Skip to main content

Singapura

Buang ayam peliharaan meningkat, pusat perlindungan haiwan kekurangan ruang

Anggaran Waktu Membaca:
Buang ayam peliharaan meningkat, pusat perlindungan haiwan kekurangan ruang

Gambar: CNA

Diterbitkan : 16 Nov 2022 05:28PM Dikemas Kini : 16 Nov 2022 05:29PM
SINGAPURA: Lebih banyak ayam peliharaan dibuang dan pusat perlindungan di Singapura kini kekurangan ruang untuk menempatkan haiwan-haiwan itu.

Jumlah ayam yang diabaikan sejak beberapa bulan kebelakangan ini meningkat sebanyak 40 peratus berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya, menurut penyelamat haiwan kepada Mediacorp.

Lebih ramai penduduk menganggap bunyi bising dari haiwan itu mengganggu ketenteraman hidup seharian mereka sekali gus menyebabkan aduan semakin meningkat.

Agensi Pemerintah dan majlis bandaran menerima hampir 1,500 aduan tahun lalu dari kedua-dua estet perumahan awam dan privet. Jumlah itu meningkat berbanding sekitar 1,000 pada 2020.

Kes haiwan yang dibuang juga meningkat kerana sesetengah pemiliknya terpaksa menyerahkan haiwan peliharaan mereka.
Tempat perlindungan untuk ayam kini semakin kekurang ruang.

Kemudahan The Rescue, Rehome dan CareSG misalnya telah menyelamatkan dan menempatkan kira-kira 100 ekor ayam sejak ia mula beroperasi pada pertengahan Julai.

"Agak menyedihkan melihat haiwan itu berkeliaran," kata Encik William Lian, seorang sukarelawan di tempat perlindungan itu.

"Pemerintah menghubungi kami dan menyatakan jika kami ingin menempatkan 20 ayam, haiwan-haiwan itu harus diberi suntikan vaksin," kata Encik Lian sambil menambah bahawa tempat perlindungan tersebut sedang bersiap sedia untuk menghentikan operasi tahun depan jika rundingan gagal.

"Masalah yang kami hadapi sekarang adalah dari segi kewangan kerana ia ditanggung oleh kami sendiri. Jumlah ayam juga akan semakin meningkat jadi kami tidak dapat memberikan suntikan vaksin kepada semua ayam itu".

MASALAH AYAM LIAR

Kelibat ayam liar juga menjadi masalah terutama sekali di beberapa taman di Singapura.

Sejak 2020, Lembaga Taman Negara (NParks) menerima lebih 1,000 laporan setiap tahun tentang ayam yang berkeliaran.

Jumlah ayam liar yang semakin meningkat mungkin disebabkan keadaan menghijau yang sesuai buat haiwan-haiwan itu serta makanan yang tersedia kerana orang ramai memberi makan kepada ayam tersebut, menurut pakar.

NParks menggesa orang ramai supaya jangan memberi makan kepada ayam liar kerana ia akan menambah jumlah ayam tersebut secara berlebihan.
Memberi makan kepada haiwan liar dilarang di bawah Akta Kehidupan Liar.

Undang-undang itu sedikit sebanyak sudah meningkatkan kesedaran dan usaha penguatkuasaan, kata ketua eksekutif bersama Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES), Anbarasi Boopal.

Cik Anbarasi berkata memberikan haiwan-haiwan itu sumber makanan tambahan menjejaskan kadar pembiakannya.

Menurut Cik Anbarasi cara terbaik untuk menguruskan jumlah haiwan-haiwan itu adalah melalui sumber makanan dan memberi makan secara langsung dan tidak langsung.

"Kami berharap dapat melakukannya di Singapura. Jika tidak, meskipun kami dapat mengawal jumlah haiwan tetapi sumber makanannya tidak ditangani, akan ada isu dengan spesies haiwan lain yang mungkin meningkat jumlahnya."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita