Budak 4 tahun dalam nahas maut River Valley dibawa amah lalui jalan tidak diizinkan ibu bapa: Pegawai TP
Zara Mei Orlic dilanggar semasa melintasi jalan raya di Institution Hill pada 23 Jan 2024. (Gambar: Facebook/Le Petit Society, Google Street View)
Demikian diberitahu kepada mahkamah koroner pada rabu (26 Jun).
Zara Mei Orlic meninggal dunia pada 23 Januari selepas dilanggar sebuah kereta yang membelok ke kanan ke Institution Hill dari River Valley Road.
Dia dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH) tetapi meninggal dunia lewat petang itu.
Laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah kecederaan pada kepala yang konsisten dengan kesan pelanggaran dengan kereta.
Semasa siasatan koroner pada Rabu, Inspektor Balai Polis Trafik Muhammad Firdaus Suleiman, yang juga pegawai siasatan bagi kes itu, memberitahu mahkamah mengenai dapatan terperinci dalam laporan siasatan.
Ibu bapa Zara, yang diwakili peguam Alfred Lim, kedua-duanya hadir di mahkamah.
Para peguam pemandu itu juga hadir di mahkamah.
Selain Zara, pasangan itu mempunyai dua lagi anak perempuan, dengan Zara sebagai anak nombor dua daripada tiga adik-beradik.
Keluarga itu tinggal di kondominium di Institution Hill yang dikenali sebagai Aspen Heights.
Institution Hill adalah jalan raya satu lorong dua arah yang menghala masuk dari River Valley Road.
Sewaktu kemalangan, beberapa kereta sedang menunggu masuk dari Institution Hill ke River Valley Road.
Menurut Encik Firdaus, pembantu rumah itu sudah bekerja dengan keluarga itu sejak Oktober 2023.
Dia ditugaskan untuk mengambil dua anak yang lebih kecil dari sekolah manakala anak sulung pula menaiki bas sekolah.
Pada 23 Januari, pembantu rumah itu sedang berjalan dengan Zara dan adiknya dari prasekolah di River Valley Road sekitar 10 minit dari rumah mereka.
Pembantu itu, yang sedang membawa beg sekolah budak-budak perempuan itu, mengaku tidak pimpin tangan Zara, kerana dia seorang "anak yang berdikari" yang berjalan di hadapan.
Encik Firdaus berkata pembantu rumah itu sebelum ini diberitahu oleh keluarga itu supaya menggunakan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat yang lebih hampir dengan Institution Hill.
Jika dia berbuat demikian, dia tidak perlu melintasi jalan raya di Institution Hill, yang tidak ada lampu isyarat.
Bagaimanapun, pembantu rumah itu sebaliknya menggunakan lintasan berlampu isyarat berhampiran prasekolah budak-budak tersebut, yang memerlukan mereka melintasi Institution Hill, untuk ke kondominium.
Ibu bapa Zara tidak tahu mengapa amah tersebut mengingkari arahan mereka pada hari itu, jelas Encik Firdaus.
Sekalipun demikian, beliau menarik perhatian semasa prosiding bahawa amah berkenaan menggunakan laluan itu "secara kerap".
Pada pukul 4.57 petang, polis menerima panggilan mengenai nahas tersebut.
Pemandu terbabit, 40 tahun, yang namanya tidak didedahkan semasa prosiding, sedang dalam perjalanan pulang selepas mengambil anak-anaknya.
Apabila pemandu wanita itu membelok ke kanan untuk ke Institution Hill, Zara terus berlari di hadapan kereta itu. Kereta itu melanggar dan menggilisnya sebelum ia berhenti.
Pemandu berkenaan berkata beliau tidak nampak Zara dan hanya merasakan keretanya melanggar dan menggilis sesuatu.
Dia kemudian mendengar jeritan kuat dan segera memeriksa cermin belakang, dan baru menyedari bahawa dia melanggar seseorang.
Dia memberhentikan keretanya dan bergegas ke arah Zara, yang terbujur kaku di jalan raya.
Pihak berkuasa dimaklumkan dan pemandu itu terus berada di tempat kejadian sehingga pihak berkuasa tiba.
Zara dikejarkan ke Hospital Besar Singapura (SGH), di mana dia meninggal dunia.
Amah itu secara berasingan diberi rawatan atas sebab trauma yang dialami.
Mediacorp difahamkan dia masih bekerja dengan keluarga itu.
Menurut pembantu rumah itu, beliau menjerit agar kereta tersebut berhenti, tetapi tidak berjaya. Beliau kemudian memaklumkan bapa Zara mengenai kemalangan itu.
RAKAMAN KAMERA DARI PEMANDU
Rakaman kamera dari dalam kereta pemandu itu menunjukkan Zara melintasi antara dua kenderaan yang tidak bergerak untuk menyeberangi jalan apabila dia dilanggar.
Siasatan menunjukkan kanak-kanak setinggi 1 meter itu muncul selama sekitar satu saat sebelum kemalangan itu berlaku.
Kereta itu juga didapati tidak dipandu pada kelajuan yang tinggi sedang ia membelok ke kanan.
Semasa ditanya tentang nama penuh pemandu itu, Encik Firdaus berkata beliau hanya akan merujuk kepada wanita itu sebagai "pihak yang terlibat" buat masa ini.
Koroner Tham akan menyampaikan dapatan kes itu pada 5 Julai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.