Skip to main content

Singapura

Bonus tunai tambahan S$10,000 antara perubahan Skim Bonus Perumahan untuk Warga Emas mulai Dis

Skim memberi wang tunai kepada warga emas apabila mereka berpindah ke flat tiga bilik atau lebih kecil dan tokokan pada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka akan dipertingkatkan mulai Disember.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Mar 2025 01:38PM Dikemas Kini : 05 Mar 2025 09:15PM
SINGAPURA: Skim memberi wang tunai kepada warga emas apabila mereka berpindah ke flat tiga bilik atau lebih kecil dan tokokan pada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka akan dipertingkatkan mulai Disember.

Perubahan pada Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) termasuk bonus tunai tambahan S$10,000 kepada mereka yang berpindah ke flat dua bilik atau lebih kecil, dan menyesuaikan tokokan CPF tunai sahaja untuk memasukkan bayaran balik perumahan CPF.

Had nilai tahunan hartanah privet yang di bawah skim ini juga akan dinaikkan kepada S$31,000, untuk menyokong lebih ramai warga emas yang tinggal di hartanah privet bernilai rendah, umum Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee pada Rabu (5 Mac).

FUNGSINYA

Pertama kali dilancarkan pada 2013, Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) memberi mereka yang berumur 55 tahun ke atas bonus tunai sehingga S$30,000 untuk berpindah ke flat tiga bilik atau lebih kecil.

Untuk melayakkan diri, warga emas mesti memilih flat HDB atau hartanah privet dengan nilai tahunan tidak melebihi S$21,000. Mereka juga perlu menokok Akaun Persaraan CPF mereka dengan tunai – dihadkan S$60,000 bagi setiap isi rumah – dan menyertai skim anuiti CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia).

Jumlah tokokan bergantung kepada hasil penjualan bersih dan Jumlah Persaraan Penuh CPF pada tahun itu. Yang terakhir ialah salah satu daripada tiga sasaran yang menentukan tahap pembayaran yang dijamin berbeza pada usia 65 tahun.

Bagi mereka yang tokokan tunai ke dalam akaun CPF mereka adalah di bawah S$60,000 akan menerima bonus tunai pro-rata pada S$1 bagi setiap tokokan S$2.

APA PERUBAHANNYA?

Mulai 1 Disember, golongan warga emas layak bagi Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) selagi mereka dapat mengekalkan kenaikan bersih sehingga S$60,000 dalam Akaun Persaraan CPF mereka selepas berpindah ke flat lebih kecil.

Kenaikan itu mungkin daripada bayaran balik perumahan CPF, iaitu jumlah wang yang perlu dimasukkan semula ke dalam akaun CPF jika pemilik rumah menggunakan akaun simpanan CPF untuk membeli rumah mereka.

Ini bermakna warga emas "mungkin tidak lagi perlu membuat tokokan wang tunai" untuk melayakkan diri bagi skim tersebut, kata Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan media bersama.

Skim itu juga akan menawarkan bonus tunai tambahan sebanyak S$10,000 kepada warga emas yang membeli flat 2 bilik atau flat-flat lebih kecil, termasuk apartmen jagaan masyarakat.

Bagi kes sedemikian, insentif tambahan akan "diberikan tanpa mengira" jumlah tokokan pada Akaun Persaraan, yang bermakna warga emas yang layak boleh menerima bonus wang tunai sehingga S$40,000.

Akhir sekali, Skim Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) akan diperluaskan untuk meliputi warga emas yang memiliki hartanah privet dengan nilai tahunan antara S$21,000 dengan S$31,000.

Namun, kumpulan warga emas itu akan mendapat bonus tunai lebih rendah sehingga S$10,000 jika mereka berpindah ke 3tiga bilik atau sehingga S$20,000 jika mereka berpindah ke flat 2 bilik.

Lebih 15,000 warga emas layak bagi skim itu di bawah kriteria kelayakan baharu.

Secara keseluruhannya, Skim Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) akan meliputi lebih daripada 75 peratus atau tiga daripada empat hartanah kediaman, kata Encik Lee.

Pihak berkuasa tidak menjangkakan perubahan pada Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB) akan mempunyai kesan ketara terhadap pasaran jualan semula HDB.

Pihak berkuasa menarik perhatian kepada harga flat jualan semula HDB yang lebih kecil "tidak menyaksikan kenaikan" apabila skim itu pertama kali dilancarkan pada 2013 dan dipertingkatkan pada 2020.

PENAMBAHBAIKAN EASE

Sebagai sebahagian daripada usaha menawarkan lebih banyak sokongan kepada warga emas, Belanjawan 2025 turut mengumumkan bahawa Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (EASE) akan diperluaskan.

Buat masa ini, program itu menawarkan kelengkapan bersubsidi yang mesra warga emas, seperti palang pemegang dan tempat duduk dalam bilik air yang boleh dilipat dan dipasang pada tembok, buat isi rumah HDB yang layak.

Sambil menarik perhatian bahawa program itu telah "disambut baik" oleh para penduduk HDB, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata pemerintah akan memperluaskan program itu bagi tempoh selama tiga tahun sehingga 2028, untuk merangkumi isi rumah hartanah privet.

Berkongsi lebih banyak butiran mengenai perkembangan itu di Parlimen pada Rabu (5 Mac), Encik Lee berkata semua isi rumah rakyat Singapura yang menetap di hartanah privet dengan sekurang-kurangnya seorang warga emas layak bagi Program EASE.

Warga emas itu perlu berusia 65 tahun dan ke atas atau berusia antara 60 hingga 64 tahun, dan memerlukan bantuan untuk melakukan sekurang-kurangnya satu atau lebih aktiviti dalam kehidupan seharian mereka seperti mandi, makan, memakai pakaian, pergi ke tandas dan bergerak ke sana sini.

Isi rumah yang layak boleh memilih kontraktor daripada senarai yang membekalkan dan memasang kelengkapan rumah mesra warga emas.

Subsidi meliputi 75 peratus daripada kos kelengkapan terpilih akan diagihkan, dihadkan sehingga S$1,200.

Program EASE yang diperluaskan untuk meliputi isi rumah hartanah privet dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026, berpotensi memberi manfaat kepada lebih 70,000 isi rumah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita