-pengalaman beliau dalam gerakan kemerdekaan dalam tahun 1930-an, 1940-an dan 1950-an, sehinggalah kita merdeka daripada British.

"Jadi secara amnya, dia pejuang kemerdekaan. Dalam hal ini, kita sama-sama meraikan seorang pejuang kemerdekaan sebenarnya, di Malaysia ke di Singapura ke, sama-sama, dia adalah seorang pejuang kemerdekaan."

Lantaran itulah, kata Cik Hayatee, jika kisah bapanya itu tidak beliau bukukan "orang akan lupa pada dia" sedangkan kata beliau "boleh dijadikan contoh sebagai pemimpin yang baik".

Cikgu Buyong Adil semasa di Singapura pernah menjadi Naib Presiden II Jamiyah Singapura pada tahn 1970. Demi mengenang sumbangan Allahyarham, Jamiyah bertindak menjadi penerbit rasmi buku biografi itu.

Biografi 'Abahku, Buyong Adil' boleh dibeli di ibu pejabat Jamiyah, pada harga $30. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan