Budaya kerja 'toksik' di Tanglin Club disiasat selepas anggota kelab didakwa dera kakitangan
Budaya pekerjaan yang "toksik" di Tanglin Club kini disiasat para anggotanya selepas timbul dakwaan pengurus besar kelab itu meletak jawatan disebabkan oleh penderaan kakitangan.
(Gambar: Facebook/Tanglin Club)
Diasaskan pada 1865, kelab privet itu mempunyai lebih 4,000 anggota dan sekitar 200 kakitangan.
Pada 28 Jun 2023, pengurus besar Tanglin Club, David Brightling didakwa dimaki hamun oleh seorang ahli jawatankuasanya.
Encik Brightling meletak jawatan pada 27 September 2023.
Beliau berkata "persekitaran pekerjaan toksik" merupakan faktor pendorong yang utama, menurut dokumen dalaman yang dilihat oleh Mediacorp.
Pengurus besar itu juga diberi tawaran untuk menguruskan sebuah kelab keanggotaan privet di Hong Kong, lalu beliau meninggalkan Tanglin Club untuk menerima tawaran itu.
Anggota terlibat dikeluarkan daripada jawatankuasa umum menyusuli undian oleh presiden kelab itu, Chong Zhi Cheng pada 16 Oktober 2023.
Undi itu dilakukan atas dasar bahawa tindakannya memaki hamun Encik Brightling telah melanggar peraturan kelab bahawa anggota kelab tidak boleh "memarahi atau mendera" anggota kakitangan.
Sebuah jawatankuasan semakan bebas ditugaskan untuk memeriksa penyingkiran anggota berkenaan pada 30 Januari 2024.
Selepas siasatan dijalankan, jawatankuasa semakan mendapati kejadian itu berlaku, menurut laporannya yang bertarikh 23 Mei 2023.
Menurut Encik Brightling, beliau telah menghantar emel pada 28 Jun 2023 berhubung gimnasium di kelab itu.
Laporan oleh jawatankuasa semakan menyatakan ini kerana seorang anggota dilihat "memindahkan basikal senaman ke tempat lain".
Encik Brightling kemudian mendapat panggilan telefon daripada anggota berkenaan, yang ingin berjumpa dengannya pada hari tersebut.
Anggota kelab itu dilaporkan tersinggung oleh tindakan Encik Brightling kerana dia dituduh dan dikenal pasti melakukan perbuatan itu dalam emel tersebut.
Jawatankuasa semakan itu mendapati Encik Brightling jelas dalam buktinya bahawa anggota berkenaan menggunakan kata-kata "jahat", "tidak cekap" dan "bodoh" terhadapnya dalam pertemuan itu.
Ahli itu juga meninggikan suaranya terhadap Encik Brightling dalam panggilan telefon itu dan dia juga "menghempas" telefon.
Termasuk penderaan lisan, ini jelas adalah "tingkah laku kasar", menurut jawatankuasa semakan yang terdiri daripada tiga anggota kelab biasa.
Dalam pengisytiharannya, Encik Brightling berkata sepanjang hampir tiga tahun beliau bekerja di kelab itu, beliau pernah melalui banyak kejadian gangguan dan buli.
Menurutnya, insiden yang berlaku pada 28 Jun 2023 itu "tentu sekali adalah contoh paling teruk" sepanjang kerjayanya.
Pengamatan Encik Brightling terhadap budaya pekerjaan "toksik" di Tanglin Club juga disokong oleh kakitangan lain yang ditemu bual oleh jawatankuasa tersebut, yang berkongsi bahawa kakitangan termasuk pihak pengurusan "takut" terhadap anggota kelab.
Jika seorang ahli kelab bertindak tidak wajar, kakitangan kelab lebih cenderung tidak membuat sebarang aduan rasmi, tetapi sebaliknya memaklumkan hal itu kepada ketua jabatan dan membiarkan pengurus mereka mengendalikan hal itu, atau mereka akan meletak jawatan.
Ini menjejas semangat di tempat kerja dan kos yang perlu ditanggung oleh kelab berkenaan dari segi pertukaran dan mengambil pekerja baharu, kata jawatankuasa semakan tersebut.
Ia menyarankan agar jawatankuasa umum kelab itu melakarkan dasar antigangguan bagi ahli kelab dan kakitangan, dan menyediakan wadah untuk para kakitangan melaporkan sebarang penderaan tanpa perlu membuat aduan secara langsung terhadap anggota tersebut.
Ia juga menyarankan agar sebuah protokol standard diperkenalkan untuk menangani aduan disiplin terhadap anggota kelab untuk memastikan "keadilan dan ketelusan", dengan garis masa ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.