Budak 18 bulan maut akibat cedera kepala dihempap cermin di Jewel: Koroner
Kanak-kanak kecil meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala yang disebabkan oleh trauma setelah sebuah cermin menghempapnya di sebuah kedai di Jewel Lapangan Terbang Changi, menurut dapatan seorang koroner.
SINGAPURA: Kanak-kanak kecil meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala yang disebabkan oleh trauma setelah sebuah cermin menghempapnya di sebuah kedai di Jewel Lapangan Terbang Changi, menurut dapatan seorang koroner.
Berdasarkan hasil siasatan yang dikeluarkan pada Selasa (21 Apr), Koroner Negara Kamala Ponnampalam berkata tiada bukti untuk mengesyaki perbuatan khianat di sebalik kematian Lai Jiaxin yang berusia 18 bulan, dan ia merupakan satu peristiwa malang yang tragik.
Rakyat China itu datang ke Singapura bersama keluarga dan rakan-rakan keluarganya untuk bercuti di sini dan sedang menunggu penerbangan pulang ke Fujian, China semasa mereka membeli-belah di sana.
Semasa berada di kedai runcit Urban Revivo pada 23 Ogos 2019, ibu Jiaxin, Cik Lai Dongmei sedang mencuba pakaian, meninggalkan Jiaxin dan abangnya yang berusia enam tahun di bawah jagaan nenek mereka.
Mahkamah diberitahu, nenek Jiaxin dan nenek dua anak kecil lain sedang membelek-belek pakaian sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut, yang sedang bermain dan berlari di dalam kedai berkenaan.
Abang Jiaxin dan anak lelaki teman Cik Lai cuba memasuki ruang sempit di belakang cermin seberat 166kg itu. Jiaxin sedang berdiri di hadapan cermin berkenaan ketika salah seorang budak lelaki keluar dari bahagian belakang cermin tersebut.
Cermin itu lalu jatuh dan menghempap Jiaxin. Ibunya terdengar teriakan dan berlari keluar dari bilik salin pakaian lalu melihat nenek Jiaxin sedang membantu untuk mengangkat cermin pada anak kecil itu, yang mengalami pendarahan yang serius.
Jiaxin dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar, dengan pendarahan yang banyak dan tanpa denyutan jantung. Kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia pada hari yang sama setelah lebih sejam cuba menyelamatkannya.
Bedah siasat mengesahkan punca kematiannya yang disebabkan oleh kecederaan pada bahagian kepala akibat trauma daripada cermin yang menghempapnya.
Menurut Cik Lai, beliau menerima hakikat di sebalik kematian anak perempuannya yang disebabkan oleh kemalangan tersebut dan beliau tidak menyalahkan sesiapa atas peristiwa malang itu, kata koroner.
Nenek Jiaxin mengatakan bahawa beliau cuba mendukung dan memegang Jiaxin sedang kanak-kanak lain berlari di dalam kedai, tetapi Jiaxin tidak mahu dipegang oleh neneknya.
Beliau turut mendedahkan bahawa seorang lagi nenek sudah memberi amaran kepada kanak-kanak tersebut supaya jangan bermain dekat cermin, namun sejurus itu terdengar bunyi dentuman yang kuat dan ketika itu cermin sudahpun menghempap cucunya.
Laporan yang dikeluarkan bersama oleh Urban Revivo dan pengilang cermin tersebut menyatakan bahawa reka bentuk cermin berkenaan memang sudah diluluskan dan prototaipnya pula diuji untuk keselamatan dan kestabilannya.
Cermin berkenaan dinilai akan jatuh ke hadapan hanya apabila seseorang dengan sengaja menggunakan kekuatan yang berlebihan untuk menolaknya ke depan, atau jika digegarkan dari atas.
LANGKAH KESELAMATAN DIPERTINGKAT
Pengurus besar jenama syarikat itu, Tan See Ling berkata, kedai runcit itu kemudian menjalankan penilaian risiko di kedai-kedainya merata Singapura dan melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan kedai.
Ini termasuk: Menanggalkan semua cermin berdiri, menggunakan skru dan memperkukuhkan cermin yang diperlukan untuk operasi, melicinkan bahagian tepi meja dan menyusun semula rak pakaian untuk merapatkan jurang bagi mengelakkan kanak-kanak daripada bermain di sekitarnya.
Kakitangan juga kini perlu lebih berwaspada dan memerhatikan kanak-kanak yang bergerak bebas di dalam kedai dan segera memaklumkan pihak ibu bapa jika anak-anak mereka dilihat terbiar atau berkelakuan yang tidak sewajarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.