Skip to main content

Singapura

'Budak ladang' ini sedih ladang popular di Seletar milik keluarganya akan ditutup

Pada tahun 2000, keluarga Cik Joanne Lim melancarkan Resort Haiwan - ladang haiwan sebesar dua hektar di Seletar. Namun, Cik Lim yang berusia 15 tahun ketika itu pada mulanya benci tinggal bersama haiwan-haiwan ladang itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
'Budak ladang' ini sedih ladang popular di Seletar milik keluarganya akan ditutup

Cik Joanne Lim di Resort Haiwan milik keluarganya. (Gambar: Joanne Lim)

Diterbitkan : 03 Dec 2020 10:06PM Dikemas Kini : 03 Dec 2020 10:22PM

SINGAPURA: Pada tahun 2000, keluarga Cik Joanne Lim melancarkan Resort Haiwan - ladang haiwan sebesar dua hektar di Seletar. Namun, Cik Lim yang berusia 15 tahun ketika itu pada mulanya benci tinggal bersama haiwan-haiwan ladang itu.

Tapi kini, 20 tahun kemudian, dia sudah cukup sayang dengan haiwan-haiwan tersebut dan malah berasa sedih bahawa kawasan itu akan ditutup. Ini selepas pihak berkuasa menyatakan bahawa sebahagian daripada tanah tersebut diperlukan untuk membina jalan raya baru.

Cik Lim, kini 35 tahun, beritahu Mediacorp bahawa dia tidak suka tinggal di ladang pada tahun pertamanya di situ, sedang rakan-rakannya yang lain tinggal di daerah bandar. Rakan sekolahnya pula akan memanggilnya 'budak ladang' dan mengejeknya kerana tinggal di tempat yang sangat ulu.

Pada mulanya, dia terganggu dengan ayam-ayam yang berkokok pada 4.00 pagi dan benci bangun pagi semata-mata untuk menjaga haiwan-haiwan itu. Namun, Cik Lim mula menyukai pengalaman tersebut.

Dia juga mula menghargai ketenangan di persekitaran ladang itu.

"Sebagai seorang remaja, anda tentu mahu keluar bermain dengan rakan-rakan anda. Saya pun tertanya-tanya, 'Kenapa saya berada di tempat ini? Kenapa keluarga saya buka sebuah ladang?' Tapi selepas saya lebih selesa di sini, saya mula jatuh cinta dengan tempat ini. Saya mula bangun tidur dan rasa gembira melihat langit berkabut. Rasanya seperti di Genting (Highlands)," katanya yang kini menjadi pengurus besar ladang tersebut.

Related article image
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

(Gambar-gambar: Nuria Ling/TODAY) 

Namun, pada awal tahun depan, keluarganya dan haiwan-haiwan mereka di ladang itu harus meninggalkan kawasan tersebut.

Pengendali ladang tersebut mengumumkan dalam satu kenyataan di Facebook bahawa mereka akan menutup pintu mereka kepada para pengunjung pada 10 Jan tahun depan. Mereka akan kembalikan tanah itu kepada pihak berkuasa.

Cik Lim juga kata keluarganya diberitahu tentang rancangan untuk menggunakan sebahagian daripada tanah itu untuk jalan raya baru semasa satu pertemuan pada 10 Sep dengan JTC Corporation, pemilik baru kawasan itu dan Lembaga Taman Negara (NParks), yang mengurus plot tanah yang didiami ladang tersebut, serta Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).

Encik Thierry Lim, 63 tahun, bapa Cik Lim, memberitahu Mediacorp bahawa beliau memenangi tender bagi tanah itu 20 tahun lalu. Ia pada asalnya rumah kepada Noah's Ark Natural Animal Sanctuary, yang kini sudah berpindah ke Johor Baru, Malaysia. Encik Lim mula menjaga haiwan-haiwan yang ditinggalkan pemilik sebelumnya itu.

Ini dinafikan oleh Noah’s Ark Natural Animal Shelter, yang menulis kepada Mediacorp setelah artikel diterbitkan.

"Kesemua haiwan milik kami sudah pun dibawa dari Seletar ke kediaman baru di Johor. Haiwan-haiwan yang dikecualikan itu bukan milik kami. Pemiliknya tidak membenarkan haiwan-haiwan tersebut dibawa ke Johor," kata seorang wakil dari pusat perlindungan haiwan itu.

Related article image
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Keluarga Lim mengatakan bahawa apabila mereka mula menjaga haiwan-haiwan tersebut, mereka sudah pun memiliki perniagaan berkenaan haiwan yang lain. Ia sudah pun beroperasi lebih daripada 44 tahun.

"Kami sudah lama buat program pendidikan untuk kanak-kanak, di mana tadika-tadika dan prasekolah membawa kanak-kanak untuk berinteraksi dengan haiwan. Namun, setelah tempat ini tiada, tidak akan lagi ada tempat bagi kanak-kanak bermain dengan haiwan," kata Encik Lim.

"Mereka terpaksa ke zoo atau ke luar negara."

Ladang ini amat popular dengan keluarga yang mempunyai anak kecil yang mahu berinteraksi dengan haiwan-haiwan seperti arnab, burung merak, itik, angsa dan lain-lain lagi.

MENGAPA HARUS KOSONGKAN TEMPAT INI

Pada Januari tahun ini, Encik Lim mengatakan bahawa BCA melakukan semakan atas ladang-ladang di sekeliling Singapura dan membawa jurutera profesional untuk mengkaji bangunan ladang tersebut.

Selepas kajian itu, keluarga tersebut diberi cadangan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan yang disarankan oleh laporan jurutera tersebut. Mereka diberitahu bahawa jika gagal, mereka tidak boleh memperbarui pajakan tanah itu yang akan tamat pada bulan ini.

BCA juga memerlukan keluarga tersebut untuk mengambil jurutera bagi memeriksa ladang itu. Ini bagi menilai kerja-kerja pembaikan dan menghantar laporan tersebut kepada pihak berkuasa. Mereka juga diminta untuk mengambil khidmat pakar asbestos bagi mengkaji kawasan itu sama ada mengandungi bahan-bahan asbestos atau tidak, dan menghantar laporan.

"Sejak enam tahun lalu, kami memperbarui pajakan setiap satu atau dua tahun kerana pihak berkuasa sudah memberitahu kami bahawa kawasan ini akan dibangunkan semula tidak lama lagi.

Kami akhirnya diberitahu bahawa menjelang September 2022, kami terpaksa mengosongkan tempat ini," kata Cik Lim.

Memandangkan mereka hanya boleh berada di kawasan itu untuk setahun sembilan bulan sahaja, bapanya berkata bahawa keluarganya enggan mengeluarkan S$250,000 hingga S$300,000 — jumlah yang diberi oleh pelbagai kontraktor untuk mengubah suai tempat itu dan mengambil perkhidmatan jurutera profesional.

"Ia sama sekali tidak masuk akal. Langkah ini langsung tidak berdaya maju - mengeluarkan semua wang ini tapi tempat ini hanya dibuka untuk jangka masa yang pendek."

'SAYA AKAN RINDU BERBUAL DENGAN HAIWAN'

Setelah keluarga itu meninggalkan ladang ini, Cik Lim berkata beliau akan rindu berinteraksi dengan haiwan-haiwan setiap hari. Pihak berkuasa berikan tempohan tangguhan sehingga Mac tahun depan untuk mengosongkan kawasan itu.

"Saya sudah biasa melihat mereka setiap hari dan mengucapkan 'hi'. Saya suka berbual dengan haiwan-haiwan. Ramai mungkin ingat saya gila tapi jika anda pencinta haiwan, anda mungkin faham," katanya.

Related article image
(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Keluarga itu sedang dalam persiapan untuk memindahkan 50 haiwan mereka ke tempat baru di ladang-ladang lain seperti Lim Chu Kang dan Sungei Tengah dan juga Malaysia.

Bukan ladang mereka sahaja yang terjejas. Penyewa lain seperti Encik Alvin Seah, pemilik Mobile Pet Cremation Services, yang sudah bertapak di sana selama 12 tahun, mengatakan beliau turut berasa "bingung". 

Sumber : Today/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita