Buat pertama kalinya, MENDAKI lantik 2 Timbalan CEO - Aidaroyani Adam & Zulaiha Yusuf
Yayasan MENDAKI hari ini (22 Nov) mengumumkan kenaikan pangkat dua orang pegawai kanannya, yang akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
SINGAPURA: Yayasan MENDAKI hari ini (22 Nov) mengumumkan kenaikan pangkat dua orang pegawai kanannya, yang akan dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Mereka ialah Cik Zulaiha Yusuf dan Cik Aidaroyani Adam. Jawatan baru mereka akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2018.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarahnya, MENDAKI, yang ditubuhkan pada tahun 1982, bakal mempunyai Timbalan CEO. Malah yang menariknya, dua orang secara serentak.
"Pelantikan-pelantikan baru itu mencerminkan pendekatan strategik MENDAKI untuk meluaskan dan mengukuhkan misi terasnya bagi kecemerlangan pendidikan," umum MENDAKI menerusi satu kenyataan media hari ini.
Menurut MENDAKI lagi, kedua-dua wanita berkenaan akan memperkukuh bidang-bidang tumpuan badan bantu diri itu.
PERANAN STRATEGIK AIDAROYANI & ZULAIHA
Dalam peranan barunya nanti, Cik Zulaiha yang berusia 55 tahun, akan mengetuai dan meluaskan tunggak 'Future Ready' (Bersiap Untuk Masa Depan). Cik Aidaroyani pula, berusia 43 tahun, akan mengetuai tunggak Siap Ke Sekolah (School Ready) dan Prestasi di Sekolah (Perform in School) MENDAKI.
Dalam ulasannya, Pengerusi MENDAKI yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim berkata:
"Pelantikan ini bertepatan sedang MENDAKI bergerak untuk memperkukuh usahanya mendekati masyarakat demi menekankan kesiapsediaan persekolahan dan kesiapsediaan untuk masa depan bagi anak-anak dan belia kita, selaras dengan perubahan landskap pendidikan dan ekonomi di Singapura dan peringkat global."
Cik Aidaroyani, adalah 'orang lama' dalam MENDAKI yang sudah berkhidmat dalam badan itu selama 21 tahun - sejak 1996.
Beliau yang kini merupakan Pengarah Pendidikan dan Kajian MENDAKI "memainkan peranan penting memperkukuh Skim Tuisyen MENDAKI (MTS)", iaitu salah satu program terpenting badan tersebut.
Antara kejayaan Cik Aida adalah mengembangkan MTS sehingga berjaya mendekati 10,000 pelajar setahun. Beliau juga memimpin sebuah pasukan MENDAKI yang menyelidik isu-isu nasional dan global serta bagaimana ia memberi kesan terhadap masyarakat Melayu/Islam. Hasil kajian pasukannya kemudian memastikan program-program MENDAKI kekal relevan dalam zaman yang pesat berubah-ubah sekarang.
Cik Zulaiha adalah seorang veteran MENDAKI, yang sudah berkhidmat selama 24 tahun dengan badan tersebut. Beliau kini berkhidmat selaku Ketua Pegawai Operasi (COO) - suatu jawatan baru yang diwujudkan MENDAKI pada tahun 2015.
Kerjaya beliau dengan badan tersebut bermula sebagai Pengurus Perhubungan Korporat pada tahun 1993, sebelum menjadi Pengurus Besar MENDAKI SENSE pada tahun 2004.
PERKUKUH MENDAKI DALAM "PEMBELAJARAN DI SEMUA PERINGKAT"
Dalam komen beliau pula, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MENDAKI, Cik Rahayu Buang berkata beliau mengalu-alukan kemunculan dua Timbalan CEO itu "dalam MENDAKI mengambil pendekatan lebih strategik untuk mewujudkan perkongsian dengan masyarakat Melayu/Islam".
Kedua-dua Timbalan CEO itu, tambah beliau, akan membantu beliau memperkukuh pendekatan strategik MENDAKI dalam "pembelajaran di semua peringkat".
Dr Yaacob turut melahirkan keyakinan bahawa "dengan kekuatan dan pengalaman mereka, kedua-dua pegawai akan membawa MENDAKI ke peringkat lebih tinggi lagi".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.