Skip to main content

Singapura

Bom di Upper Bukit Timah Road selamat dilupuskan; beberapa jalan raya masih ditutup: SPF

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Sep 2023 05:31PM Dikemas Kini : 26 Sep 2023 09:21PM
SINGAPURA: Bom Perang Dunia Kedua yang ditemui minggu lalu berjaya dilupuskan pada Selasa petang (26 Sep), menurut pihak polis.

Bom udara itu ditemui minggu lalu di sebuah tapak binaan kondominium baharu Myst berdekatan stesen MRT Cashew.

"Relik perang, yang ditemui di sebuah tapak binaan di Upper Bukit Timah Road semasa kerja-kerja penggalian dijalankan, sudah selamat dilupuskan pada pukul 1.45 tengah hari tadi," menurut satu catatan polis di Facebook.

Selepas penduduk yang tinggal di kawasan persekitaran tapak pelupusan itu diarah keluar, letupan yang pertama dilakukan kira-kira pukul 12.28 tengah hari Selasa.

Letupan kedua dilakukan kira-kira jam 1.45 petang, sekitar sejam selepas yang pertama.

Penjelasan mengenai mengapa dua letupan diperlukan tidak diberikan.

Kepulan asap tebal ddapat dilihat di tapak pelupusan itu selepas letupan terkawal dijalankan.

Letupan itu turut menyebabkan kotoran tercampak ke udara.

Beberapa agensi pemerintah kini sedang membuat penilaian ke atas tapak binaan berkenaan berkait pelbagai prasarana, menurut polis.

Ini termasuk Penguasa Bangunan dan Binaan, agensi air negara PUB, syarikat elektrik SP Group dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Para pegawai juga memeriksa longkang dan saluran paip berhampiran, serta bangunan yang sudah dikosongkan bagi memastikan bahawa strukturnya selamat.

Sementara itu, sebahagian daripada Jejambat Bukit Panjang dan Upper Bukit Timah Road masih ditutup setakat jam 3.00 petang pada Selasa, menurut polis.

Jalan raya yang terjejas adalah:
  • Jejambat Bukit Panjang: Woodlands Road menuju ke Upper Bukit Timah Road. Jalan susur menuju ke Bukit Panjang Road masih boleh diakses.
  • Petir Road menuju ke Upper Bukit Timah Road
  • Upper Bukit Timah Road menuju ke Woodlands Road
"Orang awam dinasihatkan mengelak kawasan-kawasan yang terjejas sehingga maklumat lanjut dikeluarkan," tambah polis.

Polis sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan memberikan maklumat lanjut menerusi Facebook dan X (yang sebelum ini dikenali sebagai Twitter) setelah jalan raya dibuka kembali.
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita