Budaya unik di setiap kawasan mudahkan interaksi mentor & menti yang tinggal berhampiran bila program itu diperluaskan
BERITAmediacorp: Setiap kawasan kejiranan ada keunikan dan budayanya tersendiri. Lantaran itu, lebih mudah bagi mereka yang tinggal di kawasan kejiranan yang sama bertemu dan menzahirkan diri mereka.
Inilah antara yang dikongsi menti dan mentor yang mengikuti Program Mentor Belia kepada BERITAmediacorp.
Disebabkan hal itu juga, mereka menyambut baik langkah Yayasan MENDAKI untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu program pementoran belia di kesemua 11 M³@Bandar tahun ini.
Ia diumumkan Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad dalam perdebatan Jawatankuasa Peruntukan bagi Ehwal Masyarakat Islam baru-baru ini.
Ini bagi memudahkan lagi para belia untuk mendaftarkan diri mereka bagi program-program tersebut tanpa mengira lokasi kediaman mereka. Buat masa ini, program itu dilaksanakan di lima M³@Bandar, termasuk program PEER di M³@Tampines dan Woodlands.
Langkah itu bukan sahaja memudahkan pasangan mentor dan menti untuk bertemu tetapi beberapa manfaat lain turut dikenal pasti.
Bagi penuntut, Nur Syahirah Sophian, 15 tahun yang baru sahaja menyertai program PEER di M³@Tampines, banyak persamaan yang dapat dikongsikan apabila dipadankan dengan seorang mentor yang juga tinggal berhampirannya iaitu di Tampines.
Sebelum ini, pelajar itu menyifatkan dirinya sebagai seorang yang kurang berkeyakinan diri, lebih-lebih lagi untuk berbual dengan orang lain dan mengekspresikan dirinya.
BANTU MENTI LEBIH YAKIN, DAN EKPRESIKAN DIRI MEREKA
Mujur, beliau berjumpa dengan mentornya, Nur Ilya Sofia Binte Omar, 21 tahun yang cuba untuk membimbingnya.
"Program ini membantu saya untuk menjadi lebih yakin untuk berbual dengan orang lain dan lebih mengekspresikan diri saya," kongsi Syahirah.
"Pengalaman saya amat menyeronokkan kerana saya dapat berjumpa dengan ramai orang yang berkongsi minat yang sama dengan saya," tambahnya.
Dalam pada itu, lokasi yang dekat antara Syahirah dan mentornya itu juga bermakna ia lebih mudah untuk mereka bertemu.
"Ia akan jadi lebih senang untuk kita bertemu dan kita mempunyai lebih banyak masa untuk luangkan bersama," menurut Syahirah.
Kesan positif itu turut dirasakan mentornya, Sofia yang membimbing tiga orang menti buat masa ini; dua yang tinggal di kawasan Tampines, dan satu lagi di Woodlands.
"Secara peribadi, saya rasa tidak ada cabaran untuk saya mengenali perwatakan menti saya yang tinggal di Woodlands," kongsi Sofia yang tinggal di kawasan Tampines.
"Namun saya akui juga kerana semua sesi PEER semua kebanyakan di Tampines, saya boleh lebih memahami pengalaman mereka dan lebih senang untuk saya mengenali mereka. Secara tidak langsung, saya rasa aturan ini membawa satu kesan positif," tambahnya.
SETIAP KAWASAN KEJIRANAN MEMPUNYAI BUDAYA MASING-MASING
Menurut Cik Sofia, ini kerana setiap kawasan kejiranan itu mempunyai budayanya masing-masing.
Lantas, beliau rasa bahawa ini mungkin dapat memberikan motivasi kepada mentinya dalam jangka masa panjang untuk menghadiri sesi-sesi itu jika mereka tinggal berdekatan.
"Sebagai contoh, kalau menti saya dan saya tinggal di Tampines, saya lebih selesa jika mentor saya (tinggal) berdekatan dengan saya. Lebih senang untuk saya berkongsi," kata Cik Sofia kepada BERITAmediacorp.
"Saya rasa setiap kawasan kejiranan ada budaya mereka sendiri. Sebagai menti, oleh kerana mereka muda, jadi saya rasa mungkin menakutkan untuk mereka yang pemalu berkongsi dan meluahkan perasaan," tambah mahasiswi dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.
INGIN TINGKATKAN KEYAKINAN MENTI DAN BERI HARAPAN UNTUK MASA DEPAN MEREKA
Bagaimanapun, sebagai seorang mentor baru, Cik Sofia berharap dapat meningkatkan keyakinan dalam diri menti-mentinya, tidak kira lokasi kediaman mereka.
Ini juga merupakan antara cara untuk beliau menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam.
"Kalau saya boleh putar balik masa, saya tahu saya akan menghargainya jika mendapat seorang mentor yang boleh membimbing saya dalam masalah," ujar Cik Sofia.
"Harapan saya ialah, saya ingin meningkatkan keyakinan dalam diri mereka (menti). Saya ingin memberikan mereka harapan bahawa setiap langkah yang mereka ambil untuk memperbaiki diri mereka untuk masa hadapan mereka, mereka akan berjaya dan ini tidak merugikan," tambah beliau.
Beliau percaya, masa depan golongan belia cerah asalkan mereka mempunyai azam yang baik untuk berjaya.
Sejak 2022, lebih 300 mentor sudah dilatih dan dipadankan kepada lebih 1,600 menti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.