Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Budak 6 tahun dapat PPO terhadap ibu angkat, sering dipukul guna rotan & penyangkut baju

Sebuah mahkamah keluarga meluluskan permohonan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) oleh seorang budak lelaki berusia enam tahun ke atas ibunya, selepas bapa kanak-kanak itu membuat permohonan bagi pihaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 6 tahun dapat PPO terhadap ibu angkat, sering dipukul guna rotan & penyangkut baju

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 29 Nov 2021 11:17PM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 11:18PM

SINGAPURA: Sebuah mahkamah keluarga meluluskan permohonan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) oleh seorang budak lelaki berusia enam tahun ke atas ibunya, selepas bapa kanak-kanak itu membuat permohonan bagi pihaknya.

Bapa budak lelaki itu mendakwa ibu angkat kanak-kanak itu memukulnya beberapa kali menggunakan rotan atau penyangkut baju, sementara ibu angkatnya mendakwa dia hanya ingin mendisiplin dan mengajar kanak-kanak itu bagaimana untuk buang air kecil di tandas.

Identiti mereka yang terlibat tidak didedahkan. Dalam penghakimannya yang dikeluarkan pada Sabtu (27 Nov), Majistret Patrick Tay Wei Sheng mendapati bahawa tindakan wanita itu "melampau batas munasabah untuk memberi pengajaran kepada kanak-kanak itu".

Beliau meluluskan permohonan PPO berkenaan, sambil berharap ibu angkat budak lelaki itu akan lebih "memahami tindakannya" dengan sokongan profesional dan memperbaiki hubungan bersama anak lelakinya.

Majistret Tay membataskan tempoh PPO tersebut kepada setahun dan mengarahkan pihak-pihak terbabit supaya menjalani kaunseling bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga. Ibu angkat kanak-kanak itu sudah memfailkan rayuan.

LATAR BELAKANG KES

Budak lelaki itu dijadikan anak angkat pada 2015 ketika dia berusia kurang setahun.

Dia mengalami masalah perubatan yang menjejas keupayaannya untuk mengawal usus dan pundi kencing. Seorang doktor pada Mac lalu memaklumkan bahawa kanak-kanak itu kadangkala tidak dapat mengawal air kencing.

Dalam membuat permohonan PPO bagi anaknya, bapa angkat kanak-kanak itu membuat 27 rakaman audio. Dia mendakwa isterinya memukul budak lelaki itu banyak kali sejak Mac 2020, dengan kejadian itu berlaku secara lebih kerap sejak Ogos 2020.

Wanita itu lazimnya memukul kanak-kanak itu setelah mangsa gagal mengawal air kencing dan ini berlaku hampir setiap hari, kadangkala beberapa kali dalam sehari, kata lelaki itu.

Wanita tersebut akur dia memukul anak lelakinya pada masa kejadian menerusi 27 rakaman itu, namun dia menafikan ia melibatkan keganasan keluarga, sambil berkata bahawa dia beri 'sebatan ringan sebagai pengajaran apabila kanak-kanak itu kencing dalam seluarnya meskipun dia boleh berjalan ke tandas untuk berbuat demikian".

HUKUMAN TIDAK SETIMPAL DENGAN USIA: MAJISTRET

Majistret Tay mendapati hukuman yang dikenakan itu, yang melibatkan dia dipukul sehingga 54 kali menggunakan rotan atau penyangkut baju, tidak setimpal dengan usia kanak-kanak itu dan apa yang boleh ditahan budak berkenaan.

Beliau mendapati wanita itu melakukan keganasan keluarga terhadap kanak-kanak tersebut kerana sesetengah hukuman itu didorong atas sebab-sebab lain daripada tunjuk ajar kepada kanak-kanak itu.

Justeru, majistret Tay mendapati bahawa PPO adalah perlu bagi perlindungan kanak-kanak itu, namun berkata beliau bersedia untuk "mengambil kira bahawa ibu kanak-kanak itu mungkin, dengan bantuan kaunseling, lebih faham tentang cara yang digunakan untuk mendidik anaknya."

Sumber : CNA/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan