Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budi 23 sukarelawan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dijunjung

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) meraikan sumbangan dan dedikasi 23 orang sukarelawannya dalam satu majlis penganugerahan malam ini (4 Feb).

Acara tahunan itu kembali diadakan, tetapi secara hibrid, selepas ditunda selama tiga tahun akibat pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, usaha pertubuhan itu untuk mendampingi dan membantu masyarakat tetap giat diteruskan.

Tetamu terhormat Menteri Negara Kanan, Pertahanan dan Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad menarik perhatian bahawa 4PM giat mempertingkatkan usaha pementoran dengan menggunakan dana daripada Forum Pemimpin Masyarakat (CLF) untuk membiayai sebahagian daripada program-program seperti Project Bestari 2022 dan Hashtag For YOU(th) 2022.

Ini menurut Encik Zaqy adalah penting kerana para mentor memainkan peranan dalam pembangunan mereka yang dibimbing khususnya yang dari latar belakang mencabar.

"Saya mengalu-alukan anda semua untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pementoran untuk membimbing generasi seterusnya untuk mencapai aspirasi tinggi dan menggalak mereka untuk kekal dalam landasan mereka.

"Dan untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dengan merebut peluang dalam sektor-sektor membangun seperti program kerja dan belajar untuk mempertingkatkan diri mereka supaya mereka tidak ketinggalan dalam kemajuan dalam era pasca pandemik," ujar Encik Zaqy.

Beliau turut berkongsi betapa sejak Pejabat Pementoran Belia (YMO) di bawah M³ ditubuhkan pada 2020, lebih 1,100 mentor sudah dilatih dan dikerahkan untuk membimbing lebih 3,600 belia seperti #amPowered@ITE dan #amPowered@MTS.

Encik Zaqy turut menyentuh perkembangan program Tunas Bersama M³ yang akan bermula April tahun ini. Beliau berbesar hati bahawa 4PM akan terlibat dalam program untuk menggilap bakat pemimpin masyarakat masa depan.

"Sebagai masyarakat kecil, kemajuan kita selama ini sebahagian besarnya disebabkan ramai individu yang tampil ke hadapan untuk membantu masyarakat maju. Mereka berkumpul untuk memulakan dan melaksanakan program yang boleh memanfaatkan masyarakat.

"Semangat kolaborasi dan memberi semula kepada masyarakat mesti diteruskan dan perlu terus dipupuk di kalangan belia yang akan menjadi pemimpin masyarakat pada masa hadapan," jelas Encik Zaqy.

SYAHIR CHAQIF PENERIMA ANUGERAH TERTINGGI SUKARELAWAN 4PM

Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan kesemuanya termasuk satu anugerah khas.

Anugerah Jasa Bakti iaitu anugerah tertinggi di acara tersebut disampaikan kepada Encik Syahir Chaqif Abdul Rasid yang sudah berkhidmat dengan 4PM sejak 2010.

Sepanjang perjalannya dengan 4PM, Encik Syahir diberi kepercayaan dalam pelbagai program badan tersebut bukan sahaja sebagai relawan, malah sebagai mentor dan anggota jawatankuasa pengurusan.

Turut menarik perhatian adalah Anugerah Sukarelawan Setia yang diberikan kepada Cik Afza Fahmidah Amir yang sudah menjadi sukarelawan bersama 4PM sejak sedekad lalu.

Satu segmen khas turut didedikasikan bagi mengenang jasa mantan presiden 4PM, Encik Izzuddin Taherally.

Beliau yang telah mengemudi pertubuhan Melayu/Islam itu selama 31 tahun, sekali gus presiden paling lama di 4PM,menyerahkan jawatannya pada Julai 2021.

Majlis itu turut memperingati jasa mantan Setiausaha Eksekutif 4PM, Allahyarham Mohd Salleh Mohd Salim dengan penyampaian Anugerah Anumerta.

4PM bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-75 pada tahun hadapan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan