Skip to main content

Singapura

Bossipaws disiasat atas dakwaan penipuan SkillsFuture

Apabila Jane (bukan nama sebenar) mula membeli makanan bagi anjing peliharaannya daripada sebuah perniagaan makanan haiwan peliharaan, Bossipaws, beliau memutuskan untuk mengikuti sebuah kursus yang dikendailkan oleh pemilik syarikat itu mengenai cara-cara merancang dan menyiapkan hidangan untuk anjing peliharaan.
Anggaran Waktu Membaca:
Bossipaws disiasat atas dakwaan penipuan SkillsFuture

Laman media sosial perniagaan makanan haiwan peliharaan, Bossipaws.

Diterbitkan : 24 Dec 2025 02:27PM Dikemas Kini : 24 Dec 2025 02:28PM
SINGAPURA: Apabila Jane (bukan nama sebenar) mula membeli makanan bagi anjing peliharaannya daripada sebuah perniagaan makanan haiwan peliharaan, Bossipaws, beliau memutuskan untuk mengikuti sebuah kursus yang dikendailkan oleh pemilik syarikat itu mengenai cara-cara merancang dan menyiapkan hidangan untuk anjing peliharaan.

Beliau dan saudara perempuannya kemudian diminta untuk membayar kira-kira S$13,000 bagi kursus itu - kononnya supaya ia dapat meraih jumlah peserta mencukupi bagi syarikat itu mendapatkan pentauliahan SkillsFuture.

Jane berkata sebaik sahaja pentauliahan itu diluluskan, pemilik Bossipaws, Joel Gui berjanji untuk memulangkan wangnya.

"Joel memberitahu saya bahawa dia kekurangan satu lagi peserta untuk memenuhi kelayakan MOE (Kementerian Pendidikan) SkillsFuture, justeru dia berkata kepadanya: "Bolehkah anda tokok satu lagi individu untuk saya?" kata Jane kepada Mediacorp.

Namun, kursus SkillsFuture sebenarnya tidak memerlukan sebarang jumlah minimum peserta.

Beliau dan sekurang-kurangnya seorang lagi individu sudah pun membuat aduan polis, sambil mendakwa Bossipaws menyalahgunakan penjenamaan SkillsFuture untuk memperdaya para pelanggan.

Dalam responsnya kepada pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima aduan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.

Seorang jurucakap SkillsFuture Singapore (SSG) berkata pihaknya juga sudah membuat aduan polis, sambil berkata Bossipaws bukan penyedia latihan berdaftar dan tidak menerima sebarang sokongan pembiayaan untuk menjalankan program-program yang disokong SkillsFuture.

"SSG sedia maklum mengenai kes di mana syarikat-syarikat atau para individu menyalahgunakan nama atau jenama SkillsFuture untuk memikat peserta, walaupun mereka tidak berdaftar dengan kami," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan.

"Kami memandang serius terhadap kejadian sedemikian dan menggesa sesiapa yang mengesyaki bahawa mereka diperdaya oleh syarikat-syarikat atau individu tersebut supaya membuat aduan polis."

MANGSA SALING BERHUBUNGAN ONLINE

Para pelanggan seperti Jane saling berhubung online dan melalui WhatsApp, di mana mereka mendakwa terpedaya oleh skim serupa yang dipercayai dijalankan oleh Cik Gui.

Salah seorang daripadanya, yang hanya mahu dikenali sebagai C, mula melanggani khidmat makanan haiwan peliharaan Cik Gui selepas disarankan oleh seorang temannya.

C berkata sekitar Julai lalu, Cik Gui menghubunginya lalu memberitahunya kisah yang serupa - bahawa dia cuba mendapatkan pentauliahan dengan SkillsFuture dan mahu menjalankan kursus-kursus latihan.

"Dia mengatakan bahawa dia hanya perlukan seorang lagi pelajar untuk mencapai jumlah minimum 150 pelajar untuk membuat pendaftaran kepada SkillsFuture... jadi dia suruh saya menjadi pelajarnya untuk mendaftar bagi kursusnya," kata C.

"Namun (dia kata) saya tidak perlu menghadiri kursus - saya hanya perlu melakukan urus niaga itu dengannya. Saya hanya pindahkan wang kepada perniagaannya."

C berkata Cik Gui memberitahu bahawa dia akan memulangkan wangnya sebaik sahaja selepas dia menerima pentauliahan.

"Saya percayakannya. Saya sebenarnya tidak melakukan sebarang usaha wajar untuk menyemak keperluan mendapatkan pentauliahan SkillsFuture - saya sekadar menghulurkan bantuan kepadanya tanpa mengetahui lebih lanjut," katanya.

"Dan itulah cara saya menjangkakan diri saya untuk mendapatkan semula wang saya dalam masa kurang daripada seminggu."

Namun selepas memindahkan wang sebanyak S$1,588, C berkata Cik Gui memberitahunya jumlah yang betul sebenarnya adalah S$2,588.

C kemudian enggan menghantar sebarang wang tambahan.

C menambah bahawa Cik Gui hanya mengembalikan wangnya selepas beliau menghantar surat peguam.

Apabila dihubungi Mediacorp,, Cik Gui berkata dia akan mengulas perkara itu hanya selepas siasatan selesai dijalankan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita