Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bubur lambuk ikan tenggiri 'penyatu' masyarakat Orang Laut S'pura; peluang lestarikan resipi turun-temurun

Anggaran Waktu Membaca:
Bubur lambuk ikan tenggiri 'penyatu' masyarakat Orang Laut S'pura; peluang lestarikan resipi turun-temurun

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 29 Apr 2022 11:10PM Dikemas Kini : 30 Apr 2022 02:13PM

SINGAPURA: Sempena Ramadan, masjid-masjid di Singapura, mengagihkan bubur - khususnya bubur lambuk, bubur nasi berempah yang biasanya mengandungi daging lembu atau kambing.

Menurut sebuah keluarga yang ditemui Mediacorp, bubur lambuk adalah makanan kegemaran untuk majlis berbuka puasa atau sahur kerana ia dipercayai membekalkan tubuh kita dengan khasiat yang diperlukan ketika berpuasa.

Keluarga itu adalah pengasas Orang Laut SG, iaitu perniagaan kecil-kecilan dari rumah (HBB) yang ditubuhkan untuk mempromosikan makanan orang laut Pulau Semakau.

Pada tahun ini, keluarga tersebut mengambil bahagian dalam pengagihan bubur. Namun, dengan sedikit kelainan. Pada awal bulan ini, seminggu selepas umat Islam berpuasa, mereka membuat dan mengagihkan versi bubur orang laut iaitu bubur lambuk ikan tenggiri dari rumah mereka di Jurong West.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Ia merupakan kali kedua Orang Laut SG mengagihkan bubur secara percuma dalam usahanya mensyukuri nikmat yang dikurniakan pada perniagaan mereka sejauh ini.

Pada masa yang sama, ia merupakan satu cara untuk keluarga tersebut mendampingi "mereka yang mungkin tidak tahu atau mahu mengetahui lebih mendalam tentang budaya orang laut di Pulau Semakau", kata Firdaus Sani, yang merupakan keturunan orang laut generasi keempat.

Menurut Firdaus, haiwan ternakan agak terbatas dalam masyarakat orang laut, maka itu ikan – seperti ikan tenggiri – dijadikan sebagai bahan makanan harian.

Tambah Firdaus, keluarganya menggunakan kaedah tradisional yang dikenali sebagai 'menjaring' untuk menangkap ikan tenggiri.

Kaedah itu memudahkan tugas menangkap lebih banyak ikan tenggiri.

"Resipi ini sebenarnya adalah huraian kepada kemampanan makanan di pulau ini," jelas Firdaus kepada Mediacorp.

"Disebabkan kami tidak mempunyai peti sejuk, selepas menangkap ikan dan menjual hasil tangkapan kami, baki ikan akan dibuang tulang dan dikisar menjadi pes untuk mengelakkan pembaziran." Bersama dengan rempah ikan, bahan-bahan ringkas seperti lada hitam, serai, bawang putih dan bawang besar turut dimasukkan ke dalam bubur untuk menyemarakkan bau dan rasanya.

(Gambar: Orang Laut SG)

Resipi bubur lambuk ikan tenggiri ini merupakan resipi turun-temurun yang sudah diturunkan kepada ibu Firdaus, Cik Nooraini Rani dan juga makcik Firdaus, iaitu Cik Rohaini Rani.

"Hidangan ini seolah-olah membawa saya kembali ke Pulau Semakau semasa ibu saya memasak hidangan ini pada bulan Ramadan dan kami duduk di sekelilingnya, menunggu untuk dihidangkan dengan bubur istimewa ini," kenang Cik Rohaini.

"Dia akan menggunakan batu lesung untuk melumatkan bahan-bahannya dan jika ada lebih ikan, kami akan meminjam batu lesung jiran kami. Hari ini, kita hanya menggunakan mesin pengisar."

"Hari ini, kami boleh membeli bahan-bahan ini dengan mudah dari pasar. Tetapi untuk ikan tenggiri yang segar, kami perlu melanggani beberapa pasar," katanya. Mana-mana ikan boleh digunakan untuk hidangan ini, tetapi ikan tenggiri menjadi pilihan kami kerana ia lebih besar berbanding ikan lain dan tidak banyak tulang.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Apabila ditanya mengapa mereka memutuskan untuk membuat bubur lambuk ini dan kemudian mengagihkannya kepada orang ramai selama dua tahun berturut-turut, adik dan kakak itu berkata bahawa mereka diajar oleh arwah bapa mereka yang menasihatkan mereka bahawa seseorang itu tidak semestinya kaya-raya untuk bermurah hati.

"Kami menghadapi pelbagai kesulitan semasa membesar di Pulau Semakau, tetapi kami sentiasa berkongsi makanan dan sumber kami. Kami mahu terus memupuk semangat murah hati ini, lebih-lebih lagi semasa Ramadan," kata Cik Nooraini.

"Di Pulau Semakau, kami boleh berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk mengagihkan bubur. Hari ini, tanpa mengira kaum dan agama, mereka berkunjung ke rumah kami untuk merasakan masakan kami dan mengetahui lebih lanjut tentang budaya kami. Ia benar-benar menyenangkan hati saya," tambahnya.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Untuk menggalak orang ramai mengambil bubur percuma itu, Firdaus membuat pengumuman di media sosial Orang Laut SG, bukan sahaja setakat mengalu-alukan anggota masyarakat orang laut, tetapi juga keluarga-keluarga yang memerlukan dan mereka yang berminat dengan budaya orang laut untuk datang ke rumah dan mengambil bubur tersebut.

"Saya pada mulanya agak ragu-ragu kerana siapa yang akan sanggup ke Jurong West pada hari Sabtu semata-mata untuk mengambil semangkuk bubur? Tetapi seperti yang pernah diungkapkan oleh ibu saya, kami amat tersentuh dengan sambutan yang luar biasa ini, sangat memberangsangkan."

Selepas menyiapkan dan mengagihkan bubur tersebut, Firdaus dan keluarganya kelihatan letih, namun berkata mereka bertekad untuk meneruskan inisiatif itu setiap tahun.

"Aktiviti ini bukan sahaja mendekatkan kami sebagai sebuah keluarga dan masyarakat, saya juga berpendapat bahawa ia adalah satu cara yang penting untuk menyambut Ramadan dengan resipi nenek saya,” katanya lagi.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Sumber : CNA/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan