Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Bot hangus terbakar di Keppel Bay; SCDF padam api hampir sejam

Kebakaran meletus di sebuah bot yang berlabuh di Marina, Keppel Bay, pada pagi Isnin (30 Mei) selama sejam sebelum ia akhirnya dipadamkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 May 2022 05:01PM Dikemas Kini : 30 May 2022 08:59PM

SINGAPURA: Kebakaran meletus di sebuah bot yang berlabuh di Marina, Keppel Bay, pada pagi Isnin (30 Mei) selama sejam sebelum ia akhirnya dipadamkan. 

Dalam video-video yang dihantarkan ke Mediacorp, api dilihat marak di atas kapal berkenaan sehingga mengeluarkan kepulan asap hitam.  

Seorang saksi, yang ingin dikenali sebagai Ray sahaja, memberitahu Mediacorp beliau sedang melakukan perjalanan ke Sentosa menaiki kereta kabel untuk ke kerja apabila beliau ternampak kebakaran itu. 

Pencipta kandungan Jaren Koh memberitahu Mediacorp beliau menyedari asap hitam berkepul di udara dari rumahnya di kawasan Harbourfront. 

Beliau kemudian menyiasat insiden itu dan mendapati bot berkenaan terbakar. 

Video-video yang dihantar oleh Encik Koh kepada Mediacorp menunjukkan para anggota bomba Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan beberapa individu lain berusaha untuk memadamkan kebakaran. 

SCDF menyatakan ia dimaklumkan tentang insiden yang berlaku di Keppel Bay Vista sekitar pukul 11.30 pagi. 

"Setibanya pasukan bomba, api dilihat sedang marak dari sebuah bot yang berlabuh di jeti," menurut SCDF dalam satu catatan Facebook.  

Para anggota bomba, dengan bantuan anggota kakitangan premis berkenaan, segera menggunakan tiga jet air dan tiga gelung hos dari jeti itu untuk memadamkan kebakaran di atas kapal tersebut bagi mengawal serta mencegahnya daripada merebak ke kapal-kapal lain. 

Sebuah kapal dari Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) juga terlibat dalam operasi itu. 

Gambar-gambar di tempat kejadian menunjukkan struktur kapal yang hangus dikelilingi busa sedang para anggota bomba bertungkus lumus mengawal keadaan. 

Api kebakaran dipadamkan sekitar sejam kemudian dengan dua jet air, dua jet busa serta monitor air dari kapal MPA. 

Operasi meredakan kebakaran sedang dijalankan, menurut SCDF, sambil menambah tiada kecederaan dilaporkan. 

Punca kebakaran masih disiasat. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan