Skip to main content

Singapura

Bukan kepentingan S'pura beri wadah kepada pendakwah asing radikal, tegas Shanmugam

Antara bulan September dengan Disember tahun lalu, lima pendakwah asing diharamkan daripada menyampaikan ceramah di Singapura oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Jan 2018 02:21PM Dikemas Kini : 08 Jan 2018 11:21PM

SINGAPURA: Jika para pendakwah asing yang pandangannya tidak sesuai atau tidak boleh diterima, maka tiada kepentingan Singapura untuk memberikan mereka wadah untuk menyebarkan ajaran atau menambah bilangan pengikut.

Demikian ditegaskan oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam di Parlimen hari ini (8 Jan).

Antara bulan September dengan Disember tahun lalu, lima pendakwah asing diharamkan daripada menyampaikan ceramah di Singapura oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

"Pendirian kami jelas mengenai ceramah yang mengajak kepada sikap tidak bertolak ansur dan kami meletakkan batas terhadap ajaran yang mahu memecahbelahkan masyarakat kita atas nama agama," kata Encik Shanmugam.

"Kita juga seharusnya jelas bahawa kemasukan warga asing ke Singapura bukanlah secara automatik mahupun merupakan satu hak. Ia adalah keistimewaan dan hanya akan diberikan setelah kami meneliti bahawa kemasukan mereka tidak akan membahayakan kepentingan Singapura."

2 DARIPADA PENCERAMAH ASING YANG DIHARAMKAN BERAGAMA KRISTIAN

Beliau menjelaskan, warga asing yang ingin menyampaikan ceramah berkaitan agama, kaum atau politik di Singapura mesti memperoleh Pas Kerja Serbaguna daripada Kementerian Tenaga Manusia.

Setiap permohonan akan dinilai berdasarkan merit, menerusi proses rundingan dengan agensi-agensi lain, tambah Encik Shanmugam.

"Dari perspektif keselamatan, salah satu prinsipnya adalah warga asing tidak seharusnya ada sejarah berkaitan ajaran atau dakwah berbentuk radikal," jelas beliau.

"Contohnya, jika individu itu menyokong keganasan atau menggalak dasar berpuak-puak, ajaran tidak bertolak ansur yang memudaratkan masyarakat berbilang kaum dan agama, dia tidak akan dibenarkan masuk."

Related article image
Mufti Menk (kiri), Haslin Baharim (kanan) pendakwah yang diharamkan daripada memasuki Singapura. (Gambar: Petikan gambar dari YouTube)

Mufti Menk (kiri), Haslin Baharim (kanan) pendakwah yang diharamkan daripada memasuki Singapura. (Gambar: Petikan gambar dari YouTube)

Dua daripada lima penceramah yang dilarang masuk ke Singapura pada tahun lalu beragama Kristian, yang sebelum ini membuat komen termasuk menyifatkan Allah sebagai "tuhan palsu" dan Islam "tidak baik".

Dua lagi penceramah, Ismail Menk dan Haslin Baharim, secara berasingan menyifatkan Muslim yang mengucapkan "Merry Chrismas" atau Selamat Hari Deepavali" sebagai "berdosa besar" serta melabel masyarakat bukan Islam sebagai "orang yang menyimpang".

Kedua-duanya sepatutnya menyampaikan ceramah di sebuah kapal pesiaran yang berlepas dan berlabuh di Singapura pada hujung bulan November 2017.

Pihak penganjur kapal pesiaran itu kemudian cuba mendapatkan pendakwah Muslim warga Amerika Syarikat, Yusuf Estes sebagai penceramah, namun di lapangan terbang beliau tidak dibenarkan masuk.

Yusuf Estes juga menyuarakan pandangan tidak bersetuju jika Muslim meraikan perayaan agama lain atau mengucapkan "Merry Chrismas" dan "Happy Hanukkah" kepada masyarakat Kristian dan Yahudi.

LEBIH BAIK BERHATI-HATI

Encik Shanmugam juga berkata ia "tidak penting" sama ada komen yang dibuat oleh para pendakwah itu berkaitan dengan Singapura atau tidak, sama ada mereka berniat untuk menyentuh isu-isu tersebut apabila menyampaikan ceramah di negara ini ataupun berapa ramai jumlah pengikut mereka di Singapura.

"Kita seharusnya bimbang walaupun hanya segelintir penduduk di Singapura menerima ajaran radikal, tidak bertolak ansur atau berpuak-puak yang disampaikan oleh mereka," tegas beliau.

"Dan kita tidak seharusnya membenarkan mereka menyampaikan ceramah atau berucap di sini dan menyebarkan pandangan sedemikian dalam kalangan rakyat Singapura serta menimbulkan kemarahan antara masyarakat berlainan agama."

Related article image
Gambar fail Yusuf Estes. (Gambar: Wikimedia Commons/Manuel25)

Gambar fail Yusuf Estes. (Gambar: Wikimedia Commons/Manuel25)

Encik Shanmugam juga menyentuh tentang keberkesanan mengharamkan para pendakwah asing memandang ajaran mereka mudah diperolehi menerusi wadah-wadah digital.

"Jelas sekali terdapat had sejauh mana kita boleh mencegah akses kepada kandungan seperti itu, khususnya menerusi internet," ujar Encik Shanmugam.

"Namun ini tidak bermakna kita perlu memudahkan para pendakwah asing sedemikian untuk menyebarkan pandangan mereka secara langsung dan secara peribadi kepada rakyat Singapura serta menambah bilangan pengikut di sini, dengan membolehkan mereka datang ke Singapura dan memberikan mereka ruang dan wadah (untuk menyampaikan ajaran mereka)."

"Menyebarkan dakwah kepada jumlah pendengar yang ramai secara langsung dan secara peribadi adalah berbeza berbanding melakukannya di Internet."

S'PURA AMBIL PENDEKATAN KONSERVATIF

Anggota Parlimen (AP) Zaqy Mohamad kemudian mengutarakan soalan susulan mengenai perbezaan antara pandangan peribadi pendakwah dengan konteks ajaran mereka - khususnya apabila kitab-kitab agama menyatakan tentang masyarakat berlainan agama.

Encik Shanmugam menjawab: "Apabila kami melihat pendakwah asing, kami melihat siapa yang membawa mereka masuk; berbincang dengan mereka, melihat konteks namun secara keseluruhannya, kami mengambil pendekatan konservatif."

"Jika seseorang mengatakan Allah itu palsu kemudian mahu masuk ke Singapura dan mengatakan itu adalah dari konteks yang berbeza, saya rasa ia tetap berisiko tinggi menyebabkan rakyat mengikuti pendakwah itu dan terus ingin mengetahui apakah perkara-perkara yang sudah disampaikan di tempat lain dan konteksnya tidak sentiasa jelas difahami - maka saya rasa lebih baik untuk kita berhati-hati."

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita