Skip to main content

Singapura

Brigedier Jeneral Fairoz Hassan, Aisyah Lyana terima Anugerah Jauhari Berita Harian 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Nov 2025 08:00PM Dikemas Kini : 21 Nov 2025 01:37AM
  • Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2025.
  • Penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun pula merupakan pengasas bersama Meja Conteng, sebuah kolektif penulisan belia Melayu yang menjadi wadah bagi anak muda mengekspresikan idea, berkongsi pandangan kritis dan mengekalkan keindahan bahasa ibunda.
  • Anugerah berprestij anjuran Berita Harian mengiktiraf sumbangan cemerlang individu Melayu/Muslim dalam pelbagai bidang - termasuk pertahanan, pendidikan, seni dan kemasyarakatan - yang memberi inspirasi kepada masyarakat.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Jauhari Berita Harian (BH) 2025.

Majlis penganugerahan tahunan kali ke-27 itu diadakan pada Jumaat (7 Nov) di Hotel Four Seasons, dan dihadiri oleh Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, sebagai tetamu terhormat.

Turut diraikan ialah penerima Anugerah Jauhari Harapan BH 2025 iaitu pengasas bersama kolektif penulisan belia Meja Conteng, Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria.

Anugerah berprestij anjuran Berita Harian mengiktiraf sumbangan cemerlang individu Melayu/Muslim dalam pelbagai bidang - termasuk pertahanan, pendidikan, seni dan kemasyarakatan - yang memberi inspirasi kepada masyarakat.

KEPIMPINAN FAIROZ BERAKAR PADA NILAI DAN AMANAH

Penerima Anugerah Jauhari Berita Harian ke-27, Brigedier Jeneral Fairoz Hassan terpilih kali ini atas kepimpinan yang transformatif dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) serta dedikasi terhadap khidmat kemanusiaan di peringkat global.
Related article image
(Gambar fail: MINDEF)
BG Fairoz merupakan pegawai Melayu/Muslim kedua dalam sejarah SAF mencapai pangkat Brigedier Jeneral.

Beliau kini memegang dua jawatan utama iaitu sebagai Komander Divisyen ke-9 SAF dan Ketua Pegawai Infantri.

Selama hampir tiga dekad berkhidmat, beliau dikenali kerana gaya kepimpinannya yang mesra dan mudah didekati.

BG Fairoz juga pernah memainkan peranan penting dalam misi bantuan antarabangsa termasuk ketika bencana tsunami melanda Banda Aceh pada 2005 dan gempa bumi Nepal pada 2015.

Pengalaman ini mengukuhkan keyakinannya bahawa khidmat ketenteraan adalah tentang "melakukan perkara yang benar-benar penting" dan bukan sekadar tugas rasmi semata-mata.

"Untuk saya, perkara yang paling penting ialah sentiasa melakukan yang terbaik untuk misi dan orang yang saya bekerjasama. Anugerah ini adalah satu pengiktirafan dan komitmen untuk saya menjunjung nilai-nilai yang dipegangnya," katanya kepada BERITA Mediacorp.
Related article image
(Gambar fail: MINDEF)
Mengimbas detik paling bermakna dalam kerjayanya, beliau berkongsi: "Pencapaian saya yang paling bermakna ialah menaikkan satu unit sebagai pegawai pemerintah dan melihat bagaimana walaupun selepas mereka ORD, mereka masih kekal bermotivasi dan cekap walaupun sudah lebih berusia dan kurang cergas berbanding sebelumnya."

Editor Berita Harian, Nazry Mokhtar, menyifatkan BG Fairoz sebagai "lambang kepimpinan dan dedikasi luar biasa" yang menjadi "kebanggaan masyarakat".

Menurut Pengerusi Bersama panel penilai, Zainul Abidin Rasheed, BG Fairoz adalah contoh unggul kepada apa yang dicari pihak juri.

"Kami tahu tidak mudah untuk menjadi sebahagian daripada SAF dan mereka mahukan yang terbaik. BG Fairoz sudah membuktikan keupayaannya," kata Encik Zainul.
AISYAH LYANA TERUS PERJUANG WARISAN BAHASA DAN SENI

Penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2025, Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, 28 tahun pula merupakan pengasas bersama Meja Conteng, sebuah kolektif penulisan belia Melayu yang menjadi wadah bagi anak muda mengekspresikan idea, berkongsi pandangan kritis dan mengekalkan keindahan bahasa ibunda.
Related article image
(Gambar: Nur Aisyah Lyana Md Satria)
Aisyah yang juga anak kepada penulis Almarhumah Noor Hasnah Adam, membesar dalam suasana cukup mencabar.

Selepas pemergian ibunya akibat tumor otak dan ayahnya diserang angin ahmar, beliau menjadi tulang belakang keluarga, menyara tiga adik yang masih bersekolah.

Dalam keadaan serba kekurangan, beliau berjaya menamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Pengajian Global dan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2022.

"Tentu sekali arwah ibu saya merupakan inspirasi dan dorongan utama saya. Dialah sebab utama saya melakukan semua ini. Sebagai anak sulung, saya sering kali mahu menggembirakan ibu saya. Dari kecil lagi, saya sudah berkecimpung dalam penulisan dan apabila melihat ibu saya aktif dalam bidang penulisan dan seni, saya terinspirasi untuk mengikut jejak langkahnya," ujar Aisyah.
Related article image
Meja Conteng kini dianggotai seramai 11 ahli dalam lingkungan usia 22 hingga 39 tahun daripada pelbagai latar belakang, yang merangkumi guru-guru bahasa Melayu, wartawan, jurutera, mahasiswa dan penggiat seni sepenuh masa. (Dari kiri atas) Hidayat Nordin, Fairuz Jaafar, Danish Rahmat, Amirul Hakim, Fadhli Fadzil. (Dari kiri bawah) Lissa Chan, Aisyah Lyana, Hikmah Ali. (Gambar: Meja Conteng)
Melalui Meja Conteng, Aisyah berharap dapat menyediakan ruang selamat untuk belia menulis secara bebas dan secara kritis.

“Saya berharap kolektif ini akan terus berkembang dengan lebih ramai generasi muda yang bergiat dalam penulisan kreatif, memperjuangkan budaya dan bahasa Melayu yang indah ini," kata Aisyah.

"Saya juga mahu mereka berfikiran kritis dan dan sentiasa mempunyai keyakinan diri untuk melontarkan suara yang mungkin mencabar naratif dominan," tambahnya.

Diminta mengulas tentang Anugerah Jauhari Harapan, Aisyah menyifatkannya sebagai satu pengiktirafan dan amanah.

"Saya berasa sangat rendah hati apabila Berita Harian mengiktiraf saya dengan anugerah ini. Saya rasa anugerah ini bukan saja mengiktiraf diri saya tetapi juga usaha penulis muda Melayu dalam kolektif saya," kata Aisyah.

"Ada juga rasa tanggungjawab dan amanah yang saya perlu pikul, di mana saya telah dipercayai untuk melontarkan suara-suara masyarakat yang mungkin terpinggir atau orang yang tidak selalunya didengari dalam masyarakat kita," ulasnya lagi.
Related article image
Aisyah Lyana (tengah) dan Perry Paul Lamanilao bergambar bersama penulis lain, yang menyumbang kepada zine "Cerita Kita" di majlis pelancarannya pada Sabtu (9 Ogos). (Gambar: Aisyah Lyana)
Aisyah sedang melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Teknologi dan Hal Ehwal Global di Sciences Po (Perancis) dan Universiti Madrid.

Antara impian besarnya kini adalah untuk menerbitkan buku kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran tentang literasi media digital dalam kalangan remaja.

"Penulisan telah menjadi wadah untuk saya meluahkan cabaran dan berpegang pada harapan. Saya berharap dapat terus menyumbang kepada masyarakat melalui penulisan saya," katanya.

Anugerah Jauhari Berita Harian yang mula diperkenalkan pada tahun 1999, terus menjadi wadah penting dalam mengiktiraf tokoh-tokoh Melayu/Muslim yang menjadi inspirasi masyarakat.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita