Bukan sahaja bantu dan sokong tapi juga perkasa golongan berpendapatan rendah, warga emas
Hampir setiap hari, Cik Fatimah Abdul Rahiman, 68 tahun datang ke Pusat Penuaan Aktif (AAC) Jia Ying di Hougang.
SINGAPURA: Hampir setiap hari, Cik Fatimah Abdul Rahiman, 68 tahun datang ke Pusat Penuaan Aktif (AAC) Jia Ying di Hougang.
Di pusat itu, warga emas yang tinggal sebatang kara itu dapat melakukan pelbagai aktiviti termasuk bersenam, melukis, membuat kraf tangan dan bercucuk tanam.
Meskipun tidak lagi dapat bekerja akibat kecederaan yang pernah dialaminya, Cik Fatimah juga masih aktif menyumbang tenaga sebagai relawan dan pendamping kepada warga emas lain yang menetap di flat-flat sewa.
"Saya sangat gembira kerana banyak kawan dan berasa senang hati. Saya suka jaga warga emas kerana saya pun sudah tidak ada ibu bapa, jadi saya anggap mereka sebagai ibu saya," kata Cik Fatimah.
Dengan lebih ramai warga emas yang memilih untuk meniti usia senja mereka di rumah sendiri, pemerintah akan memperluaskan rangkaian pusat penuaan aktif dan menawarkan lebih banyak pilihan perumahan yang disepadukan dengan khidmat sedemikian.
Ia diharap dapat memanfaatkan sekitar 80 peratus warga emas yang mendapat akses kepada kegiatan berdekatan rumah mereka menjelang 2025.
Usaha untuk bantu warga emas menua dengan sejahtera ialah antara tujuh anjakan utama yang digariskan dalam laporan Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura yang dilancarkan pada Jumaat (27 Okt).
Di samping itu, sebuah program nasional baharu yang dipanggil Sihat Menua SG sedang dilakarkan pemerintah bagi memperkasa golongan itu agar dapat hidup bermasyarakat, tidak dipinggirkan dan kekal aktif.
BUKAN SAHAJA BANTU TAPI PERKASA GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH
Selain golongan dalam peringkat usia senja, pemerintah juga mahu sokong keluarga pada setiap tahap kehidupan serta memperkasa mereka yang memerlukan.
Menurut laporan Gerakan Melakar Hala Tuju Singapura, pendekatan perlu beralih daripada bantuan sosial kepada pemerkasaan sosial.
Ini agar dapat memperkukuh rasa tanggungjawab keluarga atas keadaan masing-masing dan beri mereka keyakinan untuk berusaha ke arah kemajuan dalam kehidupan mereka.
Anjakan sebegini dialu-alukan Ketua Pusat Khidmat Keluarga (FSC), Cik Khalisah Samsuri yang sudah menguruskan lebih 800 kes.
Berdasarkan pengalamannya, Cik Khalisah percaya setiap keluarga itu mempunyai kekuatan masing-masing dan sokongan yang diberikan perlu disesuaikan mengikut keadaan keluarga itu.
"Kekuatan misalnya mempunyai kemahiran tertentu yang boleh dimanfaatkan dan menyokong mereka mengambil langkah kecil untuk menjana pendapatan atau meneroka peluang pekerjaan menggunakan kemahiran yang sedia ada," kata Cik Khalisah.
Meskipun memerlukan bantuan, sesetengah keluarga berpendapatan rendah menurut beliau, masih mempunyai kebolehan tertentu yang boleh diperkasakan.
Ini agar bantuan yang dihulurkan bukan sahaja dapat meringankan kesusahan yang dialami mereka tapi juga memperkasa mereka buat jangka masa panjang.
“Kadang-kadang orang datang mereka kata mereka perlukan duit, bantuan kewangan, saya tak ada kerja. Namun itu di permukaannya sahaja, di sebaliknya mereka mereka mungkin telah lakukan sesuatu yang bantu keadaan keluarga mereka,” kata Cik Khalisah.
“Misalnya, pekerjaan tetap mungkin tidak sesuai bagi mereka kerana mereka ada tanggungjawab mengasuh anak-anak atau jaga anggota keluarga tapi bagi mereka pekerjaan seperti penghantaran makanan adalah terbaik kerana dapat uruskan, sokong dan jaga keluarga dalam masa yang sama dapat gaji. Dalam cara begini, mereka sebenarnya masih boleh jana pendapatan,” tambah beliau.
Menurut Cik Khalisah, FSC perlu mengenal pasti dahulu keperluan keluarga-keluarga yang dibantu supaya khidmat atau sokongan yang lebih sesuai dapat diberikan.
“Dari situ juga bukan sahaja kita lihat pada keperluan mereka tapi juga kekuatan yang mereka ada. Lebih mudah kerana dengan kekuatan yang mereka sudah ada, kita dapat lebih membantu mereka untuk bekerjasama dapatkan badan-badan yang lain untuk berkolaborasi," kata Cik Khalisah.
Usaha tersebut selaras dengan langkah pemerintah untuk mengambil pendekatan berbeza dalam menyokong golongan tersebut - daripada menghulurkan bantuan sosial kepada memperkasa golongan tersebut.
Di bawah skim baharu ComLink+ yang dipertingkat misalnya, lebih banyak sokongan akan diberi kepada golongan bergaji rendah supaya mereka bukan sahaja dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, malah terus kekal ke arah kemajuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.