Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Buku amalan, budaya dan kamus bahasa Bawean pertama Singapura dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah buku tentang amalan harian, budaya serta senarai kekata dalam bahasa Bawean dilancarkan hari ini (20 Mac).

Buku berjudul 'Aocak Phebien: Berbahasa Bawean' itu merupakan yang pertama seumpamanya ditulis dan diterbitkan di Singapura. 

Buku terbitan Persatuan Bawean Singapura (PBS) ini bukan sahaja memberi senarai kosa kata bahasa Bawean dan disertakan maknanya dalam bahasa Melayu tetapi juga menampilkan aspek-aspek berkaitan budaya dan amalan kehidupan masyarakat Bawean di Singapura. 

"Masyarakat Bawean mempunyai kemesraan, ketulusan hati yang sangat besar, yang saya tidak dapat di tempat lain. Jadi saya membuat tanggapan bahawa semangat kemesraan, ketelusan hati ini datang dari bahasa itu sendiri, bahasa yang mereka warisi," kongsi penulis buku ini, Amanah Mustafi. 

Menurutnya lagi, pembaca juga dapat mempelajari banyak perkara yang mungkin mereka tidak tahu sebelum ini seperti perkataan-perkataan Melayu yang tidak ada dalam Bahasa Bawean.

"Bahasa Bawean tidak ada perkataan cinta, seperti saya cintakan awak. Yang ada cuma Eman," menurut penulis itu yang bermaksud 'sayang' dalam bahasa Melayu.

Buku setebal 293 muka surat ini juga mengandungi cerpen-cerpen dan syair dalam Bahasa Bawean yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu.  

BANTU GENERASI MUDA KENALI DAN PELAJARI BAHASA BAWEAN

Buku 'Aocak Phebien: Berbahasa Bawean' merupakan antara inisiatif PBS untuk meneruskan budaya mendokumentasikan ehwal bahasa Bawean serta melestarikan warisan dan budaya masyarakat Bawean. 

Menurut Presiden PBS, Faizal Wahyuni, buat masa ini, tidak ada sebarang buku dalam bahasa Melayu yang mengajar atau membantu seseorang yang ingin belajar pertuturan bahasa Bawean.

"Alhamdulillah, PBS dapat menerbitkan buku ini bagi membantu generasi muda lebih-lebih lagi untuk mengenali dan mungkin juga mempelajari bertutur dalam bahasa Bawean," kata Encik Faizal. 

Apabila ditanya apa keistimewaan buku itu, ini jawapan penyunting buku, Sundusia Rosdi:

"Jika mereka membaca buku ini, mereka bukan sahaja dapat mengetahui kosa kata baru tetapi mereka juga dapat mengetahui cara menyebut perkataan itu dengan sebenarnya dan sebaik mungkin."

Para pembaca boleh menggunakan peranti bijak mereka untuk mengimbas kod QR yang disertakan dalam buku ini bagi mendengar keratan audio bagaimana untuk menyebut perkataan-perkataan Bawean. 

KENANG SUMBANGAN ORANG BAWEAN KEPADA PEMBANGUNAN S'PURA

Turut hadir untuk melancarkan buku ini adalah Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.

"Buku seperti ini memberi peluang kepada anak-anak muda kita untuk mengimbas kembali apakah sumbangan golongan seperti kumpulan etnik Bawean kepada pembangunan masyarakat Singapura, masyarakat Melayu khususnya dan masyarakat Singapura pada amnya," menurut Dr Maliki. 

"Yang penting kita akur bahawa masyarakat Melayu kita mempunyai pelbagai kumpulan etnik dan bahasa menunjukkan bangsa. Walaupun kita mempunyai bahasa Melayu yang diajar di sekolah-sekolah kita, kita juga mahu anak-anak tahu bahawa terdapat juga bahasa-bahasa etnik yang wujud," tambah beliau lagi.

'Aocak Phebien: Berbahasa Bawean' boleh didapatkan di pejabat PBS atau di kedai buku Muslimedia dengan harga $S30. 

Ini merupakan buku ketiga terbitan PBS dengan sokongan Lembaga Warisan Negara (NHB). 

Ia sebelum ini pernah menerbitkan dua buku berjudul La-A-Obe yang mengisahkan tentang sejarah masyarakat Bawean di Singapura, serta Ponthuk Bawean di Singapura yang merakamkan pengalaman hidup para penghuni di pondok-pondok masyarakat itu di sini suatu ketika dahulu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan