Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bubur Ramadan Masjid Sultan kekalkan resipi; habis diagih dalam sejam

Pengagihan bubur Ramadan bermula hari ini (6 Mei) dan mewarnai suasana di masjid-masjid merata Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengagihan bubur Ramadan bermula hari ini (6 Mei) dan mewarnai suasana di masjid-masjid merata Singapura.

BERITAmediacorp mengunjungi Masjid Sultan, yang menyajikan bubur dari resipi turun temurun. Dalam masa sejam sahaja semua bubur yang disediakan habis diagihkan kepada para jemaah.

KEMESTIAN SETIAP RAMADAN

Bagi Cik Serwati Latif, sudah menjadi kemestian baginya untuk turun ke Masjid Sultan pada setiap Ramadan bagi peluang menikmati bubur Ramadan untuk berbuka puasa.

Agihan bubur Ramadan di Masjid Sultan. (Gambar: Syawal Yusoff)

"Ramadan setahun sekali, jadi saya suka datang ke sini kerana buburnya sedap jadi datang ke sini tiap-tiap tahun; bukan sepanjang sebulan Ramadan. Tetapi tidak pernah lepas; sekali sekala mesti datang kerana tinggal pun jauh jugak" menurut Cik Serwati, yang menetap di Toa Payoh.

Seperti beliau, ramai jemaah mula membanjiri ruang di aras satu masjid sejak awal-awal lagi untuk mendapatkan bubur masjid yang mula diagihkan selepas Asar.

 CARA PERSIAPAN BERBEZA, RASA TETAP SAMA

Jika dahulunya masjid ini memasak buburnya sendiri, sejak 2016 ia tidak lagi dapat berbuat demikian disebabkan ruang masak yang terhad dan kurangnya tenaga kakitangan dan relawan untuk menyiapkan bubur.

Namun begitu, rasa keasliannya, tetap dikekalkan.

"Sebenarnya Masjid Sultan ini mengikut tradisi kita tetap memilih untuk menghidangkan bubur yang berempah dan juga mempunyai daging kambing yang cukup untuk setiap hidangan. Oleh itu, saya rasa jemaah tetap akan datang ke Masjid Sultan untuk mendapatkan bubur yang mereka inginkan," kata pengurus masjid, Encik Zainal Abidin Omar.

Agihan bubur Ramadan di Masjid Sultan. (Gambar: Syawal Yusoff)

Salah seorang jemaah yang tidak pernah terlepas peluang untuk ke Masjid Sultan ialah Encik Omar Al-Attas. Beliau berkata: "Salah satu sebabnya nak dapat menikmati suasana Ramadan dan juga nak eratkan tali silaturrahim sesama kaum Muslimin dan Muslimat dan juga buka puasa sini. Memang lazat, tiap-tiap tahun tidak berubah rasanya dan mutu juga dijaga. Alhamdulillah." 

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan