British Airways bekerja rapat dengan MOH berhubung kes cacar monyet

(Gambar: Ben Stansall/AFP)
SINGAPURA: British Airways pada Rabu (22 Jun) menyatakan ia sedang bekerja rapat dengan penguasa kesihatan Singapura setelah negara ini mengesahkan satu kes import cacar monyet.
British Airways menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai laporan media Britain yang mendakwa kesemua anak kapal British Airways sudah dikuarantin setelah salah seorang anggota kabin diuji positif bagi cacar monyet.
Menurut akhbar The Daily Mail, dua juruterbang dan sembilan anak kapal dikuarantin selama 21 hari. Mereka dipercayai berada dalam pesawat tersebut semasa melakukan penerbangan dari London ke Sydney, dengan persinggahan di Singapura.
"Kami sedang bekerja rapat dengan Kementerian Kesihatan Singapura dan menawarkan bantuan dengan apa saja maklumat yang diperlukan," menurut British Airways dalam kenyataannya.
"Kami sedang berhubungan dengan anak kapal kami dan menghulurkan sokongan yang diperlukan."
Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (21 Jun) mengesahkan satu kes import cacar monyet di Singapura, yang dikesan pada seorang warga Britain berusia 42 tahun yang bekerja sebagai seorang pramugara.
Beliau berada di Singapura antara 15 hingga 17 Jun dan sekali lagi pada 19 Jun kerana beliau terbang keluar masuk ke Singapura.
Beliau diuji positif dengan jangkitan cacar monyet pada 20 Jun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.