Skip to main content

Singapura

Bom Perang Dunia Kedua belum meletup dibawa keluar dari Keppel Club

Anggaran Waktu Membaca:
Bom Perang Dunia Kedua belum meletup dibawa keluar dari Keppel Club

(Gambar: Facebook/The Singapore Army)

Diterbitkan : 21 Nov 2024 11:44PM Dikemas Kini : 21 Nov 2024 11:45PM
SINGAPURA: Sebuah bom Perang Dunia Kedua yang belum meletup telah dibawa keluar dari Keppel Club pada Khamis (21 Nov).

Polis menyatakan pihaknya telah dimaklumkan mengenai penemuan yang disyaki artifak perang di 239 Sime Road - alamat Keppel Club - pada kira-kira pukul 9.15 pagi.

Pihaknya bekerjasama dengan unit Pelupusan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan mengesahkan bahawa ia adalah bom Perang Dunia Kedua yang belum meletup.

"Ia dinilai selamat untuk dikendalikan dan telah dipindahkan oleh SAF untuk dilupuskan. Ia tidak memberi sebarang ancaman bahaya kepada orang ramai," menurut pihak polis.

Mediacorp telah menghubungi Kementerian Pertahanan dan Keppel Club untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada bulan Jun, sebuah artifak perang Perang Dunia Kedua yang belum meletup telah dibawa keluar dari tapak binaan di Ang Mo Kio, di mana stesen MRT Teck Ghee akan dibina pada masa hadapan.

Pada September lalu, sebuah bom udara Perang Dunia Kedua seberat 100 kilogram juga ditemui di tapak binaan sebuah kondominium berhampiran stesen MRT Cashew.

Kejadian itu menyebabkan ribuan orang yang tinggal dan bekerja di beberapa kawasan Upper Bukit Timah meninggalkan bangunan mereka selama berjam-jam sementara artifak itu diledakkan.

Sebuah lagi bom udara seberat 50 kilogram ditemui di Jiak Kim Street di River Valley pada 2019 semasa kerja penggalian di tapak binaan.

Pakar memberitahu Mediacorp bahawa ia bukan sesuatu yang mengejutkan untuk menemui artifak perang yang belum meletup di pelbagai bahagian Singapura kerana pengeboman semasa Perang Dunia Kedua adalah "sangat tidak tepat".
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita