Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bual Bicara eksklusif Detik Personaliti bersama doktor tarian, Noramin Farid

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Takrifan kejayaan dan pendidikan hari ini sudah berubah. Keperluan dan aspirasi masyarakat Melayu/Islam tempatan hari ini juga sudah semakin berkembang.

Setiap kemajuan anak Melayu kita dalam pelbagai bidang diraikan badan Melayu seperti MENDAKI yang baru-baru ini menyambut ulang tahun ke-40.

Wawancara DETIK Personaliti kali ini bersama penerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong dan satu-satunya warga Melayu Singapura dengan PhD dalam Drama, Teater dan Tarian, Dr Noramin Farid.
Dian Dancers berlatih untuk Mekar Semarak pada 2-3 Disember. Tiket boleh didapatkan mekarsemarak2022.peatix.com
Dalam banyak-banyak tempat, kenapa penari anda berlatih di tempat meletak kereta?

Sebenarnya tidak selalu kita dapat tempat yang sesuai untuk kita berlatih kerana kita ada ramai penari-penari dan kadangkala harga untuk menyewa studio agak mahal, kerana itu kita kadang-kadang berlatih di bawah blok ataupun di mana-mana tempat awam seperti tempat kereta.

Bagaimana cabarannya?

Jika boleh saya ingin tempat yang sesuai. Memang harga untuk menyewa tempat itu mahal. Dan kerana kita bukan kumpulan sepenuh masa. Ramai anak-anak tari kita mereka pekerja muda ataupun pelajar-pelajar dan hanya boleh berlatih pada malam hari.

Ada tak pengalaman diusir atau menggangu kerana ini merupakan tempat awam?

Sudah tentu kerana kita ini ramai orang. Kadang-kadang orang pun tertanya, kenapa ada ramai anak-anak muda yang sedang berkerumun. Kadangkala kita juga disuruh pergi kerana menganggu suasana di daerah perumahan dan juga ada kalanya, untuk menari harus gunakan muzik jadi muzik itu menganggu siapa-siapa yang ada di persekitaran kita juga.
Dr Noramin mengajar penerbit Detik Personaliti, Nursha Ismail selok-belok tarian.
PERJUANGAN SENI DR NORAMIN FARID: LIMA TAHUN PHD BUAT KAJIAN SENI TARIAN MELAYU

Anda satu-satunya warga Melayu Singapura yang memegang Dr Falsafah Teater, Drama dan Tarian dari UK.

Saya bangga menjadi antara salah seorang warga Singapura yang mendapat PhD dalam seni tari, drama dan teater. Sebenarnya sehingga sekarang, orang masih mempersendakan saya. “Kamu doktor? Doktor dalam apa?” Saya kata doktor tarian. Mereka kata, “Doktor tarian? Awak boleh bantu apa?” Jadi selalunya, saya harus memberikan sedikit pencerahan bahawa saya telah mengambil lima tahun untuk membuat kajian yang mendalam tentang tarian Melayu.

Adakah menjadi penari merupakan cita-cita anda sejak kecil lagi?

Ibu bapa saya, mereka tahu yang saya dari kecil lagi memang ada kebolehan dalam menari. Oleh kerana itu ibu saya pernah ceritakan yang beliau ingin menghantar saya ke bengkel Aksi Mat YoYo sewaktu itu. Tapi oleh kerana mereka berdua bekerja dan tidak ada orang yang dapat menghantar saya, mereka lebih menggalakkan saya berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti seni di sekolah rendah.

Sewaktu itu, di sekolah rendah saya, saya akan dipanggil untuk turut serta dalam konsert Hari Raya dan selalu dipanggil ke depan. Pertama kali saya betul-betul suka kepada tarian itu adalah melalui kaca TV lagi-lagi dari program Hari Raya, saya melihat penari-penari yang ramai di atas persada itu dan antara yang memberikan saya satu rasa saya nak menjadi seorang penari itu adalah Allahyarham Rizman Kassim dan juga Sulastri Yusof.

Dr Noramin, selama pengalaman anda menari, pernah tak anda berdepan dengan pengalaman di mana seorang martabat penari diperkotak-katik atau dipersenda terutama bagi penari lelaki sebagai contoh “oh jantan joget”?

Itu adalah satu tabu yang sehingga sekarang masih ada dalam minda orang-orang ramai. Kalau lelaki menari, dia jantan joget, kan?

Tapi dalam tarian itu ada tangkasnya, ada kasarnya, ada lembutnya, lemah gemalainya. Ini bukan sahaja dalam pergerakan lelaki tetapi pergerakan wanita juga. Jadi nuansa-nuansa gerak ini memberikan satu estetika yang boleh memberikan gambaran cerita atau gambaran menonjolkan sifat-sifat dan emosi yang tertentu.

Dr Noramin, susah tak cari makan sebagai seorang penari?

Saya tidak mahu mengambarkan yang indah tapi sebenarnya kalau kita dengar para seniman, kalau mereka mengongsi pengalaman mereka, sudah tentu mereka akan cakap yang hidup sebagai seorang seniman ini susah. Dan sebagai seorang yang berkecimpung secara aktif, saya pun harus mengatakan yang ya, sebenarnya tidak senang untuk menjadi seorang seniman kerana sering kali seni itu diremehkan atau tidak dilihat sebagai satu kerjaya yang boleh mendapat pendapatan yang banyak.

Bagaimana pula dengan penerimaan keluarga anda?

Ibu bapa saya sendiri, mereka khuatir akan penglibatan saya secara aktif atau secara profesional sebagai seorang seniman kerana mereka tahu susahnya. Oleh kerana tidak dapat dorongan yang hangat oleh ibu bapa saya, saya tahu yang saya harus mengambil Ijazah Sarjana Muda dalam Komunikasi dan Sains Politik. Kerana saya harus menunjukkan kepada mereka yang saya boleh mendapat ijazah dalam jurusan yang lain dan tahu yang jika kalau hidup saya sebagai seorang seniman itu memudaratkan, saya tahu yang saya ada ruang lain.
 
Dr Noramin bersama ibu bapa.
Bila dan mengapa anda pilih untuk mendalami tarian secara ilmiah sehingga mendapat Doktor Falsafah, PhD?

Saya suka nak kenal makna yang tersirat dan tersurat dalam setiap pergerakan dan juga memahami lebih mendalam lagi tentang sosio-budaya, bagaimana tarian itu melambangkan beberapa susur budaya Melayu kita. Dan dengan itu, menjadi satu semangat yang membakar terus menggali atau terus mencari pemahaman tersebut.

Saya banyak melakukan kajian sebelum saya mengambil ijazah saya dan selalunya kalau mencari informasi atau fakta-fakta tentang tarian Melayu, seharusnya kita membaca buku-buku dari Malaysia ataupun dari Indonesia. Kerana kajian tentang tarian Melayu di Singapura ini tidak banyak. Dengan dorongan dan mengenal bahawa ini ada satu ruang yang saya boleh isi, saya mengambil kesempatan dan juga diberikan biasiswa untuk membuat kajian tentang tarian Melayu di peringkat Ijazah dan juga akhirnya di PhD.

PERJALANAN PENDIDIKAN DR NORAMIN FARID

Diploma Komunikasi & Pembangunan Media
Temasek Politeknik

Ijazah Sarjana Muda Komunikasi & Sains Politik
Universiti Queensland


Ijazah Sarjana Antarabangsa
Antropologi Tarian, CHOREOMUNDUS
Universiti Sains & Teknologi Norwegian
JALAN KENANGAN DR NORAMIN: POLITEKNIK TEMASEK CETUS MINAT DALAMI TARIAN MELAYU
 
Dr Noramin, alumni Politeknik Temasek 2003-2006.
Bagaimana Politeknik Temasek membentuk minat anda untuk mendalami seni tarian Melayu dengan lebih dalam lagi?

Politeknik Temasek telah memberikan saya ruang bukan sahaja untuk bereksperimentasi, tetapi juga membentuk jati diri saya sebagai seorang seniman. Terutama sekali waktu saya belajar di sini, saya anggota kumpulan seni Melayu, Politeknik Temasek.

Di belakang saya ini adalah taman koi, di mana kita akan ada latihan. Setiap Sabtu ada latihan dan kita akan dengar melodi seperti tarian Melayu di sini, di sana ada dikir barat dan di belakang ada Pusat Seni Temasek di mana ada latihan dalam bilik teater. Sungguh meriah dan saya amat minat pada waktu itu kerana itu memberikan saya semangat dan tahu ada teman-teman lain sedang berjuang di sini.

Selain itu juga, saya pun banyak dipanggil untuk berkarya dan sekarang pun ada anak-anak murid saya yang saya telah pupuk dan mengajar serta sekarang tengah berkecimpung, sudah aktif dalam tarian Melayu. Sebagai contoh, ini Sheik yang sekarang sudah menjadi alumni Politeknik Temasek. Sebelum itu beliau adalah di antara satu-satunya penari lelaki di dalam kumpulan tarian saya. Ini sebenarnya satu isu kerana tidak ramai lelaki yang ingin memasuki tarian.
Adakah ini juga merupakan misi Dr Amin untuk memecahkan stereotaip terhadap penari lelaki?

Itu adalah salah satunya misi saya kerana harus orang faham dan ketahui bahawa tarian Melayu itu bukan satu perkara yang hanya untuk orang lembut sahaja kerana tarian itu untuk menggambarkan budaya, menggambarkan kehidupan.

WARGA SINGAPURA PERTAMA DIBERI BIASISWA KESATUAN EROPAH
Dr Noramin membawa seni tarian Melayu ke Eropah.
Dr Noramin, penglibatan anda dalam seni tari membawa anda ke merata dunia. Pendidikan sarjana dan PhD dalam seni tari juga diambil di Eropah. Kongsi cabaran mendapatkan biasiswa, lebih-lebih lagi biasiswa bukan calang-calang.

Ini adalah satu biasiswa global di mana bukan sahaja orang warga Singapura yang diberikan kesempatan tersebut tapi juga dari negara-negara lain. Jadi, saya ada teman-teman seperjuangan di program saya yang datangnya dari merata dunia. Dari Brazil, dari Serbia, dari Indonesia juga. Tapi saya sungguh bangga kerana saya mendapat biasiswa ini melalui kerja saya yang telah saya lakukan di Singapura. Bukan sahaja kajian seni tapi juga kajian antropologi. Dan oleh kerana itu, mereka melihat kebolehan saya dan memberikan saya biasiswa tersebut.

Adakah pendidikan seni di Singapura masih lagi jauh di belakang berbanding negara-negara Eropah?

Pendidikan seni di Singapura ini progresif dan kita melihat ramai seniman-seniman di Singapura ini telah menjelajah ke mana-mana. Tetapi apa yang saya khuatir adalah selalunya kita menyesuaikan seni kita untuk orang Barat dan juga Eropah dan itu saya rasa harus difikir ulang bagaimana mereka boleh memahami bahawa seni-seni yang ada di Asia Tenggara dan Timur ini pun mengandungi banyak kebolehan, banyak potensi untuk berkembang.
Sukar tak untuk bawa seni tarian Melayu itu di persada global?

Sedikit sukar oleh kerana teman-teman kita di Malaysia dan Indonesia, mereka sudah seringkali menonjolkan ataupun mempromosikan budaya mereka. Selalunya kalau kita kata kita adalah penari Melayu Singapura, mereka fikir dari Malaysia, dari Indonesia. Tapi apa yang membuat tarian Melayu di Singapura ini adalah bagaimana kita telah menyesuaikan tarian Melayu untuk penonton yang pelbagai budaya. Tarian Melayu di Singapura juga mengandungi banyak ciri-ciri yang menggalakkan inovasi berbanding teman-teman kita dari negara-negara jiran.

Dr Noramin, berikan antara contoh-contoh koreografi anda yang mempunyai makna berbeza atau inovatif seperti yang disebutkan.

Saya suka menggunakan satu format seni iaitu ‘performance lecture’ di mana saya melihatnya sebagai satu wadah atau platform yang unik kerana itu bukan sahaja menonjolkan estetika tarian, tetapi juga menggalakkan pendidikan tentang bentuk-bentuk tarian. Satu karya yang telah saya lakukan adalah ‘Intersections’. Ini adalah satu karya di mana saya dan teman saya dari tarian Cina, kami bergabung dan berbincang tentang tarian kita. Bagaimana kita telah membangunkan dan juga bagaimana kita pun ada kesamaan serta kelainan antara satu sama lain.

Perjalanan anda untuk menggengam PhD begitu panjang dan berliku-liku belanja yang besar sebanyak $165,000. Belanja yang besar ya, Dr Noramin.

Saya bukannya dari keluarga yang kaya dan sumbangan ataupun bantuan yang berikan bukan saja dari Majlis Kebangsaan Kesenian tapi juga dari MENDAKI dan juga badan-badan yang lain telah membantu saya. Sebenarnya, yuran tuisyen itu sendiri sudah mahal. Itu sudah mencecah $90,000 dan kehidupan di UK itu sendiri pun sungguh mahal dan tinggi.

Selain itu juga, sewaktu saya dalam proses menghabiskan kedoktoran saya, saya melalui banyak rintangan. Antaranya adalah COVID, itu antara satu, dan juga perkara-perkara atau hal-hal global seperti Brexit. Dan ada banyak juga isu-isu tersebut yang saya tidak dapat menghabiskan dengan cepat. Tetapi Alhamdulillah akhirnya saya dapat menghabiskannya, walaupun dalam keadaan yang sungguh rumit.
Bagaimana pula dari sokongan dan bantuan yang diberikan kepada para pelajar Singapura. Adakah ia mencukupi dari segi bidang seni ini?

Saya lihat banyak sokongan selalunya diberikan kepada seni-seni yang lebih global seperti seni-seni kontemporari, ballet terutamanya. Seni tradisi pula ada sokongan tapi tidak banyak kerana di Singapura pula kita tidak ada satu akademi seni tradisi. Selalunya, fokus kepada bagaimana kita boleh menjadikan seniman muda ini menjadi seniman global. Dan selalunya, seniman tradisi itu bukan antara seni yang diberikan sokongan.

Selama lima tahun anda mendalami PhD, apa tesis yang anda bentangkan tentang seni tarian Melayu?
 

Tesis saya bertajuk ‘Imagining Malay Dance: Curating Malay Dance Bodies’. Saya menulis tesis ini kerana sebagai seorang yang aktif berkecimpung dalam tarian Melayu, saya telah melihat selalunya tarian Melayu telah disesuaikan sering kali untuk membantu pembanguan negara, untuk menonjolkan kepelbagaian budaya di Singapura. Oleh kerana itu, kajian saya fokusnya bukan sahaja tentang keadaan hari ini tapi juga sejarah dan juga sosiobudayanya.

Secara sejarah, kita kenal tarian Melayu bukannya mula dari 1965 tapi sebelum itu. Wujudnya tarian Melayu itu di perkampungan, di antara saudara mara dan bagaimana mereka sebagai sesebuah kampung menyambut lepas sebagai pesta hiburan dan seterusnya. Selain itu juga, sosiobudayanya pun harus kita faham kerana tarian Melayu itu bukan estetika sahaja.

Pergerakan fungsi, pergerakan tangannya yang memetik bunga itu kenapa, kita berlenggang cara ini kenapa. Itu harus kita fahamkan. Kerana itu juga, kita dapat memahami bahawa tarian Melayu itu menggambarkan kehidupan orang Melayu sewaktu ketika dahulu, bagaimana kita dapat menggunakan pemahaman ini untuk lebih mengenal jati diri kita sebagai orang Melayu.

PENCAPAIAN DR NORAMIN FARID

Anugerah Belia Harapan Mendaki Goh Chok Tong (2016)
Biasiswa Majlis Seni Kebangsaan (2017)
Anugerah Belia Singapura (2017)
Anugerah Belia ASEAN-India (2018)
Duta Bahasa (2021)

Dr Noramin Farid, Penerima Anugerah Belia Harapan Mendaki Goh Chok Tong (2016).
“Sokongan MENDAKI telah membantu saya untuk membayar yuran tuisyen PhD. Saya melihat sokongan mereka sebagai satu testimoni di mana saya akan menjadi seorang pejuang untuk masyarakat Melayu/Islam kita.”
Adakah sokongan yang diberikan oleh MENDAKI ini mencukupi?

Kalau terus terang, tidak mencukupi sepenuhnya. Tapi saya pun tahu bahawa MENDAKI membantu ramai anak-anak yang kurang pendapatan ataupun mungkin dari keluarga yang ingin bantuan. Saya tahu bahawa sokongan mereka itu untuk ramai, bukan untuk saya sahaja.

NAFA dan juga LASALLE bakal membuka universiti seni pertama di Singapura pada 2024. Pengamatan anda sebagai pensyarah tentang perkembangan ini.

Satu perkembangan yang sangat dialu-alukan kerana institusi-institusi ini menjadi universiti. Ianya akan menjadi setaraf dengan universiti-universiti kesenian lain yang ada secara global. Dengan adanya universiti ini, banyak lagi yang boleh dilakukan. Terutama dengan kajian-kajian yang lebih mendalam dan juga untuk menggalakkan anak- anak muda ataupun orang yang berseni untuk membuat PhD.

LEBIH BANYAK SOKONGAN DIDAMBAKAN UNTUK SENIMAN MELAYU TANAHAIR
 
Dr Noramin membuat persembahan di ulang tahun MENDAKI ke-40.

Majlis Seni Kebangsaan Singapura dan pemerintah telah melakukan banyak sokongan dan bantuan dari segi kewangan. Tanggapan terhadap seni ini sudah berubah dari masa ke masa. Bagi pandangan Dr Noramin, bagaimana pula bagi masyarakat Melayu kita? Adakah ia juga turut berubah?

Saya mengharapkan yang mereka akan ubah pemikiran mereka tentang tarian Melayu ataupun tentang seni persembahan sehingga sekarang, saya banyak juga dengar orang kata hidup seni ini senang, orang seniman itu setakat main gitar sahaja ataupun mereka menari itu peluh sekejap sahaja tapi sebenarnya ada banyak yang harus kita lakukan.

Saya amat mengharapkan yang lebih banyak sokongan boleh diberikan oleh masyarakat Melayu kita kerana sering kali kalau kita minta dana untuk sokong penglibatan kita, sering orang akan kata yang ini bukannya perkara yang boleh membawa kita ke syurga satunya ataupun ini bukan satu kegiatan agama ataupun kegiatan yang mereka ingin mengalu-alukan atau menggalakkan. Oleh itu, mereka tidak boleh memberikan dana. Sering kali yang memberikan sokongan sebenarnya datang dari warga Singapura yang bukan Melayu, yang memahami dan suka akan penglibatan kita dan perjuangan kita.

Anjakan paradigma bagaimana yang diperlukan untuk merubah persepsi sedemikian?

Saya rasa sebaik-baiknya, kita kenal dan fahami bahawa seni itu penting untuk setiap orang dan bukan sahaja untuk orang yang ingin berkecimpung dalam seni. Kita harus menggunakan seni untuk menyelesaikan masalah, menggunakan seni untuk mengenal diri kita juga, menggunakan seni untuk memperbaiki hubungan antara satu sama lain dan ini penting. Kita harus faham, seni itu bukannya satu disiplin sahaja tapi itu sebagai satu falsafah hidup.

Masa depan tarian Melayu Singapura – adakah ia boleh dipertahankan?

Saya tidak khuatir dan percaya yang tarian Melayu boleh dipertahankan kerana generasi saya dan generasi sesudah saya, saya melihat mereka masih berkobar-kobar untuk memperjuangkan seni tarian Melayu. Dan tidak lupa juga kepada seniman veteran-veteran saya yang sudah banyak memberikan sokongan dan juga arah tujuan untuk kita terus berjuang.

Masyarakat Melayu Singapura kita telah mencapai banyak kemajuan. Hari ini takrifan pendidikan itu juga turut berubah. Adakah tempat untuk membina kerjaya di Singapura sebagai seorang seniman, Dr?

Saya percaya yang ruang untuk seorang seniman itu sukses di Singapura itu ada dan akan terus diperbaiki atau melihat pembangunannya yang akan datang kerana kita melihat hari ini bahawa penerimaan orang yang akan membuat ijazag dalam seni baik seni persembahan atau seni lukisan itu semakin ramai, semakin hangat. Dan saya lihat juga yang seniman pun sungguh kreatif dan sering berinovasi.

Saya mengharapkan lebih ramai lagi yang akan turut serta ataupun turut membuat Doktor Falsafah ataupun ada keinginan untuk membuat kajian kerana saya ingin kongsi dengan orang ramai, bukan saya sendiri. Dan sebenarnya, saya pun rasa saya memikul satu tanggungjawab yang berat untuk masyarakat kita dan saya mengharapkan lebih ramai lagi yang akan sama-sama memikul, memperjuangkan tanggungjawab tersebut.
Dr Noramin bersama kru penerbitan DETIK Personaliti.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan