Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bukan NCMP sasaran SDA, tegas Desmond Lim

Ketua Perikatan Demokratik Singapura (SDA) Desmond Lim berkata para pengundi tidak seharusnya "dilencongkan" daripada kempen parti itu untuk Pilihan Raya Umum (GE) sedang perbincangan tentang skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dibangkitkan. 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Jul 2020 02:34PM Dikemas Kini : 02 Jul 2020 09:32PM

SINGAPURA: Ketua Perikatan Demokratik Singapura (SDA) Desmond Lim berkata para pengundi tidak seharusnya "dilencongkan" daripada kempen parti itu untuk Pilihan Raya Umum (GE) sedang perbincangan tentang skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dibangkitkan.

“Kami tidak mahu terjerat dalam perangkap PAP yang memberitahu orang ramai bahawa sudah ada (kerusi) NCMP yang mencukupi jadi kita semua tidak memerlukan pembangkang," Encik Lim memberitahu Mediacorp pada Khamis (2 Jul). "Kami datang ke sini bukan untuk bertanding sebagai NCMP. Kami berada di sini untuk bertanding bagi AP sepenuhnya."

Skim NCMP, diperkenalkan pada 1984 bagi membolehkan "calon yang kalah dengan prestasi terbaik" daripada pihak pembangkang untuk memasuki Parlimen setelah Pilihan Raya Umum.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebelum ini berkata "tiada kemungkinan" pembangkang dikecualikan daripada Parlimen semata-mata kerana pelaksanaan skim NCMP. Komen beliau dikeluarkan setelah ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh memberi amaran tentang kemungkinan berlaku "penghapusan" pembangkang dalam pilihan raya.

Selepas GE yang lalu, jumlah NCMP di Parlimen dinaikkan dari sembilan kepada 12 dan NCMP kini mempunyai hak penuh mengundi.

Namun, ini tidak memadai, kata Encik Lim. Pasukannya akan bertanding di GRC Pasir-Ris Punggol dengan lima anggota. "Masih ada perbezaan besar kerana NCMP tidak dapat mewakili penduduk untuk menulis surat kepada kementerian atau pihak berkuasa mahupun agensi untuk merayu bagi pihak mereka," jelasnya.

“Ia bukan hanya tentang berada dalam Parlimen untuk menjadi suara mereka."

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengambil kerusi NCMP sekiranya ditawarkan, Encik Lim berkata: "Saya akan menawarkan kepada PAP untuk mengambil kerusi NCMP di kawasan undi ini. Kami berada di sini untuk menang... Saya yakin penduduk Pasir Ris-Punggol akan memberikan kami mandat untuk mewakili mereka."

Encik Lim membuat ulasan itu kepada Mediacorp semasa mengadakan kegiatan bertemu penduduk pada pagi Khamis di Taman Pasir Ris di mana beliau mengedarkan risalah parti. Turut turun padang adalah para calon lain iaitu Encik Abu Mohamed, Encik Kelvin Ong dan Encik Kuswadi Atnawi. Anggota kelima pasukan itu, Encik Harminder Pal Singh, tidak hadir bersama.

SDA sudah bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol buat tiga pilihan raya yang lalu, menentang penyandang PAP. Pertandingan tiga penjuru dijangka disaksikan tahun ini dengan parti baru Parti Suara Rakyat (PV) masuk gelanggang.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan