Singapura ekslusif
Bual Bicara eksklusif Detik Personaliti bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir
BERITAmediacorp: Detik Personaliti mengadakan wawancara eksklusif bersama Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir untuk mengenali dengan lebih dekat individu yang diangkat sebagai ketua pemimpin agama di Singapura.
Kami menyusuri pengalaman beliau membesar dan mendalami ilmu agama serta menyingkap cabaran-cabaran yang ditempuhi beliau sepanjang bergelar Mufti Negara sejak 1 Mac 2020.
Mufti, anda menerima cabaran pertama sebagai Mufti Negara sudah kira-kira sebulan anda memegang jawatan tersebut. Getir. COVID-19. Masjid tutup.
Saya kira pada waktu itu memang cabaran yang amat berat. Baru menjawat jawatan yang penuh dengan tanggungjawab dan amanah yang berat. Kemudian pula berhadapan dengan satu krisis, bukan sahaja di Singapura, bahkan di seluruh dunia. Lebih ketara lagi adalah krisis itu belum pernah dialami, bukan sahaja di kepimpinan keagamaan bahkan negara-negara tidak begitu pasti apa yang patut dibuat pada waktu itu. Jadi jika saya imbas kembali pada saat-saat sedemikian, ada juga perasaan peribadi iaitu kekhuatiran tentang pandemik itu sendiri - bagaimana ia boleh menjejas kesihatan kita dan masyarakat dan keluarga, begitu juga keselamatan awam, dan pada waktu itu kita rasa adalah keutamaan yang paling penting adalah untuk memelihara nyawa.
Sudah pasti tidak semua keputusan ini mendapat sokongan sebulat suara dari masyarakat kita. Apa pedoman utama yang diambil dalam membuat keputusan ini kerana perkara ini belum pernah ada dulu?
Yang hanya boleh menjadi pedoman dan sandaran pada waktu itu adalah apa yang diajarkan oleh agama kita, dari segi prinsip-prinsip dan nilai-nilainya. Sebagai contoh agama kita menekankan penting untuk membawa rahmat dan kesejahteraan memelihara nyawa dari segala bentuk bahaya dan juga mengelakkan segala kemudaratan dan agama juga mengajar kita untuk ada sikap tanggungjawab bersama. Sebagai seorang Mufti yang baru, itu keputusan yang pertama yang untuk menutup masjid secara intuitifnya saya rasa mungkin sesuatu yang tak boleh digambarkan.
Saya kira apa pun keputusan, kita perlu bersedia untuk menerima kritikan, teguran dan sebagainya. Tetapi yang penting pada ketika itu adalah bagaimana kita menyampaikan sesuatu keputusan, menjelaskan kepada masyarakat dan mengingatkan mereka tentang keutamaan-keutamaan agama dalam situasi-situasi tertentu. Jadi dalam situasi pandemik, ada keutamaan-keutamaannya memang telah digariskan oleh agama kita. Alhamdulillah, walaupun sebahagian yang mungkin pada awalnya agak sukar menerima, tetapi setelah diberi penjelasan dan juga setelah memahami skala krisis tersebut, mereka menghargai usaha-usaha untuk memelihara kesejahteraan masyarakat demi memelihara nyawa. Ini yang saya kira menunjukkan sokongan masyarakat dan juga penerimaan mereka yang baik.
Tidak lupa juga pengorbanan mereka, pada ketika itu adalah satu aspek lagi di mana apabila mereka tidak dapat datang ke masjid, dan kebiasaan mereka itu terjejas - kebiasaan ke masjid berjumpa dengan teman-teman, solat berjemaah, pergi kelas agama terjejas. Apakah alternatifnya? Kami dengan segera cuba memikirkan bagaimana untuk meneruskan hubungan keagamaan dengan masyarakat. Menyediakan mereka dengan wadah-wadah lain. Antaranya, SalamSG.
Kalau kita masih ingat lagi, hampir dengan waktu penutupan masjid itu adalah masuk bulan Ramadan, jadi ibadah puasa kita terjejas, masjid, iftar, solat tarawih semua tak wujud lagi. Jadi, apabila satu pintu kebaikan tertutup, kita cuba buka pintu yang lain. Alhamdulillah masjid-masjid kita menggunakan Facebook dan media sosial mereka untuk membuka ruang bagi terus berhubung dengan jemaah dengan kelas-kelas agama asatizah dipindahkan dari secara fizikal ke ruang alam maya.
Jadi ada usaha untuk terus berinteraksi dengan masyarakat sekurang-kurangnya walaupun tak boleh terubat rindu dengan masjid secara sepenuhnya. Sekurang-kurangnya ada hubungkait kemanusiaan dan mereka rasa dapat terus menghidupkan ajaran dan semangat agama dengan bentuk yang lain. Itu sangat penting kerana ia memberi mereka semangat dan harapan kerana kita tahu krisis pandemik ini telah banyak menjejas moral, jati diri, dan daya tahan setiap manusia yang terjejas. Agama memainkan peranan yang penting, jadi kita perlu fikirkan ruang-ruang yang baru untuk terus beri mereka harapan yang positif.
Mufti, khutbah hari raya pertama anda, anda sampaikan seorang sahaja dalam masjid yang kosong. Gambarkan.
Tidak ada jemaah, tetapi yang luar biasanya saya merasakan pada waktu itu sangat rindu kepada masyarakat dan prihatin dengan kebajikan mereka, dan Alhamdulillah saya kira walaupun ramai jemaah yang tidak dapat hadir ke masjid, mereka solat di rumah dengan keluarga masing-masing. Ia juga merupakan suatu pengalaman yang manis dan istimewa. Jadi mereka dapat menonton khutbah tersebut. Saya fikir pada waktu itu ramai yang melahirkan rasa hubungan yang erat dan luar biasa. Yang unik, walau mereka tidak dapat ke masjid, tidak dapat bertemu dengan jemaah, imam dan sebagainya, tetapi mereka merasakan kasih sayang dan solidariti di dalam masyarakat yang amat kuat.
Saya harap sangat bahawa pengajaran ini dapat kita bawa terus dalam menghadapi apa pun masalah, apa pun cabaran, apa pun kesusahan yang akan kita hadapi. Ini supaya kita dapat terus mengekalkan silaturahmi dan kasih sayang antara kita, saling membantu dalam mengatasi apa pun cabaran. Ini adalah suatu kebaikan, hikmah dari pandemik yang tidak harus kita sia-siakan. Kekuatan yang telah kita bina, baik sangka dengan masyarakat, keprihatinan terhadap kebajikan satu sama lain, bantu membantu golongan memerlukan. Kita bawa kepada masa hadapan dengan apa pun ujian dan cabaran kita, kita bersatu dan bersama dalam mengatasinya.
Sepanjang pandemik melanda dua tahun ini, apa pengajaran utama yang ditimba oleh Mufti sendiri?
Saya melihatnya sebagai suatu ujian yang mengandungi banyak hikmah. Sebagai suatu peluang untuk kita melangkah ke hadapan dengan lebih jauh lagi dengan cara kita melihat keutamaan-keutamaan dalam kehidupan. Saya kira hari ini manusia sudah banyak mencapai kemajuan-kemajuan dalam pelbagai sudut kehidupan. Kemewahan, harta dan kesibukan harian. Pandemik ini ia sebagai “reset”, ia menyentak kehidupan kita, dan melontar soalan-soalan yang sangat asas dalam kehidupan ini - Apakah keutamaan anda sedang kehidupan? Ke mana anda ingin membawa kehidupan? Apakah bentuk hubungan sesama manusia dengan keluarga, dengan suami isteri, anak-anak, dan teman-teman?
Alhamdulillah ramai yang lebih menghargai masa dengan keluarga walaupun memang waktu 'circuit breaker', mereka tak terbiasa, tiba-tiba siang dan malam di rumah, tak dapat ke tempat lain. Bekerja dari rumah, belajar di rumah. Ada cabaran-cabarannya tetapi ini memberikan kita peluang-peluang baru untuk melihat kehidupan ini dengan kaca mata yang lebih segar. Yang menjadi “reset” sebagai satu peluang untuk kita memikirkan semula, apakah keutamaan, dan bagaimana kita boleh memperbaiki lagi kehidupan kita. Jadi saya kira itu pengajaran yang sangat penting. Antara pengajaran yang saya dapat melalui aspek “refresh” itu adalah betapa berharga dan nilainya hubungan sesama manusia ini - khusus dengan masyarakat. Saya sangat bersyukur dengan masyarakat walaupun sebenarnya tidak dapat bertemu dengan mereka, termasuk bila Hari Raya, khutbah pertama yang saya sampaikan dalam masjid yang kosong, tetapi waktu itu perasaan rindu dan sayang kepada masyarakat sangat luar biasa.
Mufti, anda dibesarkan di kejiranan ini. Ini merupakan rumah sewa, estet lama. Kongsi kenangan anda membesar di sini.
Lebih kurang lima tahun saya pergi ke sekolah rendah di sini, Alexandra Hill. Dari rumah tinggi, estet di belakang sana dan setiap hari saya pergi ke sekolah turun bukit ini. Sekolah saya masih bangunan sama. Walaupun dah hampir 40 tahun lebih.
Saya sangat suka dengan sekolah rendah. Kawan-kawan, guru-guru yang sangat menyayangi murid-murid. Ramai yang berikan dorongan dan sokongan. Kemudian juga ada aktiviti. Saya anggota pengakap. Banyak aktiviti sosial yang kita buat dan kemudian main bola waktu rehat dengan teman-teman. Jadi semuanya kenangan yang begitu manis, yang meninggalkan kesan yang mendalam.
Jadi, Mufti memang minat bola sepak?
Memang banyaklah main bola - bola sepak, tenis dekat dengan kantin dulu, dewan yang digunakan. Saya minat bola secara umum tetapi seperti penyokong bola sepak yang lain, punya minat kepada pasukan masing-masing. Saya suka pasukan merah. Pernah ditanya merah yang mana satu. Saya kata merah yang halal sebab yang satu lagi dipanggil Red Devils kan? Pasukan yang saya sokong, merah halal. Liverpool. Minat itu bermula dari zaman muda lagi, remaja sehingga hari ini.
Apakah yang dilakukan guru-guru anda, yang membuat anda minat mendalam bab pendidikan?
Sebahagian guru-guru saya, apabila mereka melihat seseorang pelajar itu ada bakat, mereka memberikan tumpuan yang lebih. Sebagai contoh, guru saya perasan yang saya mungkin ada cabaran dari segi kalau nak dapat tuisyen atau pun bantuan guru-guru lain, membeli buku-buku tambahan dan sebagainya, saya mungkin kurang berkemampuan pada waktu itu. Maka itu, guru saya pun, beliau membelikan ataupun memberikan buku-buku yang digunakan dalam kelas sebagai buku tambahan, diberikan kepada saya supaya saya dapat buat latihan sendiri dan mencapai keputusan yang lebih baik.
Mufti sebut Mufti datang dari keluarga sederhana. Tinggal di rumah flat sewa. Jadi bagaimana dengan persekitaran sebegini, Mufti tetap cekal belajar?
Saya rasa keistimewaan keluarga saya, ibu bapa saya, adalah, mereka tidak pernah memaksa. Walaupun mereka itu hidup sederhana, dan kurang berkemampuan tapi suatu ketika, ada penjual yang membawa ensiklopedia datang ke rumah dan waktu itu kita tahu mahal harganya. Tapi ada skim ansuran untuk membayar ensiklopedia. Ibu bapa saya kerana mereka perhatikan saya ini memang suka membaca dan belajar, mereka sanggup beli. Saya kira perkara-perkara seperti itu meski secara kecil-kecilan, ia secara keseluruhan menanam minat saya terhadap ilmu pengetahuan dan kegigihan untuk terus mencari ilmu.
Assalamualaikum Mufti, lama tunggu hujan lebat tadi.
Alhamdulillah, sampai juga. Inilah Masjid Darussalam, tempat saya berjinak-jinak dari muda dahulu.
Mufti, anda mengikuti kelas madrasah mingguan semasa di darjah rendah dahulu, bagaimana madrasah mingguan ini membentuk minat Mufti terhadap pendidikan Islam?
Waktu saya belajar madrasah mingguan pada setiap hari Ahad, kadang kala hari Sabtu banyak aktiviti lain yang saya ceburi juga. Antaranya adalah peraduan syarahan, menghafal sebahagian daripada Quran, jadi saya diberikan banyak peluang, galakan dan dorongan daripada ustazah saya. Pada waktu itu agak istimewa, bila melihat potensi dan bakat, mereka mula memberikan saya ruang untuk menyampaikan syarahan sebagai pensyarah belia dipanggil dan langsung di dewan inilah.
Jadi Mufti bermula dengan sekolah sekular – dari Sekolah Rendah Alexandra Hill, kemudian Victoria School dan selepas itu Madrasah Aljunied. Mengapa mahu masuk madrasah?
Sewaktu saya di Victoria School, minat bahasa Arab itu begitu kuat, jadi saya mengambil kelas-kelas sendiri Bahasa Arab dan juga termasuk kursus jarak jauh ataupun melalui surat-menyurat dengan beberapa institusi untuk mendalami pembelajaran Bahasa Arab. Timbul di situ minat untuk menceburi bidang agama sepenuh masa dan lebih serius. Antara cara yang terbaik adalah untuk memasuki madrasah sepenuh masa. Waktu itu pilihannya adalah untuk ke Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Saya difahamkan untuk memasuki madrasah ini sukar kerana lebih banyak subjek berbanding sekular. Bagaimana peralihan Mufti?
Memang pada awalnya bukan setakat kurikulumnya yang lebih banyak, mata pelajaran yang berat tetapi juga suasana yang berbeza, budayanya juga berbeza dan bahasanya. Tetapi saya terus cekalkan hati saya walaupun ada banyak cabaran, terutama sekali bila saya awal memasuki Madrasah Aljunied, saya diletakkan bersama kanak-kanak, jadi jarak usia saya dengan mereka agak jauh, jadi ada kejanggalan di situ. Tetapi Alhamdulillah, berkat minat yang sungguh-sungguh dan azam yang kuat untuk meneruskan bidang agama ini saya mengambil setiap ujian itu, cabaran itu dengan satu pengajaran dan saya cekalkan hari berkat dorongan dan galakan guru-guru saya. Saya meneruskan dan menamatkan pembelajaran agama itu.
Apa nasihat Mufti kepada mereka dari sekolah sekular yang mahu meneruskan pengajian ke madrasah pula?
Saya ada dua nasihat. Pertama adalah hasrat itu perlu datang dari diri sendiri bukan paksaan ataupun pengaruh orang lain kerana kita akan menghadapi banyak kesukaran dan cabaran, jika niat kita itu belum kukuh dan azam itu tidak kuat, kita mudah menyerah kalah dan kemudian meninggalkannya. Kedua adalah supaya kita jangan tinggalkan sesuatu bidang, hanya kerana kita sudah berpindah ke bidang yang lain. Saya kira dalam menghadapi banyak isu masa kini walaupun sebagai seorang asatizah, graduan agama, tetap perlu mengimbangi antara pemahaman ilmu agama dan pemahaman dunia. Ini memerlukan penguasaan kedua-dua aliran - aliran agama dan bukan agama seperti sains, teknologi, sosiologi dan sebagainya. Jadi kedua-duanya masih boleh digandingkan. Sewaktu saya masuk ke Madrasah Aljunied, saya tidak tinggalkan peperiksaan A-level, saya belajar sebagai calon privet kerana saya ingin terus menggabungkan kedua-duanya kerana ia meningkatkan pemahaman kita terhadap isu-isu yang relevan.
Mufti awal tadi sebut tentang peraduan syarahan. Saya difahamkan Mufti pernah masuk peraduan syarahan peringkat nasional, menang juara lagi.
Jadi, awal saya ceburi beberapa aktiviti tambahan, antaranya peraduan syarahan dari peringkat lapisan, peringkat kelayakan dan kemudian berkat latihan ustazah saya dan dorongan mereka, kita tulis kandungan syarahan yang kita rasa baik disampaikan dan beberapa teknik, kemudian jadi terbiasa pula.
Agak ironik kerana saya ini orangnya pemalu sedikit jadi saya agak terperanjat juga kenapa ingin ceburi syarahan depan orang ramai kerana biasanya kita gugup, takut depan orang ramai, gemuruh tetapi Alhamdulillah penyampaiannya itu baik dan lama kelamaan terbiasa. Ada beberapa peraduan peringkat nasional yang saya menangi juga. Saya teringat ada satu peraduan di MUIS dahulu, waktu saya masih belajar di madrasah mingguan Masjid Darussalam dan pengadilnya adalah Almarhum Ustaz Syed Abdillah Aljufri dan juga mantan Mufti kita, Syed Isa Semait dan mereka memberikan beberapa nasihat dan teguran itu kekal dengan saya hingga ke hari ini.
Apa nasihat itu?
Sebagai contoh intonasi bila bersyarah itu perlu ada unsur rendah diri bukan dengan suara seolah-olah kita mengherdik pendengar ataupun menganggap pendengar ini tidak memahami agama. Jadi kita perlu menyesuaikan bahasa kita, intonasi kita maknanya berdakwah dengan secara berhemah. Jadi itu adalah satu nasihat yang sangat baik dan kekal dengan saya. Saya rasa satu pengalaman yang amat istimewa walaupun setiap kali ada peraduan rasa takut dan khuatir, apatah lagi berhadapan dengan peserta-peserta dari madrasah sepenuh masa yang mana mereka ini setiap hari belajar agama dan biasa menyampaikan ceramah di madrasah.
Mufti masih ingat antara nama-nama asatizah yang kekal bersyarahan sehingga ke hari ini?
Ya, saya tidak lupa salah seorang yang turut serta dalam peraduan syarahan di peringkat nasional bahkan dianggap sebagai juara bertahan dan susah nak ditewaskan. Sekarang ini beliau giat berdakwah juga dan terus bersyarah, merupakan Ustazah Kalthom.
Ustazah Kalthom, disebut-sebut awal tadi. Ustazah, boleh kongsi tentang kenangan anda bersyarah bersama Mufti.
Ustazah Kalthom: Kalau kita dengar tadi Mufti sebut juara bertahan, memanglah juara bertahan tetapi bila beliau masuk, saya ditewaskan daripada beliau tetapi tak mengapalah adat pertandingan kan?
Apakah ciri-ciri Mufti yang masih Ustazah ingat?
Ustazah Kalthom: Dia tak banyak cakap pun mungkin pemalu juga, pemalu sampai dekat Mesir pun kita pernah jumpa juga dia termasuk saya punya ‘junior’, saya sudah ‘senior’ kan dia ‘junior’, tak pernah memberi masalah bagi kami. Dia belajar pun bagus, jadi beri banyak kesenangan kepada yang lain. Kalau kami nak minta dia untuk ke hadapan pun mudah. Kami nampak potensinya.
Mufti: Nursha, inilah guru-guru saya. Mari kita lihat jika mereka masih ada di sini.
Nursha: Assalamualaikum, Ustazah.
Ustazah Maria: Waalaikumsalam.
Nursha: Ini Ustazah Maria, guru saya.
Ustazah Maria: Ustaz Nazirudin seorang pelajar yang sangat aktif. Setiap kali kami adakan peraduan, mesti nombor satu. Kemudian, dalam kelas pun nombor satu. Saya bangga sangat. Saya masih ingat bahawa pertama kali Muis adakan peperiksaan darjah enam seluruh Singapura, dahsyat Ustaz dapat nombor satu. Jadi mengangkat Madrasah Darussalam. Bila saya dengar Ustaz jadi Mufti, sangat bangga. Alhamdulilah.
Mufti, anda duduk di kerusi panas dan Mufti-Mufti Singapura sebelum ini juga dapat merasa kehangatannya. Kritikan dan kata-kata yang menyakitkan, Sebagai contoh, ‘lembu cucuk hidung’ dan sebagainya. Bagaimana Mufti dan juga pejabat Mufti diberi mandat penuh dalam memimpin masyarakat Islam Singapura kita?
Sebenarnya tanggungjawab Mufti dan kepimpinan keagamaan ini adalah tanggungjawab yang agak rumit atau kompleks, sebab ia mempunyai pelbagai aspek - amanah dan tanggungjawab terhadap masyarakat, terhadap kepimpinan di negara. Dan yang lebih utama lagi terhadap agama dan terhadap Tuhannya dan saya kira Mufti dan kepimpinan keagamaan perlu terus mengimbangi pelbagai aspek aspek ini. Setiap pihak tentunya mempunyai jangkaan mereka dan harapan mereka. Tanggungjawab dan proses mengimbangi itu adalah sesuatu yang amat kompleks dan “delicate” sekali yang perlu ditangani dengan baik dan cermat. Itu yang seringkali menimbulkan kadangkala salah faham di kalangan pihak yang mungkin apabila sesuatu keputusan tidak menyenangkan mereka sebagai contoh, atau mereka tidak bersetuju. Ini adalah reaksi semula jadi apabila seseorang itu tidak mendapat keputusan yang memihak kepada mereka ataupun yang bertepatan dengan pemikiran mereka.
Mereka mungkin akan melemparkan tuduhan atau mempunyai tanggapan yang silap. “It comes with the job” ataupun sebahagian daripada tugasan kepimpinan keagamaan. Tetapi yang penting saya kira apabila masyarakat kita bertambah matang dalam memahami bagaimana kompleksnya kehidupan masa kini dan cabaran-cabaran masa kini, mereka akan menghargai. Walaupun keputusan itu sukar. Walaupun keputusan tu mungkin bukan satu keputusan yang popular ataupun yang mudah diterima. tapi dengan penjelasan, dengan komunikasi, mereka mungkin dapat juga melihat ketulusan sesuatu proses dan keputusan, mereka akan menghargainya dan memberi sokongan mereka.
Itulah yang saya dapati dari masyarakat kita walaupun mungkin ada yang sebahagiannya tidak menerima dan sebagainya. Tapi ramai yang menghargai dan memberi sokongan mereka. Yang agak unik di Singapura adalah kita tidak bergerak bersendiri. Saya sebagai contoh mempengerusikan jawatankuasa fatwa dengan para asatizah lain dan kami banyak berbincang dengan asatizah. Sebenarnya tugas saya ini mungkin lebih 60 peratus adalah meluangkan masa dengan pemimpin-pemimpin seperti asatizah-asatizah kita untuk berbincang tentang sesuatu permasalahan untuk mendapat pandangan mereka, untuk membina konsensus ataupun muafakat dalam perbincangan dan bermusyawarah kerana isu-isu semakin kompleks dan mempunyai pelbagai sudut pandangan. Kalau kita letak 10 orang dalam bilik, mungkin ada 10 perspektif yang berbeza.
Jadi bagaimana kita nak memilih jalan tengah dan membina muafakat tadi di kalangan pandangan berbeza agar walaupun mereka berbeza pandangan mereka memahami akhirnya kenapa sesuatu keputusan itu diambil. Saya kira ini adalah amanah yang amat berat yang merupakan satu peringkat baru dalam kepimpinan keagamaan dalam situasi hari ini kerana dengan wujudnya media sosial dan internet, masing-masing boleh dapat suarakan pandangan.
Kita mudahlah untuk membaca pandangan sinis, kritikan ataupun tuduhan pelbagai yang kadang kala juga menjurus ke arah “personal attack” ataupun mempersoalkan personaliti seseorang. Itu kita lihat semakin menjadi kebiasaan atau lumrah hari ini, jadi kerana itu kepimpinan keagamaan perlu bersedialah untuk menghadapi situasi yang amat berbeza. Saya kira yang positifnya adalah kita dapat melihat dalam masyarakat ramai yang lebih memberikan pandangan yang lebih konstruktif ataupun kalau mereka tidak bersetuju, mereka memberikan sebab-sebab dan kita boleh berbincang bersama. Ini kerana kita ingin mencapai keputusan dan natijah yang lebih baik lagi bagi masyarakat. Bukan setakat tuduhan yang tidak berasas ataupun hanya meluahkan perasaan marah yang kadangkala tidak dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah, tetapi hanya memburukkan lagi suasana.
Mufti juga seorang manusia, punya perasaan ya. Jadi bagaimana anda mengharungi kritikan dan juga kata-kata yang kurang santun dari sebilangan masyarakat kita? Sebagai contoh, pada tempoh Hari Raya Aidilfitri yang lalu, pelbagai komen-komen yang mungkin tidak wajar.
Satu peribadi prinsip saya adalah kalau saya yakin bahawa saya telah melakukan yang terbaik dan telah berusaha sedaya upaya untuk mencari ataupun membuat sesuatu keputusan, setelah berkonsultasi dengan para asatizah dengan teman-teman di pejabat mufti di MUIS dan sebagainya, saya perlu berani dan yakin untuk mempertahankan keputusan tersebut. Itu tanggungjawab saya.
Dalam contoh tentang penentuan Syawal, banyak telah dilakukan, berbincang dengan negara-negara MABIMS, di Malaysia, Brunei, Indonesia, tentang kriteria. Kemudian juga saya cuba mencerap anak bulan yang tidak kelihatan dan itu juga mengikut nas-nas agama, panduan Nabi S.A.W dan sebagainya.
Jadi yang menjadi persoalannya adalah tak mungkin kita berbeza daripada negara-negara jiran. Sebenarnya jawapannya mungkin berbeza bukan suatu kemustahilan yang tak boleh berlaku. Jadi di situ, saya kira yang perlu dilakukan adalah untuk terus dengan keputusan yang dibuat tapi menjelaskan kepada masyarakat. Alhamdulillah, saya kira setelah penjelasan ramai yang dapat menerima.
Dalam tugasan ini seperti tugasan-tugasan kepimpinan lain kita perlu bersedia untuk terima teguran dan nasihat. Kalau kita tak bersedia, kita tidak akan bertambah baik atau meningkatkan diri dalam tugasan kita. Cuma sebagai manusia ni kita ada emosi dan sebagainya jadi bahasa memainkan peranan.
Jadi kalau seseorang itu tidak bersetuju, kadangkala ada bahasanya mengandungi bahasa yang kasar, ataupun ejekan, tuduhan yang tak berasas. Sebagai manusia kita akan tapis, dan tapisan itu tidak bermakna kita akan menolak sama, seperti kalau kita hendak nasihatkan orang, seperti yang diajarkan dalam agama kita juga - bahasa kita, kesantunan kita, ditunjukkan oleh Nabi S.A.W, bagaimana nak menegur seseorang kalau kita rasa orang itu boleh memperbaiki cara dia, bahasa memainkan peranan. Dan rugilah kita kalau niat kita nak menegur itu baik tetapi cara kita menegur itu salah, maka tak sampai hasrat untuk memperbaiki keadaan.
Dalam konteks Singapura, mungkin ramai yang memperhatikan keunikan Singapura di mana kita adalah sebuah negara sekular dan juga masyarakat berbilang kaum dan agama. Namun mempunyai Mufti Negara.
Saya baru pulang dari Scotland, di United Kingdom, mereka ada masjid-masjid mereka. Tapi masing-masing punya jawatankuasa tersendiri, melantik imam masjid mereka sendiri. Dan kadangkala ada banyak perbezaan antara satu masjid ke satu masjid yang lain. Ia sangat berbeza di negara kita walaupun kita minoriti, walaupun kita negara majmuk - pelbagai bangsa dan agama. Negara pemerintahan sekular tetapi agama diberikan suatu penghormatan dan juga kebebasan untuk membuat keputusan masing-masing dalam konteks kehidupan kita. Dan ini sesuatu keistimewaan yang kita perlu harus pelihara sebab ia tidak terjamin akan berterusan selama-lamanya. Jadi kita harus pelihara institusi keagamaan kita, kita harus pelihara keharmonian dan cara kehidupan kita yang sangat unik di Singapura.
Di mana sahaja saya ziarah di negara-negara lain, saya melihat bagaimana mereka membentuk kehidupan keagamaan, bagaimana mereka berinteraksi dengan agama lain. Saya kira di Singapura ini kita telah membina satu model yang sangat istimewa sekali di mana yang menjadi keutamaan adalah mereka dari latar belakang berbeza, dapat hidup bersama dengan penuh kesejahteraan. Rasa hormat dan saling bantu-membantu. Ini sesuatu nikmat yang perlu kita syukuri tetapi perlu kita terus suburkan lagi, sebab akan datang banyak cabaran-cabaran yang akan mempersoalkan model sedemikian.
Mufti, anda belajar di Sekolah Pengajian Oriental dan Afrika dan juga Oxford di London. Bagaimana ini mencorak pandangan dunia anda?
Saya bersyukur sebab dapat belajar di luar negara daripada peringkat sarjana sehingga ke peringkat Doktor Falsafah. Di Mesir empat tahun, kemudian di London setahun dan di Oxford selama empat tahun. Seperti pepatah “jauh perjalanan, luas pemandangan”. Kalau tinggal di satu-satu negara, kita dapat lihat gaya kehidupan mereka, cabaran-cabaran mereka. Di samping menimba ilmu di institusi-institusi sedemikian, yang sangat penting adalah pengalaman duduk di luar negara ini membantu mematangkan pemikiran saya sendiri tentang keadaan manusia.
Di mana dalam konteks yang sangat berbeza; bagaimana masyarakat itu berfungsi? Apakah budaya pemikiran mereka, keprihatinan mereka, dan bagaimana mereka menangani sesuatu isu, sesuatu masalah. Di mana saja kita pergi ada isu-isu yang tersendiri, dan ini sebenarnya menekankan satu aspek kehidupan yang sangat penting iaitu keadaan kehidupan manusia ini bukan sesuatu yang mudah. Ia sangat rumit dan dorongan untuk membuat sesuatu perkara itu berbeza daripada seorang individu kepada yang lain dan daripada satu masyarakat kepada masyarakat lain. Ada yang didorong dengan semangat keagamaan. Ada yang didorong dengan semangat kemasyarakatan dan pelbagai aspek-aspek yang lain.
Saya kira secara keseluruhan kematangan seperti ini penting untuk membantu kita apabila kita menghadapi isu kita sendiri. Bagaimana kita nak menganalisa isu tersebut? Apakah solusi yang paling baik? Yang penting juga hari ini di Singapura pun masyarakat kita, walaupun negara kecil dan hidup di dalam suasana konteks Singapura, tetapi mereka juga berfikiran global dan mudah juga berlaku pengaruh-pengaruh dari luar. Jadi lebih banyak kita memahami keadaan dan situasi global serta pemikiran-pemikiran lain, lebih membantu kita untuk menangani isu masyarakat. Kenapa pola pemikiran masyarakat berbeza dan juga ada evolusi pemikiran mereka. Kenapa tuntutan mereka mula juga berbeza, bahasa mereka berbeza, keutamaan-keutamaan mereka berbeza? Jadi pengalaman duduk di luar negara ini, bukan sahaja belajar dan tinggal di luar negara, tetapi berinteraksi dengan masyarakat di sana dan mengambil pengajaran yang baik dan juga belajar daripada beberapa masalah yang mereka hadapi untuk dielakkan dari berlaku di negara kita.
Mufti, memelihara dan juga memupuk masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura ini juga menimbulkan beberapa pertanyaan. Sebagai contoh soalan lazimnya tentang ucapan sewaktu perayaan oleh bangsa lain. Misalnya, ucapan Merry Krismas. Jadi sebagai seorang Muslim itu, apa objektif utama yang ingin dicapai?
Jadi di Singapura sebagai masyarakat majmuk yang pelbagai agama berbeza, bangsa berbeza, kita sebagai orang Islam dan masyarakat Islam, sekiranya kita ada peranan yang sangat unik iaitu bagaimana kita mencerminkan nilai agama kita bukan hanya di kalangan kita, tetapi kepada orang lain. Khusus dalam suasana di mana agama kita sering mudah di salah fahamkan kerana perbuatan segolongan kecil tentang keganasan, terorisme, dan sebagainya. Tapi sekarang Alhamdulillah keadaan itu sudah bertambah baik dari segi persepsi. Namun persepsi itu masih wujud. Pada masa yang sama, saya kira ia memberikan peluang kepada kita untuk menghidupkan - sebenarnya nilai-nilai agama kita yang mengajak kepada rahmah, kepada kesederhanaan.
Jadi sebagai duta-duta agama, dan isu boleh ucap tak ucap ini satu isu yang telah dibincangkan oleh banyak para ulama kontemporari yang mereka bukan hanya melihat kepada satu aspek tradisi. Mereka juga membincangkan tentang situasi kehidupan pada masa kini dan juga isu tentang aqidah. Adakah ia merosakkan aqidah dan sebagainya? Dan banyak perbincangan itu telah dikeluarkan. Rumusannya adalah ucapan kepada orang lain tidak bermakna kita percaya kepercayaan mereka itu sendiri, tetapi, untuk kita akur dengan apa yang mereka anggap sebagai hari yang istimewa buat mereka sendiri. Bukan bagi kita, tetapi bagi mereka.
Tetapi dengan ucapan tersebut, ia menunjukkan bahawa kita memahami bahawa sesuatu agama atau sesuatu budaya mempunyai beberapa kepercayaan mereka sendiri dan pada masa yang sama menunjukkan bahawa kita ingin mengekalkan hubungan yang baik. Kita memegang kepada ajaran agama kita, aqidah kita, dan kepercayaan kita tetapi pada masa yang sama kita menunjukkan bahawa kita ingin hidup dengan harmoni. Dan ia mengubahkan persepsi terhadap agama kita sendiri dan itu yang merupakan salah satu ciri-ciri masyarakat kita yang berani hidup dalam suasana yang majmuk sedemikian tanpa mengorbankan dan mengubah kepercayaan kita sendiri.
Proses itu akan melahirkan rasa hormat dan kepercayaan di antara masyarakat. Sebab kepercayaan di antara masyarakat ini adalah sesuatu yang sangat-sangat penting bila mana masyarakat itu pelbagai bangsa dan agama. Kalau rosak kepercayaan itu ataupun kurang kepercayaan di antara mereka, ia akan menjejaskan hubungan. Kerana apa yang kita lakukan sering akan dipersoalkan, diragukan. Apakah tujuan mereka? Mengapa mereka adakan, seumpamanya, solat di tempat awam dan kemudian berkumpul? Akan sering dipersoalkan sebab mereka tidak memahami. Kalau kita menunjukkan dan terus berusaha mengekalkan hubungan yang baik, dan mereka memahami kita dengan baik, dan kita memahami mereka dengan baik, jadi tidak ada timbul keraguan, tidak ada timbul persoalan tentang apa yang mereka lakukan. Masing-masing ingin menghidupkan ataupun mengamalkan agama mereka tetapi kita dapat terus hidup sebagai jiran dengan penuh hormat. Jadi situasi unik di Singapura ini, di dalam masyarakat pelbagai bangsa dan agama memang ada cabaran-cabarannya yang tersendiri dan kita perlu memikirkan bagaimana menangani cabaran ini dan situasi ini dengan baik supaya tidak timbul salah faham kerana banyak pengajaran dari luar negara yang sering menunjukkan, bila tahap kepercayaan itu kurang atau banyak timbul keraguan dan salah faham, masyarakat itu mula lemah, rapuh dan itu akan mudah menimbulkan banyak isu-isu lain yang melemahkan masyarakat dan negara.
Setiap Mufti berdepan dengan cabaran-cabaran tersendiri, dan anda wujud di tengah-tengah ledakan informasi dan juga media sosial. Jadi apa pendekatan yang anda ambil, dalam memastikan bahawa suara dan juga pandangan yang bernas lagi benar dapat didengar oleh masyarakat kita?
Hari ini semua bentuk kepimpinan menghadapi cabaran yang serupa. Kepimpinan keagamaan, politik, perniagaan, sosial dan sebagainya. Sebab maklumat mudah didapati oleh semua orang dan juga suara dan pandangan mudah disampaikan kepada lebih ramai orang dalam pelbagai wadah. Jadi saya kira apa pun kedudukan dari segi kepimpinan, mereka perlu bersedia untuk lebih diperhatikan oleh orang, setiap perkataan yang disebut, setiap pandangan yang diberikan, keputusan yang dibuat akan dianalisa, akan diselidik. Kemudian kadangkala dibesarkan-besarkan.
Saya kira kita perlu bersedia untuk menghadapi situasi sedemikian dan di sini kita perlu lakarkan pendekatan yang sesuai. Bagaimana kita dapat terus menjalinkan hubungan yang dibina atas kepercayaan yang kukuh di antara pemimpin dan masyarakat dalam konteks jawatan saya - sebagai Mufti, pejabat Mufti, MUIS dan masyarakat Islam di Singapura supaya mereka terus dapat percaya dan kekal untuk menjadikan pejabat Mufti dan MUIS sebagai rujukan utama kalau mereka ada masalah ataupun isu-isu yang hendak ditangani.
Kerana maklumat mudah sangat kita dapat dari pelbagai sumber yang berbeza, pelbagai tempat dan pusat-pusat keagamaan, bahkan individu-individu. Kadangkala yang tidak bertauliah dan pura-pura. Ustaz Facebook, Ustaz Google dan sebagainya. Jadi itu boleh sahaja menimbulkan banyak masalah dan kekeliruan. Bukan semuanya silap atau tidak boleh dipakai tetapi, jika kita tidak tahu latar belakangnya, ia mudah sahaja menimbulkan banyak salah faham dan salah tanggap. Apatah lagi kerana kita tidak tahu ideologi mereka, tujuan mereka dan matlamat mereka.
Jadi ini merupakan satu cabaran baru yang kita perhalusi dengan lebih baik khusus dalam mengukuhkan kepercayaan dengan masyarakat bahawa mereka merujuk kepada pejabat Mufti, dalam isu-isu agama, kerana apa pun keputusan ataupun panduan yang dikeluarkan adalah panduan yang telah difikirkan dengan teliti sekali dalam keadaan dan konteks masyarakat.
Waktu pandemik, ramai yang menggunakan internet dan media sosial untuk belajar. Dan apabila mereka terbiasa menggunakannya, maka mereka sekarang jadikan rujukan pertama. Tak payah cari Ustaz, tak payah ke MUIS, pejabat Mufti. Boleh sahaja cari di Internet lagi senang. Tetapi kita tahu ada risiko-risikonya. Bahkan saya kira yang amat penting pada hari ini adalah memahami agama dengan lebih mendalam. Proses memahami agama, memahami maksud-maksud agama ataupun objektif-objektif agama, memahami kerohanian agama itu dan itu adalah aspek pendidikan agama yang sangat penting sebagai asas supaya kita gunakan untuk menginterpretasikan agama bila berhadapan dengan masalah.
Aspek yang sangat ketara kita lihat - orang-orang yang tidak bertauliah atau mereka tidak belajar dengan mendalam tetapi hendak sampaikan panduan ataupun hendak sampaikan fatwa mereka dan tersasar. Sebab mereka hanya menggunakan sebagai contoh, satu nas agama, atau pandangan yang dipetik dari, kata orang ‘cut and paste’. Tetapi tidak ada proses interpretasi yang cermat dan teliti. Itu yang dikhuatirkan. Kita perlu berhati-hati dan saya kira, ini satu ruang kerja baru bagi kami di MUIS dan pejabat Mufti. Alhamdulillah, ramai asatizah telah mula bergiat dengan rancak dalam wadah online, di Instagram, Tiktok, Facebook, Youtube dan sebagainya. Dan apabila kita bekerjasama dengan mereka, alhamdulillah mereka juga menyampaikan panduan-panduan yang baik kepada masyarakat dan Insya-Allah ini adalah satu trend yang positif yang kita hendak terus bina supaya mereka terus menjadi sandaran bagi masyarakat kita.
Menyentuh tentang ledakan informasi ataupun media sosial yang disebutkan oleh Mufti awal tadi, ada juga sesetengah orang yang lupa konteks ataupun kesesuaian dalam pelaksanaan sesuatu amalan itu. Adakah ini tantangan besar segi konsep ‘global ummah’?
Hubungan kita sekarang mudah dijalinkan melalui online dan kita dapat lihat masyarakat Islam di negara lain, seolah-olah mereka ada di sini. Jadi ia seolah-olah memberikan gambaran kepada kita bahawa tidak ada batasan antara masyarakat-masyarakat berbeza. Memang dari satu sudut betul, kita sebagai umat yang satu. Tetapi dalam menilaikan sesuatu isu seperti isu ekonomi, masyarakat, budaya, isu yang tertentu, tetap ada aspek-aspek lokal yang perlu diperhatikan dengan teliti.
Kalau tidak, panduan yang hendak diberikan itu adalah tidak bertepatan. Jadi memang dalam satu sudut ia memudahkan hubungan kita sesama umat Islam di satu dunia dan itu satu-satunya baik. Kita boleh belajar daripada satu sama lain. Tetapi pada masa yang sama kita perlu benar-benar memahami, menggarap aspek konteks lokal kita dalam menangani beberapa isu yang tertentu. Yang unik bagi masyarakat kita dan ada pertimbangan-pertimbangan yang perlu kita ambil dengan lebih khusus dan teliti, negara kita.
Sebagai contoh kalau kita lihat waktu pandemik tersebut juga di mana kita merupakan antara negara yang telah mengusulkan sebagai contoh, solat Jumaat beberapa sesi dengan sistem tempahan. Antara pertimbangan yang paling utama dalam kalangan jawatankuasa fatwa adalah kita tidak tahu pada waktu itu berapa lama pandemik ini akan berlangsung, kita tak boleh membuat andaian-andaian yang tidak berasas.
Pada ketika itu keprihatinan utama adalah bagaimana kita dapat mengekalkan semangat dan keamanan negara sebaik mungkin, walaupun ada sekatan-sekatan. Sebagai contoh, bila jumlah jemaah di masjid dikurangkan kerana langkah keselamatan, ada tak cara lain untuk orang datang ke masjid untuk solat Jumaat, supaya kalau ia berpanjangan, sekurang-kurangnya masyarakat kita dapat terus ke masjid.
Jadi itu adalah salah satu contoh memikirkan dengan kritikal berpandukan dengan prinsip-prinsip agama dengan fiqh yang kita ada dan kita bangunkan dalam konteks pandemik ini. Bagaimana kita boleh tangani sesuatu isu dengan menggunakan keupayaan digital di Singapura. Sebagai contoh, sistem tempahan. Kita ada keupayaan itu di Singapura. Bagaimana kita dapat menggunakan keupayaan itu untuk menangani sesuatu krisis yang kita hadapi. Jadi saya kira boleh kita juga terapkan pendekatan ini kepada banyak isu-isu lain. Apakah aspek keunikan di Singapura dan kemudian masalah yang kita dihadapi bagaimana kita dapat membuat penyesuaian, berikan solusi dan alternatif pada masyarakat.
Perkembangan sains dan teknologi pula menuntut bidang agama juga supaya seiring. Isu hangat kini adalah tentang bidang kesihatan, pemakanan dan juga isu iklim. Bagaimana asatizah di Singapura ini dilengkapi dengan kemahiran yang bersesuaian dengan konteks kehidupan ataupun cabaran masa kini?
Satu aspek yang penting, aspek keupayaan digital dari sudut menyampaikan panduan agama untuk berinteraksi dengan masyarakat di kalangan asatizah. Bukan sahaja golongan generasi yang muda bahkan asatizah mapan kita. Alhamdulillah, sekarang ramai yang sangat giat dalam menyampaikan kuliah mereka melalui wadah Zoom dan satu perkembangan yang sangat baik. Kita berikan mereka latihan-latihan jika mereka inginkan dan juga sokongan-sokongan yang bersesuaian supaya mereka dapat teruskan usaha ini.
Tetapi ia merupakan satu langkah sahaja di kalangan banyak langkah-langkah lain dalam menangani isu-isu yang mana pesat perubahan dunia dengan penggunaan lebih banyak teknologi, termasuk pemakanan kita. Digandakan pula dengan masalah-masalah baru yang semakin kompleks dan ketara. Antaranya adalah apa yang berlaku kepada perubahan iklim dan pemanasan global yang semakin serius. Kita lihat balik pada agama kita, sebagai agama yang membawa rahmat, agama yang membawa kesejahteraan, terutama mengelakkan kemudaratan. Kalau kita benar-benar mempercayai peranan agama sedemikian, kita juga akan mengingatkan diri kita bahawa agama mempunyai peranan yang sangat besar dalam menangani isu-isu sedemikian. Jadi persoalannya, di manakah kita?
Di manakah kita sebagai masyarakat Islam, yang memang percaya dan sayangkan kepada agama yang memperjuangkan nilai-nilai tersebut apabila dunia berhadapan dengan isu-isu sedemikian? Jadi ada peranannya. Antaranya, sebagai contoh dalam isu pemakanan, konsep halal itu sangat jelas dalam agama. Sekarang ini, terdapat teknologi-teknologi baru yang mana menimbulkan persoalan-persoalan baru dari segi fiqhnya. Pada masa yang sama, ia juga cuba mengatasi isu-isu yang berkaitan dengan perubahan alam ini. Adakah proses kita mendapatkan pemakanan, proses itu perlu berubah kerana isu kemampanan. Kalau perbincangan kita dalam kalangan asatizah, kalangan fatwa, hanya tertumpu kepada fiqhnya sahaja, maka kita sebenarnya tidak ke hadapan dalam memberikan solusi dan huraian.
Jadi kita perlu melanjutkan pemikiran keagamaan kita untuk menangani isu-isu sedemikian supaya kita berada di peringkat hadapan dalam menangani isu sedemikian, termasuk bagaimana kita membina institusi keagamaan kita. Bagaimana kita dapat membentuk masjid-masjid yang dibina, reka bentuk masjid itu, mengambil kira cabaran-cabaran pemanasan global dan iklim. Penggunaan air, penggunaan elektrik dan udara. Jadi ini adalah soalan-soalan baru. Soalan-soalan yang menarik tetapi memerlukan daya pemikiran yang sangat kuat dan perbincangan di kalangan asatizah. Apakah solusi-solusi baru untuk menangani isu sedemikian.
Peluang untuk kita membangunkan pemikiran agama di kalangan asatizah dan masyarakat untuk kita memberikan satu huraian kepada dunia, menunjukkan agama kita adalah agama yang penuh dengan rahmat dan membawa kesejahteraan. Saya kira ini merupakan keutamaan kita membincangkan isu-isu sedemikian kerana isu-isu ini adalah isu-isu ‘existential’ atau ia menjejas kebajikan manusia secara amnya. Apatah lagi kita lihat dalam krisis kos kehidupan. Bukan hanya di Singapura, banyak negara-negara juga terjejas. Jadi ini mengingatkan kita bahawa agama adalah bukan sesuatu yang hanya dikaitkan dengan ibadah yang kita biasa lakukan. Ibadah ini adalah asas pokok agama. Tetapi agama juga mempunyai cabang-cabangnya yang menjangkau ke langit dari segi pencapaian, dari segi sumbangan kepada manusia dan kepada alam, bagaimana kita dapat memperbaiki kehidupan kemanusiaan. Ini adalah sumbangan agama dan ini adalah peranan kita yang kita harus bangunkan.
Mufti, soalan terakhir, selain dari perkembangan pesat sains dan teknologi, satu cabaran yang begitu kompleks iaitu perubahan sosial ataupun evolusi sosial kerana hubungan antara manusia juga turut berubah. Jadi bagaimana masyarakat kita kiranya harus melihat perkembangan sosial ini? Adakah kita harus menyesuaikan ataupun berkompromi?
Satu soalan yang sangat berat dari segi bagaimana menangani perubahan sosial. Agama ini mempunyai tradisinya dan agama itu wujud dengan tradisi yang kuat. Apabila tradisi itu mula digoncang, maka ramai yang mungkin merasa khuatir dan risau, kemudian reaksi semula jadi adalah untuk menolak perubahan tersebut. Bezanya kami di Singapura, kerana situasi kita dan juga sebagai satu negara kecil, banyak perubahan telah kita lalui dan mungkin pandemik ini sebagai satu kejutan yang memaksa kita untuk cepat membuat penyesuaian. Saya harap peristiwa sedemikian bukan melemahkan kita, tetapi membina keyakinan dan keupayaan kita untuk menangani apa pun isu yang akan datang.
Salah satu realiti kehidupan kita adalah masyarakat dan kehidupan kita akan terus berubah dan ada evolusi sosial yang disebutkan. Sebagai contoh, perbezaan gaya hidup, perbezaan keutamaan masing-masing. Kita lihat dalam generasi muda kita, di mana persoalan mereka, keprihatinan mereka berubah. Dunia ini semakin berhubungkait lebih ketara hari ini, ia juga membawa pengaruh-pengaruh yang berbeza. Jadi timbul kerencaman, kepelbagaian yang kadangkala kita akan dapati terlalu sukar dan terlalu mencabar. Tetapi saya sering mengingatkan diri saya tentang prinsip nilai kita. Kita sebenarnya sangat bersyukur kerana Islam mempunyai prinsip-prinsip nilai yang boleh diguna pakai pada setiap ketika dan cabaran. Bagaimana kita terjemahkan prinsip itu dalam menangani sesuatu isu, itu yang menjadi persoalannya.
Jadi hari ini, sebagai contoh, antara evolusi sosial adalah kepelbagaian gaya kehidupan LGBTQ, kepelbagaian di kalangan orientasi seksualiti. Saya kira kesan ini telah dirasakan agak mendalam juga di Singapura. Jadi banyak evolusi sedemikian berlaku dan ia akan berlaku dalam masyarakat kita juga. Sebab anak-anak kita terdedah, anak-anak kita membaca, melihat, mereka menilai sendiri. Jadi bagaimana kita hendak menangani kerencaman tersebut?
Saya kira pertama adalah dalam apa pun perkara, ada asas-asas agama yang kita tak boleh kompromikan. Kalau kita kompromikan asas-asas agama tersebut, bermakna agama itu telah berubah bentuknya. Sebagai contoh ibadah yang diwajibkan sebagai rukun-rukun agama seperti solat. Kita perlu tegas dengan isu sedemikian.
Tetapi apa yang menjadi cabaran adalah bila seseorang Muslim itu sendiri, mereka akur sebagai contoh, mereka akur memang sesuatu itu tidak dibenarkan agama. Tetapi mereka ada keinginan dan ini kerana pelbagai sebab. Jadi bagaimana peranan kita sebagai masyarakat walaupun kita tahu dalam agama tidak membenarkan sesuatu perbuatan seperti amalan seksual dalam LGBTQ tidak dibenarkan dalam agama. Jadi ini adalah isu-isu sosial yang timbul yang perlu dibincang dengan teliti dan masyarakat perlu melihat dengan pemandangan yang matang tentang isu ini, bagaimana kita boleh memelihara kelestarian dan keharmonian masyarakat. Kita menghormati ada perbezaan di kalangan anggota masyarakat yang berbeza. Pada masa yang sama, kita tidak merubah sifat agama kita. Maka itu, bagaimana kita dapat mempertingkatkan lagi usaha kita untuk membimbing masyarakat dan anak-anak kita. Sebagai usaha dakwah kita untuk mengekalkan nilai-nilai keagamaan kita yang baik. Sekurang-kurangnya kita terus memberikan panduan, memberikan bimbingan, itu adalah tanggungjawab kita. Ini perlu kepada lonjatan paradigma dari segi menganalisa sesuatu masalah dan pada akhirnya membuat penyesuaian dalam pendekatan kita.
Saya harap dengan pengalaman kita dari pandemik COVID-19 dan sebagainya dan juga perjalanan kita bersama masyarakat dalam menangani banyak isu-isu yang lalu kita akan sampai kepada tahap di mana ia yakin dengan pendekatan kita, kita tahu yang kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita, terus membimbing dan memandu masyarakat. InsyaAllah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.