Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

"Bukan kerja yang mudah": Pemberi makan kucing terbiar juga tanggung kos kembiri dan rawatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi Cik Linda, hidupnya sebagai pemberi makan kepada kucing terbiar bermula secara tidak sengaja.

"Apabila saya baru pindah ke kawasan ini, terdapat banyak kucing terbiar," kata suri rumah 67 tahun itu, yang enggan mendedahkan nama penuhnya.

"Seorang makcik tua memberi mereka makan, jadi saya menawarkan diri untuk membantunya. Saya ambil alih kerja itu selepas beliau meninggal dunia."

Cik Linda sudah memberi makan kepada kucing di kawasan kejiranannya di bahagian timur laut Singapura selama 22 tahun.

Beliau membelanjakan kira-kira S$400 sebulan untuk membeli makanan kucing untuk 10 ekor kucing yang dijaganya.

Dan beliau tidak setakat memberi makan kepada kucing-kucing tersebut.

"Saya tidak tahu siapa yang sering melepaskan kucing mereka di sini, tetapi sebagai seorang yang memberi makan kepada kucing, kami perlu menjaga dan menghantar kucing untuk dikembiri untuk mengawal jumlahnya. Ia bukan kerja yang mudah.

Bagi pemberi makan seperti Cik Carol Tang, 53 tahun, usahanya tidak selalu dihargai, ada kalanya beliau dimarahi penduduk kerana memberi makan kepada kucing terbiar.

Kucing-kucing terbiar di kawasan kejiranan menjadi tumpuan baru-baru ini selepas satu rakaman litar tertutup menunjukkan seorang budak lelaki 10 tahun mencampak seekor kucing dari tingkat 22 dari sebuah blok HDB di Boon Lay.

DI SEBALIK TABIR

Tidak ramai yang tahu tentang berapa banyak masa, usaha dan wang yang digunakan untuk menjaga kucing-kucing terbiar, kongsi beberapa individu yang memberi makan kepada kucing terbiar kepada Mediacorp.

Selain  membelanjakan ratusan dolar untuk makanan kucing, pemberi makan juga meluangkan masa untuk ke bawah blok untuk memberi makan dan menukar air bekas minuman.

Cik Yeo berkata bahawa mereka perlu membersihkan sisa makanan untuk mengelakkan perosak, seperti semut dan tikus, daripada tertarik kepada makanan kucing..

Dan apabila kucing-kucing itu jatuh sakit, atas sebab apa pun, para pemberi makanan perlu mengeluarkan belanja yang tinggi untuk membayar kos rawatan.

PENGABAIAN DAN PENDERAAN KUCING

Para pemberi makan kucing itu berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih keras terhadap individu yang mengabaikan dan mendera kucing. 

"Mereka harus tingkatkan usaha, didik orang ramai dan menguatkuasakan peraturan kerana kami sebagai penyelamat tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pendera," kata Cik Tang.

Bagi kes kucing yang diabaikan, Cik Yeo percaya pemilik kucing perlu bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Cik Yeo berpendapat bahawa membenarkan kucing untuk disimpan di flat HDB adalah cara terbaik.

"Sebaik sahaja ia dibenarkan, pihak berkuasa harus mewajibkan mikrocip pada kucing. Sekiranya ia dilaksanakan, akan lebih mudah untuk mengesan pemilik kucing tersebut," katanya.

Sumber : Today/AE/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan