Skip to main content

Singapura

Buku bergambar kanak-kanak dwibahasa Siri Azim dilancarkan; papar warisan seni Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
Buku bergambar kanak-kanak dwibahasa Siri Azim dilancarkan; papar warisan seni Melayu

Buku-buku bergambar kanak-kanak dwibahasa, Siri Azim dilancarkan; memapaparkan warisan seni Melayu. (Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar)

SINGAPURA: Ingin merakam warisan seni Melayu Singapura dalam bentuk buku bergambar sebagai pengenalan kepada pembaca cilik yang mungkin kurang terdedah kepada seni tradisional Melayu.

Itulah yang mencetus idea penulis Nur-El-Hudaa Jaffar yang mengarang dua buku bergambar dwibahasa (Melayu–Inggeris), Siri Azim, yang dilancarkan hari ini (29 Mei).

Buku Hadiah Istimewa. (Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar) 

Dua karya terbaru Cik Nur-El-Hudaa itu Bertajuk 'Hadiah Istimewa' dan 'Pling! Pak! Bong!'. 

Ia dikarang khas buat kanak-kanak di peringkat prasekolah dan ke atas. 

Menurut Cik Nur-El-Hudaa, beliau ingin memaparkan bahawa "kesenian Melayu dapat berganding dengan daya cipta dan imaginasi kanak-kanak".

Ini lebih-lebih lagi dalam suasana masyarakat "yang terdedah pada pelbagai pengaruh luar".

"Keprihatinan ini juga mendorong saya untuk menceritakan kisah Azim dalam Bahasa Melayu dan Inggeris supaya kanak-kanak bukan Melayu dapat mengenali warisan seni Melayu. Siri Azim ialah sumbangan kecil saya kepada kesinambungan budaya Melayu," kongsi Cik Nur-El-Hudaa.

Buku Pling! Pak! Bong! (Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar) 

Misalnya, buku Hadiah Istimewa memperkenalkan seni batik manakala buku Pling! Pak! Bong! pula memperkenalkan alat muzik tradisional Melayu. 

Projek itu turut disokong oleh Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew. 

KESENIAN MELAYU DIGANDING DENGAN PERKEMBANGAN EMOSI KANAK-KANAK 

Menariknya juga, kesenian Melayu turut digandingkan dengan isu perkembangan dan pembangunan emosi kanak-kanak dalam buku-buku tersebut.

Dalam buku Hadiah Istimewa misalnya, seni batik itu yang menjadi satu ciptaan kenangan manis buat Azim mengubati rindu kepada neneknya selepas berpisah. 

(Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar) 

"Siri Azim bertujuan untuk menggalakkan kanak-kanak supaya melahirkan kreativiti dan mengungkapkan pendapat mereka, serta mengenali perasaan," ujar Cik Nur-El-Hudaa. 

ORANG DEWASA MAINKAN PERANAN PENTING BANTU KANAK-KANAK BENTUK EMOSI MEREKA 

Tumpuan ini turut menarik perhatian tetamu kehormat majlis pelancaran buku-buku itu, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim. 

Beliau berpendapat isu berkaitan dengan perkembangan emosi kanak-kanak ialah topik yang penting dan wajar diberi perhatian. 

(Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar) 

"Sebagai orang dewasa, kita memainkan peranan penting untuk membantu kanak-kanak mengenali, mengendali dan meluahkan emosi mereka dengan cara yang sihat," kata Dr Faishal. 

Ini menurutnya lagi, dapat dicapai melalui kegiatan membaca antara ibu bapa dan pengasuh dengan anak-anak. 

"Kanak-kanak yang dapat memahami perasaannya lalu meluahkan apa yang dirasainya dengan cara yang sesuai, akan lebih berupaya untuk berdepan dengan tekanan atau cabaran pada masa hadapan," ujar Dr Faishal. 

Selain itu, beliau turut memuji unsur-unsur budaya Melayu yang diterapkan dalam karya-karya baru itu serta menggalak ibu bapa untuk terus menggerakkan pemikiran anak-anak mereka dengan mengadakan perbincangan atau kegiatan sesudahnya membaca. 

Buku-buku itu boleh didapatkan di kedai-kedai buku dalam talian Pustaka Islamiyah di Lazada Mall.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita