Brad Bowyer letak jawatan dari Parti Kemajuan Singapura susuli catatan kontroversi di Facebook
Anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan bekas calon pilihan raya Bradley Bowyer meletakkan jawatan dari parti itu pada Rabu (11 Ogos) setelah timbul kontroversi berhubung salah satu daripada catatannya di media sosial.

(Gambar: Facebook/Bradley Bowyer)
SINGAPURA: Anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan bekas calon pilihan raya Bradley Bowyer meletakkan jawatan dari parti itu pada Rabu (11 Ogos) setelah timbul kontroversi berhubung salah satu daripada catatannya di media sosial.
Dalam satu catatan Facebook pada Selasa (10 Ogos), Encik Bowyer menulis: "Singapura kini kita dan mereka ... Tuhan bantu negara ini!" Ini diiringi dengan sekeping gambar dengan kata-kata yang merujuk kepada Nazi Jerman. Beberapa orang membantah catatan itu sambil meluahkan pandangan mereka di ruangan komen catatan tersebut.
Memberi responsnya kepada komen-komen itu, Encik Bowyer juga mempertahankan pendiriannya terhadap vaksinasi COVID-19 dan langkah membezakan mereka yang sudah menjalani vaksinasi dan belum divaksin - pandangan yang beliau suarakan secara lantang secara online.
Pada petang Rabu, beliau menulis satu lagi catatan tidak akan menarik balik pandangannya namun akan keluar daripada PSP.
"Saya faham bahawa sesetengah pandangan saya berlainan daripada pendirian Parti Kemajuan Singapura, dan justeru saya perlu ambil keputusan," katanya.
"Saya percaya Parti Kemajuan Singapura mempunyai nilai sumbangan yang besar, tentunya ia jelas daripada ucapan Hari Kebangsaan baru-baru ini oleh Perdana Menteri bahawa perubahan dalam pemikiran dan dasar-dasar dipengaruhi olehnya, jadi dalam hal itu, saya tidak ingin memberi sesiapa peluang untuk menjejas usaha baik mereka itu."
Katanya lagi: "Dalam hal yang sama saya tidak akan membiarkan mereka yang bersembunyi di sebalik skrin untuk menjejas pendirian saya tentang betapa buruk cara krisis ini ditangani dan bagaimana ia menjejas ramai orang sama ada mereka suka atau tidak."
Encik Bowyer bertanding sebagai calon PSP di GRC Nee Soon dalam Pilihan Raya 2020. Kumpulannya seramai lima orang berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat yang dipimpin oleh Menteri Ehwal dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam.
"Saya sentiasa berterima kasih atas sokongan yang saya terima dari dalam dan luar parti, wadah yang mereka berikan, ruang yang mereka berikan, bimbingan yang diberikan dan peluang menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa, semoga ia adalah permulaan bagi sebuah pemerintah baru, satu yang menitikberatkan keperluan dan keprihatinan masyarakat namun demi kebaikan parti kedua-dua laluan kami perlu berpisah," katanya dalam catatannya di Facebook.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.