Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budaya penjaja SG diiktiraf UNESCO, pengiktirafan dedikasi penjaja dahulu dan sekarang

Para pemimpin negara menyambut pengiktirafan budaya pusat penjaja tempatan menjadi Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dengan memberi penghormatan kepada para penjaja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pemimpin negara menyambut pengiktirafan budaya pusat penjaja tempatan menjadi Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dengan memberi penghormatan kepada para penjaja.

Presiden Halimah Yacob menyifatkannya sebagai "pengiktirafan kerja keras dan dedikasi penjaja dahulu dan sekarang".

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pula berkata "ucapan terima kasih terbesar" harus diberi kepada generasi demi generasi penjaja yang memberi makan kepada perut dan jiwa" Singapura.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong dan Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu turun padang ke Pusat Makanan dan Pasar Ghim Moh pada Khamis (17 Dis) untuk secara simbolik melahirkan penghargaan kepada kesemua 6,000penjaja tempatan bagi sumbangan mereka.

BUKA CERITA 40 TAHUN PENGALAMAN MENJAJA, BERMULA DARI TEPI LONGKANG

"Dari tepi longkang, air naik kalau hujan lebat. Kita pakai roda tiga. Saya rasa gembira dan bangga kerana bertahun-tahun baru kita diiktiraf. Jadi suka benar dan dapat kita lebih memperkenalkanlagi pusat makanan," kata Cik Azizah Abdullah dan suami yang sudah lebih 40 tahun menjadi penjaja makanan. 

"Kita tonjolkan makanan kita kepada orang luar negeri, kadang-kadang orang Kuala Lumpur, orang Brunei ada juga datang makan," tambahnya yang masih gigih berulang-alik dari rumahnya di Bedok Reservoir ke Ghim Moh setiap hari untuk berniaga walaupun anak-anaknya sudah bekerja dan tiada lagi tanggungan.

Lantaran itulah, pengumuman UNESCO malam semalam yang mengangkat budaya penjaja Singapura sebagai satu warisan antarabangsa ibarat suatu pengorbanan yang cukup berbaloi.

Dedikasi Cik Azizah dan suami terhadap budaya penjaja mendapat pujian dan penghargaan Menteri MCCY, Edwin Tong.

"Mereka amat membanggakan kita semua, generasi penjaja dahulu, sekarang dan pada masa hadapan. Saya berharap mereka akan mendapat inspirasi dari kejayaan ini.

"Kini terpulang kepada kita semua di Singapura untuk melakukan sesuatu untuk mengekalkan budaya penjaja ini bagi memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati dan menghargainya,"kata Encik Tong.

SEMARAKKAN LAGI BUDAYA PENJAJA, KONGSI GERAI KEGEMARAN

Dengan pengiktirafan itu, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Cik Grace Fu berharap warga Singapura boleh menyemarakkan lagi budaya penjaja dengan berkongsi maklumat tentang gerai kegemaran mereka kepada kenalan dalam dan luar negara.

"Ini adalah suatu mercu tanda penting bagi sejarah kebudayaan kita.
Bagi sebuah negara sangat muda seperti Singapura, mendapat pengiktiraf UNESCO, ini sangat tepat pada masanya, lebih-lebih lagi memandangkan peranan penting yang dimainkan pusat penjaja dalam beberapa bulan kebelakangan ini," kata Cik Fu.

"Sepanjang pandemik COVID-19, ia tidak tutup dan menyediakan makanan dan pusat sosial buat warga Singapura."

Ini kali pertama sebuah budaya Singapura diiktiraf UNESCO.

Sempena pengiktirafan ini, sekitar 6,000 penjaja merata negara diberi pelekat sebagai meraikan pencapaian dalam sejarah warisan budaya negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa