Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Breaditation' kongsi manfaat kegiatan membuat roti kepada mereka yang hadapi masalah mental

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Proses membuat roti seperti menguli dan membentukkan doh roti boleh membantu mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Manfaat itu dinikmati sendiri para klien Club Heal bagi menangani masalah seperti kegelisahan dan kemurungan dengan lebih baik lagi menerusi sebuah program selama lapan minggu yang diadakan di studio SSA Culinary Institute sejak 7 Jun lalu.

Ini selain menggalakkan mereka untuk berdikari.

--

Program 'Breaditation': Membina Harga diri dan Keyakinan itu memperkasakan mereka dengan teknik-teknik asas pembuatan roti. Ini sekali gus, membolehkan mereka untuk meneruskan aktiviti itu sebagai hobi, memulakan perniagaan dari rumah mahupun menjadikannya sebagai kerjaya profesional.

Selain itu, sesi membuat roti memerlukan mereka untuk memberikan lebih perhatian terhadap resipi-resipi berbeza manakala peringkat-peringkat dalam proses membuat roti yang berlainan, membantu mereka untuk mengasah kemahiran mendengar dan berkomunikasi.

Dalam pada itu, proses menguli doh adalah cara yang berkesan untuk para peserta melepaskan tekanan agar mereka berasa tidak begitu gelisah.

Pengasas dan Presiden Club Heal, Dr Radiah Salim turut menekankan manfaat-manfaat membuat roti bagi para kliennya.

"Mereka bukan sahaja menerima manfaat-manfaat terapeutik membuat roti tetapi juga mempertingkatkan harga diri mereka dengan mempelajari kemahiran-kemahiran baru," menurut Dr Radiah.

Sepanjang lapan minggu yang berakhir hari ini (2 Ogos), para peserta program dibimbing untuk membuat lapan jenis resipi roti.

Ini termasuk roti mil penuh, roti ikan bilis dan roti susu Jepun.

--

Encik William Puay, yang merupakan antara lapan peserta program 'Breaditation' berkongsi rasa teruja beliau menghadiri sesi-sesi tersebut.

"Saya amat meminati kursus ini. 'Breaditation' adalah konsep yang amat unik dan saya banyak meraih ilmu menerusinya. Saya juga berasa gembira kerana dapat menjalinkan hubungan yang lebih rapat dengan rakan-rakan lain di Club Heal menerusi proses membuat roti," ujar Encik William.

Sebelum program ini, cef-cef dari SSA telah menjalani "Healing Friends Training" oleh Club Heal agar dapat berkomunikasi dan mendampingi para peserta itu dengan lebih berkesan.

Program 'Breaditation' itu adalah hasil kerjasama antara Club Heal dengan SSA Culinary Institute.

Presiden dan CEO SSA Group, Encik Suhaimi Salleh menekankan komitmen pihaknya bagi meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental.

Encik Suhaimi berkata: "Di SSA, kami penyokong tegar bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan mental dan berusaha menghapuskan stigma kesihatan mental. Kami berharap menerusi program 'Breaditation', para peserta akan berasa lebih yakin dengan hasil kerja masing-masing."

 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan