Skip to main content

Singapura

Bukan mudah untuk dapatkan pekerja hijrahan fasih berbahasa Inggeris bagi peranan berurusan dengan pelanggan

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan mudah untuk dapatkan pekerja hijrahan fasih berbahasa Inggeris bagi peranan berurusan dengan pelanggan

Pusat penjaja di Singapura. (Gambar: iStock)

SINGAPURA: Bahasa Inggeris mungkin bukan syarat yang diwajibkan untuk warga asing yang ingin bekerja di Singapura, tetapi sesetengah pekerjaan memerlukan tahap minimum pertuturan Bahasa Inggeris, menurut para majikan dan perekrut. 

Namun, terdapat cabaran untuk membawa masuk pekerja yang paling sesuai bagi mengisi pekerjaan-pekerjaan tersebut, tambah mereka. 

Isu kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kalangan pekerja di Singapura menarik perhatian setelah seorang pelanggan membuat aduan tentang seorang pekerja NTUC FairPrice yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris. Individu itu memuat naik rakaman video pada 22 Mac tentang interaksinya dengan kakitangan berkenaan di pusat beli-belah City Square Mall. 

Cik Ho Ching, pengerusi Dana Amanah Temasek yang juga isteri Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyentuh tentang insiden tersebut lima hari kemudian. Dalam satu hantaran Facebook, beliau menggesa warga Singapura supaya jangan "memalukan orang lain yang tidak boleh bertutur dalam bahasa yang kita ketahui". 

CABARAN MENGGAJIKAN PEKERJA YANG FASIH BERBAHASA INGGERIS

Walaupun perekrut lazimnya mendapatkan warga asing untuk melakukan tugas-tugas perkhidmatan yang kurang popular dalam kalangan warga Singapura, ia kini lebih sukar kerana warga asing semakin berpendidikan, kata Encik Kevin Koh dari Future Employment. 

"Apabila mereka tahu bahawa mereka boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan agak lancar, mereka lebih memilih dan mempunyai lebih banyak pilihan. Bukan di Singapura sahaja, mereka juga mempunyai banyak pilihan untuk ke negara-negara lain di mana mereka boleh mendapatkan gaji yang lebih tinggi," menurut pengarah agensi perekrutan itu. 

Meskipun syarikat-syarikat lebih besar berupaya untuk menawarkan gaji lebih tinggi bagi memikat calon-calon tersebut, ia mungkin mencabar bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk berbuat demikian, kata Encik Koh. 

Sebuah lagi syarikat perekrutan menyatakan, walaupun pekerja seharusnya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, tahap asas berhubung skop pekerjaan mereka, situasi tenaga manusia yang ketat memerlukan mereka untuk "bertolak ansur". 

"Banyak syarikat tidak boleh menggajikan jumlah pekerja Singapura yang mencukupi. Pada masa yang sama, mereka terbatas disebabkan  oleh kuota permit kerja, kuota Pas S, untuk menggajikan lebih ramai warga asing," kata Pengarah Urusan Cultivar Employment Zac Ng. 

"Itu sebenarnya asas bagi syarat kedua-dua pihak bersikap lebih bertimbang rasa dan tidak terlalu menghukum penyedia khidmat yang tidak berupaya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan sempurna." 

KEMAHIRAN BERBAHASA INGGERIS DIPERLUKAN

Namun bagi sesetengah majikan dan perekrut, kefasihan bertutur dalam bahasa Inggeris adalah satu kemestian.

Syarikat Nala Employment khususnya, berurusan dengan pemohon kerja dari Malaysia dan menguji kemahiran bahasa Inggeris mereka berdasarkan permohonan pekerjaan mereka.

Dengan persekitaran kerja Singapura yang berbilang kaum dan agama, Pengarah Nala Employment Jim Wee berkata: "Bahasa adalah satu aspek penting untuk warga asing menyesuaikan diri dengan negara tuan rumah supaya mereka dapat berintegrasi dengan lebih baik dalam masyarakat dan lebih cekap sewaktu menjalankan tugas harian mereka." 

Future Employment pula menyatakan, klien-klien seperti jenama mewah, peruncit produk nilai tinggi atau di lokasi-lokasi tertentu seperti Lapangan Terbang Changi, mungkin mahu mendapatkan calon-calon yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris. 

Bagi yang beroperasi di kawasan-kawasan kejiranan atau ingin mendapatkan pekerja yang bertugas di bahagian belakang seperti mencuci pinggan mangkuk, mereka mempunyai kriteria yang lebih longgar. 

Cik Sheng Hai Ming yang menguruskan sebuah pusat urut di People's Park Complex di Chinatown, berkata bahasa Inggeris tidak diperlukan disebabkan oleh lokasi perniagaannya. 

Walaupun tempat urut itu mempunyai pelanggan asing, bahasa Inggeris asas sudah mencukupi bagi kakitangannya yang berasal dari China dan Vietnam. 

Kata Cik Sheng: "Bagi perniagaan urut, kami tidak perlu banyak bertutur menggunakan bahasa Inggeris kerana kami menggunakan tangan kami untuk bekerja. Kami hanya perlu berkata sepatah dua dan kemudian memberikan kad nama kami. Jika layanan kami baik, mereka akan kembali ke sini dengan kad nama kami."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita