Budak 3 tahun luka 'dalam' selepas diserang burung merak; bukan mangsa pertama
Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun mengalami luka yang dalam di mukanya selepas diserang seekor burung merak di Tavistock Avenue.
SINGAPURA: Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun mengalami luka yang dalam di mukanya selepas diserang seekor burung merak di Tavistock Avenue.
Menurut ibu budak tersebut, keluarganya sedang berjalan-jalan di estet perumahan privet itu pada Ahad (28 Nov) apabila mereka ternampak burung merak di halaman salah sebuah rumah di situ.
Kanak-kanak itu mendekati pintu pagar rumah tersebut yang menurut ibunya, "terbuka luas", untuk melihat burung merak berkenaan dengan lebih dekat lagi.
Namun, burung itu terus keluar dari halaman rumah dan menyerang kanak-kanak itu dengan agresif, dakwa ibunya.
Keluarga tersebut dengan segera membawa anak mereka ke hospital di mana mereka diberitahu bahawa luka kanak-kanak itu "terlalu dalam".
Malah, dia perlu dibius agar lukanya sepanjang lebih tiga sentimeter itu boleh dibersihkan dan dijahit.
"Malam itu amat traumatik dan mengecewakan buat kami semua," luah ibunya dalam satu catatan Facebook pada Rabu (1 Dis).
SALAH SIAPA?
Keluarga mangsa dan pemilik burung merak kini sedang dalam pertikaian tentang siapa yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Penduduk rumah privet berkenaan mendakwa tidak bersalah kerana kanak-kanak tersebut mengusik burung merak peliharaan mereka itu.
Ini, menurut mereka, selepas berunding dengan peguam dan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) meskipun ibu mangsa berkeras bahawa anaknya tidak sekalipun memasuki pintu pagar rumah itu.
Sebaliknya, "burung merak itu keluar dari halaman rumah untuk menyerang, apakah itu bukan salah mereka?" tanya beliau.
Wanita itu turut mengongsi sudahpun membuat aduan polis tetapi diberitahu bahawa ia bukan kesalahan jenayah bahkan kes itu sepatutnya dirujuk di bawah AVS.
Di Singapura, seseorang dibenarkan memelihara sehingga 10 burung bukan komersil, termasuk burung merak.
ADA MANGSA LAIN
Dalam kemas kini catatan Facebook pada Khamis (2 Dis), ibu mangsa mendedahkan bahawa anaknya bukan satu-satunya mangsa serangan burung merak tersebut.
"Beberapa individu memberitahu kami bahawa mereka atau seseorang yang mereka kenali turut pernah diserang burung merak dari rumah itu," tulis beliau.
Tambahnya: "Burung ini ada sejarah serang orang lain ... Tapi pemiliknya masih biarkan ia berkeliaran bebas dengan pintu pagar terbuka luas."
Beliau turut mengongsi gambar dan kertas aduan polis oleh seorang mangsa yang mengalami kecederaan dan luka selepas diserang pada Ogos 2020.
Namun, pemilik burung merak itu "tidak memohon maaf". Sebaliknya mereka "memberitahu mangsa untuk mendapatkan rawatan sendiri," menurut wanita itu lagi.
Selain itu, beliau juga berkata pihaknya masih belum menerima sebarang respons daripada pemilik burung merak itu mahupun AVS.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.